Pages

Saturday, December 5, 2009

Pokok Kelapa Tua


Seingat saya sewaktu masih kecil, pokok kelapa ini sudah pun tinggi. Kini usia saya, 35 tahun. Pokok Kelapa itu masih hidup. Masih teguh berdiri dan masih menghasilkan buah. Tingginya menyentuh awan. Saya bertanya ayah adakah dia menyedari bilakah pokok kelapa itu ditanam? Kata ayah, seingat dia pokok kelapa itu sudah pun ada sejak dia masih kecil. Kini usia ayah saya hampir mencecah 70 tahun. Saya tertanya-tanya berapakah usia pokok kelapa yang terletak tidak jauh dari rumah saya itu.

Jika pokok kelapa itu manusia, tentu dia kelihatan sangat tua dan sudah uzur. Atau mungkin sudah lama mati dan lenyap dari muka bumi. Jika pokok kelapa itu manusia, tentu dia juga dapat menceritakan segala-galanya tentang kampung saya. Tentang kisah suka duka penghuninya.Tentang siapakah yang pernah berkahwin dan beranak pinak. Tentang siapakah yang pernah hidup dan kemudian mati.

Saya terkenang sewaktu kecil. Tidak jauh dari pokok kelapa itu saya sering bermain-main dengan kawan bernama Sabri, anak Pak Su Husein dan Mak Su Jarah yang usianya setahun lebih muda daripada saya. Saya pun sudah lupa apakah aktiviti kami ketika itu. Apa yang pasti kami sering bermain-main tidak jauh dari pokok kelapa itu. Kini usia saya semakin hari semakin bertambah. Suatu hari, saya mungkin akan menjadi tua seperti pokok kelapa itu atau mati terlebih dahulu sebelum matinya pokok kelapa tua itu. Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment