Pages

Tuesday, December 29, 2009

Gosok-gosok benda dalam seluar, apa ni?

Erma Fatima

'Tersasar di Jalanmu', karya Erma Fatima yang menyuluh kehidupan gelap anak-anak pekerja seks, penagih dadah dan golongan pondan di Chow Kit telah diangkat sebagai Karya Terbaik dalam Anugerah Skrin (ASK 2009) baru-baru ini. Bagi saya, idea dan karya itu bagus. Tetapi cara persembahannya haram!

Dalam satu babak, seorang anak gadis hendak dirogol oleh sekumpulan lelaki yang telah memperdayainya. Dalam pergelutan itu, kamera beberapa kali menghalakan kantanya ke arah tangan lelaki si perogol yang menggosok-gosok benda di dalam seluarnya (anunya) kerana tidak sabar lagi hendak meratah gadis di hadapannya itu. Apa ni? Perlukah digambarkan sedemikian rupa? Tidak cukupkah lagi dengan pergaulan bebas dan pendedahan aurat yang kononnya berpaksikan realiti?

Inilah masalah terbesar yang dialami dunia perfileman kita. Pengarah dan karyawan menjadikan filem-filem barat sebagai acuan mereka. Dengan alasan untuk menghidupkan sesebuah filem, mereka rempuh batas halal-haram. Mereka lupa 'matlamat tidak pernah menghalalkan cara'.

Kartika ke Kota Bharu

Kartika Saridewi Shukarnor yang pernah meributkan negara dengan polemik hukuman sebatnya mengunjungi Menteri Besar Kelantan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10, Kota Bharu pada 27 Disember yang lalu. Dia ditemani keluarga dan rombongan dari Pusat Pendidikan Al-Barokah Manjoi, Ipoh. Sumber dan gambar dari blog Cina Islam (http://idhamlim.blogspot.com/).

Monday, December 28, 2009

Allahu akhbar!

Inilah gambar Guru Besar saya (bos saya), En. Ishak Ramlee. Lidahnya sering basah dengan kalimah 'Allahu akhbar'. Ucapan 'Allahu akhbar' atau Allah Maha Besar sangat sinonim dengan Guru Besar yang berusia 50 tahun ini. 'Allahu akhbar' seolah-olah telah menjadi trade mark baginya. Membahasakan dirinya 'cikgu' kepada sesiapa sahaja, menggambarkan beliau seorang yang penyayang dan disenangi ramai. Cikgu Ishak akan mengakhiri setiap kata-katanya dengan Allahu akhbar!

Saturday, December 26, 2009

Kedai Dewan Beta Berwajah Baru


TIDAK ketinggalan mengikut rentak arus pemodenan negara, pasar Dewan Beta yang dikenali sebagai Kedai Dewan oleh masyarakat tempatan kini berwajah baru. Bangunan baru berdiri teguh, menggantikan pasar lama yang sudah berusia lebih 30 tahun. Bangunan pasar baru yang dilengkapi pelbagai kemudahan ini dijangka dapat memberikan keselesaan kepada peniaga dan orang ramai.

Kedai Dewan yang terletak di daerah Beta dalam jajahan Kota Bharu ini menjadi tumpuan penduduk kampung sekitar seperti Lundang Paku, Atas Pengget, Keladang, Kedai Piah, Kg. Paya, Serian, Beta Hilir, Beta Hulu, Chekeli, Kor, Jias, Bunut Satut, Stan, Masar, Langgut, Padang Layang dan Larak untuk mendapatkan barang-barang keperluan dari pasar atau kedai-kedai runcit sekitarnya. Peranan itu tidak pernah berubah dari dahulu hingga kini walaupun wujudnya persaingan sengit daripada pasaraya-pasaraya di beberapa kawasan berhampiran.

Dikenali dengan 'hari kedai', pasar Dewan Beta yang beroperasi pada setiap hari Ahad, Selasa dan Khamis menarik tumpuan ramai. Daripada pelbagai jenis makanan hinggalah kepada pelbagai jenis barangan ada dijual oleh peniaga-peniaga yang datang dari merata tempat.

Antara makanan yang saya suka dijual di kedai Dewan ialah seperti tepung pelita, apam, kuih kosu, akok, cik mek molek, koleh ubi, lepat ubi, lepat pisang, pulut bakar, putu halba (putu piring), puteri mandi, ondeh-ondeh, kuih lapis, seri muka selain turut menggemari mee goreng, bihun goreng, kacang rebus, nasi kerabu dan etak salai. Dan setiap kali ayah pulang dari kedai Dewan sebaik selesai kerjanya, kami adik beradik akan berlari mendapatkan beg plastik yang ayah bawa pulang untuk melihat apakah makanan yang boleh dinikmati. Seingat saya, kuih yang gemar ayah belikan ialah bengkang dan lompat tikam.

Waktu saya masih kecil, ayah memiliki sebuah kedai jahit di kawasan kedai Dewan. Dengan kedai yang disewa daripada gemulah (arwah) Mat Wahab itulah ayah menyara kehidupan kami sekeluarga. Ketika itu hanya wujud kedai jahit ayah saya sahaja di kedai Dewan. Dengan panggilan 'Pak Ya Tukang Jahit' ayah saya dikenali rata-rata penduduk sekitar.

Kadang-kadang, selepas habis waktu persekolahan, saya yang menuntut di Sek. Keb. Dewan Beta yang terletak tidak jauh dari situ, singgah di kedai ayah untuk pulang bersama-samanya menjelang petang. Ayah mengayuh basikal, saya membonceng di belakangnya. Kenangan itu masih bertaburan di sepanjang jalan antara Dewan Beta dan Kg. Chekeli.

Ketika di Tingkatan satu, saya mengikuti persekolahan sesi petang di Sek. Men. Mulong. jika 'hari kedai' pada sebelah pagi, saya sempat ke kedai membeli makanan kegemaran iaitu nasi kerabu tumis dan etak. Alangkah enaknya menikmati nasi kerabu dengan etak. untuk lebih banyak, saya akan mencampurkan nasi kerabu dan budu dari rumah.

Kini semuanya telah dihanyutkan oleh gelombang waktu. Yang tinggal hanya butir-butir kenangan yang masih bertabur di kaki lima kedai Dewan. Panorama kedai Dewan telah diabadikan dengan indah oleh penyair Leo A.W.S dalam sajaknya 'Dari Dewan Beta' yang disiarkan di akhbar Mingguan Watan pada 31 Disember 1995.

DARI DEWAN BETA
(Berpagi-pagi aku di kedai Dewan Beta; hari kedainya 3 kali seminggu)

Pada lantai aspal laman kedai
para peniaga kecil mula membentangkan
barangannya di khemah kain tikar
kertas plastik, di gerai-gerai batu
berbangsal kayu berlumut kelabu - pun
pelbagai jenis makanan; nasi lauk kuih -
muih serta sayur-mayur

Tiba musimnya para pemajak kecil duku
Dewan yang manis masyhur seluruh
negeri itu mengaut rezekinya dari
beratus kilo-raga buahnya, di gerai-gerainya
sepanjang jalan...

Dan tiba musimnya para peraih kecil
durian Tuk Lituk melonggokkan harga-
bangga pada berbiji-biji buahnya;
Tuk Lituk semakin terkenal di seluruh
negara - dicari-beli dek penggemar
durian eksklusif!

Manakala di kedai-kedai kopi, para
penyokong politik Barisan mahupun
Angkatan; sambil minum mereka berbahas
seloka - hingga sesekali, pak-pak
menteri (bahkan Perdana Menteri pernah)
mengunjungi Dewan Beta

Tetapi - wahai, jika adalah pemimpin
watan ini: Bawalah bersama makna
wawasan negara!

Leo A.W.S
Dewan Beta.

Thursday, December 24, 2009

Melewati Jambatan Tok Guru





Dalam kesempitan waktu, saya sekeluarga sempat berkunjung ke rumah kawan isteri di Pantai Senok, Bachok, Kelantan pada 13 Disember 2009. Untuk sampai ke sana, kami melewati Jambatan Tok Guru dan Kg Pulau Melaka yang permai dengan lambaian pohon-pohon kelapa yang tumbuh di tepi sungai.

Wednesday, December 23, 2009

Suka Ambil Gambar







Makcik (emak saudara) sering tergelak apabila melihat saya gemar merakam gambar. Inilah hasilnya. Dalam zaman yang bergerak laju, kita tidak hanya perlu membuka album gambar apabila sesekali sempat berkunjung ke rumah saudara mara. Hanya menggunakan hujung jari ibu, telunjuk, hantu, manis dan kelingking sahaja, gambar-gambar kenangan saudara mara dapat ditatap walau dalam kesibukan atau dalam jarak yang jauh.

Terima kasih ayah dan mek (emak) yang mengajar saya menghargai, menyanyangi dan menghormati saudara mara yang wujud sekitar hidup kami. Sudah lama saya berjanji pada diri ini untuk meneruskan silaturrahim yang telah sedia terjalin walaupun mek dan ayah telah tiada di dunia ini.

Gambar-gambar ini diambil petang semalam, ketika saya mengunjungi sepupu, Hapiza Ismail dan pasangannya Mazli yang mengadakan kenduri menduduki rumah baru di Desa Coalfield, Sungai Buloh, Selangor.

Abang Sayang Adik, Adik Sayang Abang

Ahmad Wazif dan Ahmad Aakif menikmati dunia kanak-kanak mereka di Dataran Masjid Putrajaya. Saya impikan Wazif dan Aakif menjadi isi dengan kuku. Aur dengan tebing. Ombak dan pantai. Abang sayangkan adik, adik cintakan abang. Abang kasihkan adik, adik hormatkan abang.

Tuesday, December 22, 2009

Pipi Wani Dicakar Kucing





Dah bertunang sepupu saya, Wan Hazawani Wan Zain (Wani) dengan jejaka pilihannya yang ditemui nun jauh di Bumi Kenyalang, pada Khamis, 3 Disember 2009 yang lalu. Takdir menentukan, bertemu, berkenalan dan kemudian jatuh hati di Bumi Kenyalang walaupun kedua-duanya anak kandung Che Siti Wan Kembang. Sayang, saya tidak berkesempatan untuk menyaksikan majlis pertunangan yang berlangsung di rumahnya yang terletak di kampung Chekeli Beta itu. Bagaimana pun dengan kehadiran facebook di episod kehidupan terkini, saya dapat menyaksikan gambar-gambar majlis pertunangan itu.

Antara sedar dengan tidak, Wani kini sudah bergelar seorang guru dan bertugas di salah sebuah sekolah di Sarawak. Amat pantas masa berlari. Tidak lama lagi dia akan bergelar isteri dan mungkin akan menjadi ibu. Walaupun Wani telah dewasa dan sudah menempuh alam kerjaya, namun sebagai sepupu yang lebih berusia dan pernah menyaksikan dia membesar dalam limpahan kasih sayang daripada Wan (gelaran bagi ayah untuk orang yang berketurunan Wan di Kelantan) dan emaknya, saya sering terkenang saat ketika Wani masih kecil. Ingatan saya sering terbayang saat ketika dia masih bayi. Terbayang Wani sedang meniarap sambil tersengih menampakkan gusi kepada sesiapa yang mengagahnya (mengusik atau membuat sesuatu untuk menarik perhatian bayi).

Sebagai anak sulung yang dilahirkan sempurna dan comel Wani amat disayangi dan sering mendapat pujian daripada Wannya. Pujian mengatakan Wani 'come' (comel) sering meniti di bibir Wannya yang terkenal dengan panggilan Tok We Zain oleh penduduk kampung. Suatu hari, ketika Wani sedang bermain dengan seekor anak kucing, tiba-tiba pipinya terkena cakaran kuku anak kucing yang tajam itu. Apa lagi, keluh kesah dan risaulah yang bersarang di hati Wan dan emaknya. Sebagai ibu bapa mereka tentu khuatir wajah Wani akan tercalar dan akan meninggalkan kesan sehingga usianya dewasa.

Bermacam-macam ubat dicari untuk memulihkan semula pipi Wani agar sembuh, tidak meninggalkan parut dan kembali seperti sediakala. Seingat saya antara ubat yang disarankan oleh seorang tua yang dipanggil Do Muyam atau Tok Do Muyam ialah buih yang keluar daripada kayu api basah yang dibakar. Menurutnya, buih itu hendaklah selalu disapu pada pipi Wani agar dapat menghilangkan parut. Saya tidak pasti adakah Tok wan Zain dan Mak Cik Sah menggunakan petua itu untuk memulihkan pipi anak kesayangan mereka. Yang saya tahu, tidak lama kemudian, kesan cakaran kucing itu telah hilang dan parut yang dikhuatiri akan menjejaskan wajah Wani pun tidak kelihatan.

Kini peristiwa itu telah dihanyutkan arus waktu. Kerisauan Tok Wan Zain dan Mak Cik Sah tentang wajah Wani yang dicakar kucing telah lama ditiup angin. Wani kini sudah sudah dewasa dan bakal melalui alam rumahtangga. Majlis pertunangannya pun telah selamat disempurnakan tanpa bayangan parut cakaran seekor kucing. Dengan sajian gulai ayam kampung peliharaan Tok We Zain, majlis itu dihadiri saudara mara terdekat. Kepada Wani dan pasangan, selamat bertunang. Selamat membina rumah tangga yang bahagia dan direhdai Allah. Semoga kekal hingga ke syurga.


Sunday, December 20, 2009

Sedap Wei AKOK

ENAK sungguh mengunyah AKOK di rumah saya di Kuala Lumpur. Akok ialah sejenis kuih popular di negeri Kelantan yang diperbuat daripada telur, gula melaka , santan, dan tepung gandum. Rasanya yang lemak manis amat digemari oleh kebanyakan rakyat Kelantan. Walaupun harganya agak mahal sedikit berbanding kuih muih yang lain, namun tidak menjadi halangan bagi mereka yang menggemarinya.

Bagaimanapun, apa yang saya maksudkan sebenarnya bukanlah kuih Akok, tetapi rancangan Apakhabar Orang Kelantan (AKOK), yang disiarkan setiap hari di Radio Malaysia Kelantan FM. Akok yang keudara pada setiap petang dari pukul 2.00 hingga 6.00 petang memuatkan lagu-lagu dikir barat, lagu daerah, lagu-lagu popular semasa di samping hebahan dan rancangan tajaan. Rancangan AKOK adalah salah satu rancangan popular di Radio Malaysia Kelantan FM sejak hampir 20 tahun lalu.

Kini kita dapat menikmati AKOK walaupun berada amat jauh dari negeri Che Siti Wan Kembang itu. Suara deejay-deejay seperti Kak We (Jamaliah Romi), Kak Nik (Noraini Ghazali), Abe Him (Awang Him Awang) , Pak Da (Sumardi Muhammad/Uncle Didi), Pak Cu (Ebby Halim Al Firdaus) yang menghidupkan AKOK dengan bahasa daerah Kelantan dapat kita ikuti melalui internet di
www.kelantanfm.gov.my.

Walaupun agak terlewat daripada siaran radio-radio RTM yang lain, siaran Kelantan FM yang kini boleh diikuti melalui internet sekurang-kurangnya telah dapat mengubat kerinduan anak-anak Kelantan di perantauan terhadap ibu bapa, saudara mara dan kampung halaman. Mendengar Rancangan AKOK di perantauan ini, terasa seperti saya sedang berbual-bual dengan ayah dan mek, menikmati keenakan asam pedas ikan patin air tangan emak mertua, bersiar-siar di Wakaf Che Yeh dan Kota Bharu, mengunjungi teman-teman di Pengkalan Kubur, Wakaf Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Bachok. Atau bersiar-siar di Pantai Irama, Pantai Melawi, Pantai Senok, Pantai Cahaya Bulan, Pantai Seri Tujuh dan Tok Bali.

Selain AKOK, saya sangat meminati rancangan Kayanya Bahasa Kita (belajar bahasa Kelantan) dan Soal Jawab Agama bersama-sama Ustaz Zainal Abidin Abdul Rahman yang keudara pada setiap hari Khamis, selain turut meminati rancangan Seloka Bersahut terbitan kawan baik saya dj Roselam Che Soh. Tahniah juga untuk Radio Malaysia Kelantan FM yang tersenarai di tempat ke-10 sebagai antara stesen radio yang paling ramai pendengar di kalangan puluhan stesen-stesen radio yang lain di Malaysia.

Terlanjur menulis tentang Kelantan FM, seperkara yang sering meracun konsentrasi saya dan kebanyakan pendengar adalah wujudnya unsur-unsur ketidakseimbangan yang amat ketara dalam gaya pemberitaan dan penyiaran kapsul yang menjadi amalan stesen radio tempatan ini sejak sekian lama dalam beberapa aspek. Penambahbaikan dari semasa ke semasa amatlah diharapkan untuk mewujudkan penyebaran berita yang lebih profesional, mantap dan berintergriti.

Selamat Sampai ke KL

Alhamdulillah, setelah melalui laluan sempit, curam dan berbukit, saya sekeluarga selamat sampai di Kuala Lumpur kira-kira jam 2.00 petang semalam. Bercuti dan mengambil peperiksaan di Kota Bharu, membolehkan saya berada lebih kurang selama 3 minggu dengan ayah, mek, ayah dan mak mertua serta keluarga tersayang.

Perjalanan dari rumah mertua di Kuala Krai yang bermula pukul 7.00 pagi lancar kerana tidak banyak kenderaan yang menghalang di jalan raya. Sempat singgah di Masjid Felda Chegar Perah, Kuala Lipis, Pahang untuk memandikan anak-anak. Selama berbelas tahun berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kelantan, belum pernah saya singgah di masjid yang cantik dan selesa itu. Bahkan tidak juga saya mengetahui akan kewujudannya kerana ia terletak kira-kira 1 km dari jalan raya dan agak terlindung dari pandangan. Lain kali bolehlah saya singgah lagi untuk sembahyang, buang air, makan dan memandikan anak.

Friday, December 18, 2009

Menanti Kemunculan Bandar Baru Tunjung







TERLETAK hanya beberapa kilometer dari kampung saya, Bandar Baru Tunjung sedang dalam pembinaan. Kebetulan singgah makan di gerai mee celup kegemaran isteri saya di Tunjung, baru-baru ini, sempat saya ambil beberapa keping gambar. Tidak jauh dari Bandar Baru Tunjung, letaknya Wakaf Che Yeh yang juga sedang pesat membangun. Bandar Baru Tunjung akan menempatkan gedung-gedung perniagaan, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan milik negeri dan persekutuan. Turut ditempatkan di sini ialah Terminal Makanan Negara dan stadium negeri. Projek Bandar Baru Tunjung dan Bandar Baru Pasir Tumbuh, adalah satu lagi projek yang akan mengubah lanskap negeri yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah ini.

Ayah dan Sakitnya

SETIAP kali pulang ke kampung, hati saya gusar melihat kesihatan ayah dan mek (emak) yang semakin merosot. Dulu ayah sihat tanpa diganggu apa-apa penyakit selain lelah yang dihidapi sejak usianya masih muda. Beberapa tahun yang lalu ayah dikhabarkan menghidap kencing manis dan darah tinggi. Sejak itu ayah tidak lagi dapat mengambil makanan kegemarannya sesuka hati.

Oktober 2007, saya sekeluarga dikejutkan dengan berita ayah diserang angin ahmar. Dari KL saya bergegas pulang ke kampung dengan perasaan amat sedih dan bimbang. Bagaimana pun setelah berulang kali mendapat khidmat urutan dari seorang tukang urut berbangsa Cina di Peringat, Kota Bharu, penyakit ayah beransur sembuh. Daripada tidak dapat berjalan dan menggunakan anggota badan sebelah kiri, ayah dapat berjalan dan menggerakkan kembali tangannya walaupun tidak seperti asal.

Sejak dari itu, kesihatan ayah sering terganggu. Bukan sahaja lemah anggota badan, malah penyakit kencing manis yang dihidapinya semakin menggila. Bukan sedikit ubat yang perlu ditelannya. Saya pun takut untuk mengira berapakah jenisnya. Ketika pulang untuk meraikan Aidiladha, ayah mengadu ditumbuhi biji-biji gatal dibeberapa bahagian badannya. Saya dapat melihat parut hitam di belakang, lengan dan betisnya. Menurut ayah, dia berasa sangat gatal. Dan ayah terpaksa mengambil ubat yang banyak untuk membendungnya. Biji-biji gatal itu timbul kesan daripada kencing manis yang ditanggungnya.

Pada hari raya ke-3, ayah muntah-muntah, pening kepala dan mengalami lemah badan. Mungkin kerana tersilap makan ketika Aidiladha masih disambut. Saya dapat merasakan betapa sukarnya pesakit kencing manis, darah tinggi, angin ahmar dan asma seperti ayah untuk mengawal makan. Jika terlalu kurang pengambilan gula pula, akan menyebabkan badan pesakit kencing manis akan lemah dan lesu. Jika terlebih sedikit pengambilan makanan bergula pula akan menyebabkan kandungan gula dalam darah naik mendadak dan penyakit menjadi bertambah teruk.

Penyakit lelah ayah pula tidak pernah reda atau berkurangan sejak usia mudanya hingga kini. Sudah bertahun-tahun ayah menggunakan alat penyedut bagi membolehkan dia bernafas dengan baik. Dan sekali dalam masa 2 bulan ayah mesti ke klinik untuk mengambil suntikan bagi mencegah serangan lelah yang teruk.

Saya sedang menyaksikan dengan jelas graf kesihatan ayah yang semakin menurun. Saya dapat merasai getaran jiwanya yang resah ketika mengembalikan satu demi satu nikmat pinjaman kepada pemiliknya yang abadi. Saya pula terasa amat takut untuk berdepan dengan kenyataan jika sesuatu yang buruk berlaku kepada ayah, kerana saya teramat menyayanginya.

Thursday, December 17, 2009

Sakitnya Mati

Pernahkah terbayang di fikiran anda bagaimana sakitnya jika dipancung dengan sebilah pedang? Tahukah anda, sakit tatkala nyawa akan tercabut daripada badan menyamai seperti dipancung sebanyak 300 kali dengan sebilah pedang.

Sunday, December 13, 2009

Suhu Panas di Wacana Perdana









Wacana Perdana: Islam Antara Realiti dan Harapan yang diadakan di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu pada 12 Disember 2009 yang lalu, menghimpunkan ribuan penduduk Kelantan dari segenap pelusuk. Wacana yang boleh disifatkan sebagai panas itu membariskan, Dato' Nik Mohd Amar Nik Abdullah (exco Kerajaan Negeri Kelantan), Dr. Asri Zainul Abidin (bekas Mufti Perlis), Dato' Nakhaei Hj. Ahmad (bekas YDP YADIM) dan Afendi Yusof (Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO Malaysia sebagai panelis. Orang ramai mula memenuhi dewan sejak sebelum pukul 8.00 malam lagi untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan wacana bersejarah itu. Dewan yang dilengkapi penghawa dingin mencukupi itu menjadi panas seperti dibakar api sebaik sahaja majlis bermula. Wacana yang menampilkan pengantara, Prof. Madya Dr. Muhammad Agus Yusof itu berakhir kira-kira pukul 11.30 malam.

Friday, December 11, 2009

Kerasnya Sembelit

TERLANJUR menyebut tentang kecelakaan sembelit yang dideritai anak sulung saya dalam posting sebelum ini, seketika ingin saya gambarkan lebih lanjut dan jujur tentang kedurjanaan sembelit yang menyusahkan hidup anak saya, Ahmad Wazif sejak sekian lama. Bukan saya berdiam diri atau hanya mengorek pusat melihat pergelutan anak saya sejam atau dua jam dengan sembelit yang jahat dan menakutkan itu. Berbagai-bagai usaha telah saya lakukan. Semuanya sia-sia belaka. Sedih dan terharu melihat betapa siksanya anak saya hendak melepaskan 'shit'nya sebagaimana digambarkan oleh Shahnon dalam novel Shit.

Tatkala mengumpul tenaga untuk mengenyahkan bahan kumuh itu, peluh memercik ke suluruh tubuhnya. Sambil menahan sakit yang kacau, tangannya akan bergayut pada apa-apa barangan yang dirasakan kuat seperti kerusi, meja, katil atau kain dan pakaian yang tergantung agar dapat menyokong usahanya menolak keluar makhluk yang keras dan durjana itu. Sepanjang tempoh pergelutan itu, tidak ada sesiapa yang boleh mendekati atau bercakap dengannya. Dia hanya menumpukan perhatian kepada usahanya yang satu itu.

Hanya setelah dia berusaha dengan segala daya yang ada, di samping bantuan saya dan isteri, barulah najis itu berjaya di halau keluar daripada bersarang di dalam perutnya yang sempit. Dan najis itu cepat-cepat saya humbankan ke tong sampah. Tanpa usaha Ahmad Wazif yang gigih dan berterusan, mustahil najis itu dapat dikeluarkan.

Betapa sukar anak saya membuang najis sembelitnya yang keras dan berketul macam batu, begitulah sukarnya kebanyakan orang yang berhutang dengan saya untuk mengeluarkan wangnya dan membayarkan kepada saya. Kepada yang berhutang walau dengan sesiapa saja, hayatilah kisah Ahmad Wazif dan sembelitnya. Walau sepayah mana sekali pun untuk mengeluarkan wang bagi membayar semula hutang itu, kita akhirnya akan berjaya jika terus mencari jalan dan berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkannya sebagaimana sembelit anak saya itulah. Tetapi sebaliknya jika tidak ada sebarang usaha yang bersungguh-sungguh, wang itu akan terus menjadi pekat, liat, mengeras dan sembelit Akhirnya tidak ada sesiapa yang dapat mengeluarkannya lagi. Lalu wang pinjaman itu akan menggantungkan roh tuannya di antara bumi dengan langit sebaik sahaja menerima panggilan ilahi.

Tuesday, December 8, 2009

Saya Ingin Berperang

Untuk masa beberapa hari, saya akan turun ke medan perang. Bukan berperang dengan manusia atau haiwan, tetapi dengan soalan-soalan. Saya akan menghadapi peperiksaan sebenarnya. Kalau sambung belajar, itulah jalan biasa yang perlu dilalui. Banyak artikel yang belum sempat disiarkan. Insya-Allah semuanya akan disiarkan selepas peperangan selesai. Doakan saya beroleh kejayaan.

Sunday, December 6, 2009

Liat Macam Tahi Beruk

Dalam rancangan Soal Jawab Agama di Radio Malaysia Kelantan FM itu juga, saya tertarik dengan apa yang disampaikan oleh Ustaz Zainal mengenai perkara-perkara yang sunat disegerakan. Antaranya, kata beliau ialah segera membayar hutang. Bagimanapun menurutnya apa yang berlaku di kalangan kita adalah sebaliknya. "Masa nak berhutang, mulut manis macam manisan kerek (gula melaka yang dibekukan dalam acuan bulat yang diperbuat dari mengkuang). Tapi masa nak bayar le'ik (liat) macam tahi beruk," kata Ustaz Zainal diikuti dengan ketawanya yang melucukan.

Saya teringat pada rakan-rakan yang pernah meminjam wang daripada saya. Bukan sahaja liat macam tahi beruk tetapi keras dan tak mahu keluar-keluar macam sembelit yang sering dialami oleh anak sulung saya, Ahmad Wazif.

Solat di Awal Waktu

KETIKA dalam perjalanan dari rumah isteri saya di Kuala Krai menuju ke kampung saya di Dewan Beta, Kota Bharu Khamis lepas, saya sempat mengikuti rancangan Soal Jawab Agama bersama-sama Ustaz Zainal Abidin Abdul Rahman di Radio Malaysia Kelantan FM. Menurut Ustaz Zainal, sembahyang fardu masih dikira di awal waktu jika dikerjakan dalam lingkungan waktu berikut selepas masuk waktu:

Subuh (20 minit)
Zohor (40 minit)
Asar (38 minit)
Maghrib (18 minit)
Isyak (2 jam)

Rancangan yang dikendalikan oleh DJ Reselam Che Soh itu keudara pada setiap hari Khamis, 6.10 minit petang.

Saturday, December 5, 2009

Pokok Kelapa Tua


Seingat saya sewaktu masih kecil, pokok kelapa ini sudah pun tinggi. Kini usia saya, 35 tahun. Pokok Kelapa itu masih hidup. Masih teguh berdiri dan masih menghasilkan buah. Tingginya menyentuh awan. Saya bertanya ayah adakah dia menyedari bilakah pokok kelapa itu ditanam? Kata ayah, seingat dia pokok kelapa itu sudah pun ada sejak dia masih kecil. Kini usia ayah saya hampir mencecah 70 tahun. Saya tertanya-tanya berapakah usia pokok kelapa yang terletak tidak jauh dari rumah saya itu.

Jika pokok kelapa itu manusia, tentu dia kelihatan sangat tua dan sudah uzur. Atau mungkin sudah lama mati dan lenyap dari muka bumi. Jika pokok kelapa itu manusia, tentu dia juga dapat menceritakan segala-galanya tentang kampung saya. Tentang kisah suka duka penghuninya.Tentang siapakah yang pernah berkahwin dan beranak pinak. Tentang siapakah yang pernah hidup dan kemudian mati.

Saya terkenang sewaktu kecil. Tidak jauh dari pokok kelapa itu saya sering bermain-main dengan kawan bernama Sabri, anak Pak Su Husein dan Mak Su Jarah yang usianya setahun lebih muda daripada saya. Saya pun sudah lupa apakah aktiviti kami ketika itu. Apa yang pasti kami sering bermain-main tidak jauh dari pokok kelapa itu. Kini usia saya semakin hari semakin bertambah. Suatu hari, saya mungkin akan menjadi tua seperti pokok kelapa itu atau mati terlebih dahulu sebelum matinya pokok kelapa tua itu. Wallahu a'lam.

Friday, December 4, 2009

Langit Masih Cerah di Kota Bharu



4 Disember, 2009 di Medan Ilmu, Jalan Dato Pati, Kota Bharu, saya menyertai ribuan yang lain mendengar kuliah agama yang menjadi acara tetap pada setiap Jumaat di Kota Bharu Sejak lebih 20 tahun lalu. Sesekali apabila pulang bercuti, saya tidak akan melepaskan peluang keemasan untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya di situ. Saya sudah memulakannya sejak berusia 12 tahun lagi. Kini usia saya sudah 35 tahun. Pada tanggal 4 Disember, saya bukan sahaja dapat mengikuti kuliah agama, bahkan turut menyaksikan beberapa peristiwa penting yang akan tercatat dalam sejarah politik Kelantan. Ketika itu saya menyaksikan langit masih cerah di Kota Bharu.

Ketika berada di Kuala Lumpur, saya akan mengikutinya secara langsung melalui internet. Sudah tentu mengikuti melalui internet tidak sama seperti berada sendiri di tempat itu. Dan setiap kali saya bertandang ke Medan Ilmu, entah kenapa dada saya menjadi sebak digoncang perasaan terharu yang menggulung. Saya akan berperang dengan goncangan yang sering kali menerpa secara tiba-tiba. Air dari urat mata pula akan bergenang dan cuba melimpahi tebing. Jika tidak dibendung ia akan jatuh bercucuran sebagaimana hujan musim tengkujuh.

Tuesday, December 1, 2009

Inilah Laluan Kami 2





Saya paparkan beberapa keping gambar sahaja. Insya-Allah jika ada kesempatan lagi saya paparkan gambar-gambar yang lain. Mudah-mudahan pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan secepat mungkin. Dengarlah rintihan penduduk di sini.


Inilah Laluan Kami 1

SETIAP kali pulang ke kampung isteri, Sg. Tias yang terletak di antara KESEDAR Sg. Sam dan Kg. Slow Temiang, Kuala Krai Kelantan kelancaran perjalanan kenderaan saya terganggu. Saya terpaksa meredahi jalan yang mengalami kerosakan teruk kerana digunakan sebagai laluan keluar masuk lori-lori yang mengangkut kayu balak setiap hari. Saya pasti setiap orang yang melalui jalan ini akan bersungut sebagaimana saya. Kerosakan yang dialami bukan hanya dibeberapa kawasan, malah hingga ke pekan Dabong. Jalan ini turut menjadi laluan penting untuk menghubungkan Gua Musang dan Kuala Krai dengan pekan Dabong.

Melalui blog ini saya akan paparkan beberapa gambar yang menunjukkan kerosakan teruk jalan alternatif yang menghubungkan Kuala Krai dan Gua Musang itu. Mudah-mudahan pihak bertanggungjawab mengambil tindakan.

Pokok Pisang Yang Satu Itu

SEJAK mengahwini isteri saya lebih 3 tahun yang lalu, pokok pisang ini telah pun diperanakkan di sebelah rumah mertua saya. Ibunya yang juga kerdil telah lama pergi menghadap ilahi tidak lama kemudian. Sejak kecil lagi pembesaran dan ketinggiannya tidak jelas kelihatan. Bagaikan anak yatim piatu. Pokok pisang itu telah kematian ibu. Setiap kali pulang ke kampung isteri, kami sering tertawa melihat pokok pisang itu.

Saya tidak pernah menaruh harapan yang tinggi untuk merasai buahnya kerana masa depan pokok pisang itu pun masih kabur. Keadaannya seperti pokok pisang plastik yang tidak akan besar dan meninggi sampai bila-bila. Umur anak saya yang sulung, Amad Wazif sudah mencecah 2 tahun setengah. Badannya semakin besar dan tinggi. Otaknya semakin berkembang dan meningkat dari hari ke hari. Mulutnya semakin petah berbicara tentang apa yang telah diketahui. Perkembangannya amat ketara sebagai mana perubahan usianya, tidak seperti pokok pisang yang satu itu.

Agaknya tanah bukit yang keras dan berbatu tidak sesuai untuk tanaman seperti pokok pisang yang memerlukan tanah yang subur dan mengandungi banyak air. Apa lagi kalau tidak pula dibajai. Lalu nasibnya seperti yang dialami kini. Alangkah malang nasibnya, tidak seperti pokok pisang yang lain. Hidup subur, membesar dan meninggi hingga menghasilkan buah yang boleh dinikmati oleh manusia dan haiwan, menghasilkan daun yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dan menghasilkan batang yang boleh dijadikan rakit atau makanan lembu ternakan.

Anak-anak kita pun begitulah jika tidak diberikan penjagaan rapi, makanan berzat yang secukupnya, pendidikan yang sempurna da limpahan kasih sayang berpanjangan daripada ibu dan bapa. Pembesarannya mungkin akan terencat dan terbantut. Otaknya pun mungkin cacat atau kementot.

Apabila Isteri Takut Dimadu


ISTERI saya selalu menyuarakan kebimbangannya kalau-kalau di tengah kebahagiaan kami menjenguk orang ketiga hendak menumpang kasih. Memandangkan saya tergolong dalam kategori lelaki yang boleh dikatakan handsome juga (tapi tak perasan pun), kebimbangannya tentu berasas bukan? Itulah mimpi ngeri yang sangat ditakuti oleh kebanyakan isteri. Walaupun isteri amat mengenali saya lelaki jenis apa, namun kebimbangannya tetap ada. Kenapa ya?


Pengakuan saya bahawa dialah isteri di dunia dan akhirat kadang-kadang turut meredakan kebimbangan yang berbusa di hatinya. Tetapi lama kelamaan kebimbangan itu datang lagi. Beribu soalanlah yang berbunyi dari mulutnya. Saya hanya tersenyum dan sering ketawa terbahak-bahak. Tentu kebanyakan suami turut mengalaminya. Apa lagi suami-suami yang 'berjiwa besar', 'bercita-cita besar' atau 'bernafsu besar.' Kebimbangan isteri mereka tentu lebih tinggi.


Apa yang saya katakan kepada isteri untuk menutup mulutnya. Kata saya, "lebih baik berfikir tentang mati daripada mencipta masalah lagi."