Pages

Friday, December 11, 2009

Kerasnya Sembelit

TERLANJUR menyebut tentang kecelakaan sembelit yang dideritai anak sulung saya dalam posting sebelum ini, seketika ingin saya gambarkan lebih lanjut dan jujur tentang kedurjanaan sembelit yang menyusahkan hidup anak saya, Ahmad Wazif sejak sekian lama. Bukan saya berdiam diri atau hanya mengorek pusat melihat pergelutan anak saya sejam atau dua jam dengan sembelit yang jahat dan menakutkan itu. Berbagai-bagai usaha telah saya lakukan. Semuanya sia-sia belaka. Sedih dan terharu melihat betapa siksanya anak saya hendak melepaskan 'shit'nya sebagaimana digambarkan oleh Shahnon dalam novel Shit.

Tatkala mengumpul tenaga untuk mengenyahkan bahan kumuh itu, peluh memercik ke suluruh tubuhnya. Sambil menahan sakit yang kacau, tangannya akan bergayut pada apa-apa barangan yang dirasakan kuat seperti kerusi, meja, katil atau kain dan pakaian yang tergantung agar dapat menyokong usahanya menolak keluar makhluk yang keras dan durjana itu. Sepanjang tempoh pergelutan itu, tidak ada sesiapa yang boleh mendekati atau bercakap dengannya. Dia hanya menumpukan perhatian kepada usahanya yang satu itu.

Hanya setelah dia berusaha dengan segala daya yang ada, di samping bantuan saya dan isteri, barulah najis itu berjaya di halau keluar daripada bersarang di dalam perutnya yang sempit. Dan najis itu cepat-cepat saya humbankan ke tong sampah. Tanpa usaha Ahmad Wazif yang gigih dan berterusan, mustahil najis itu dapat dikeluarkan.

Betapa sukar anak saya membuang najis sembelitnya yang keras dan berketul macam batu, begitulah sukarnya kebanyakan orang yang berhutang dengan saya untuk mengeluarkan wangnya dan membayarkan kepada saya. Kepada yang berhutang walau dengan sesiapa saja, hayatilah kisah Ahmad Wazif dan sembelitnya. Walau sepayah mana sekali pun untuk mengeluarkan wang bagi membayar semula hutang itu, kita akhirnya akan berjaya jika terus mencari jalan dan berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkannya sebagaimana sembelit anak saya itulah. Tetapi sebaliknya jika tidak ada sebarang usaha yang bersungguh-sungguh, wang itu akan terus menjadi pekat, liat, mengeras dan sembelit Akhirnya tidak ada sesiapa yang dapat mengeluarkannya lagi. Lalu wang pinjaman itu akan menggantungkan roh tuannya di antara bumi dengan langit sebaik sahaja menerima panggilan ilahi.

No comments:

Post a Comment