Pages

Tuesday, December 22, 2009

Pipi Wani Dicakar Kucing





Dah bertunang sepupu saya, Wan Hazawani Wan Zain (Wani) dengan jejaka pilihannya yang ditemui nun jauh di Bumi Kenyalang, pada Khamis, 3 Disember 2009 yang lalu. Takdir menentukan, bertemu, berkenalan dan kemudian jatuh hati di Bumi Kenyalang walaupun kedua-duanya anak kandung Che Siti Wan Kembang. Sayang, saya tidak berkesempatan untuk menyaksikan majlis pertunangan yang berlangsung di rumahnya yang terletak di kampung Chekeli Beta itu. Bagaimana pun dengan kehadiran facebook di episod kehidupan terkini, saya dapat menyaksikan gambar-gambar majlis pertunangan itu.

Antara sedar dengan tidak, Wani kini sudah bergelar seorang guru dan bertugas di salah sebuah sekolah di Sarawak. Amat pantas masa berlari. Tidak lama lagi dia akan bergelar isteri dan mungkin akan menjadi ibu. Walaupun Wani telah dewasa dan sudah menempuh alam kerjaya, namun sebagai sepupu yang lebih berusia dan pernah menyaksikan dia membesar dalam limpahan kasih sayang daripada Wan (gelaran bagi ayah untuk orang yang berketurunan Wan di Kelantan) dan emaknya, saya sering terkenang saat ketika Wani masih kecil. Ingatan saya sering terbayang saat ketika dia masih bayi. Terbayang Wani sedang meniarap sambil tersengih menampakkan gusi kepada sesiapa yang mengagahnya (mengusik atau membuat sesuatu untuk menarik perhatian bayi).

Sebagai anak sulung yang dilahirkan sempurna dan comel Wani amat disayangi dan sering mendapat pujian daripada Wannya. Pujian mengatakan Wani 'come' (comel) sering meniti di bibir Wannya yang terkenal dengan panggilan Tok We Zain oleh penduduk kampung. Suatu hari, ketika Wani sedang bermain dengan seekor anak kucing, tiba-tiba pipinya terkena cakaran kuku anak kucing yang tajam itu. Apa lagi, keluh kesah dan risaulah yang bersarang di hati Wan dan emaknya. Sebagai ibu bapa mereka tentu khuatir wajah Wani akan tercalar dan akan meninggalkan kesan sehingga usianya dewasa.

Bermacam-macam ubat dicari untuk memulihkan semula pipi Wani agar sembuh, tidak meninggalkan parut dan kembali seperti sediakala. Seingat saya antara ubat yang disarankan oleh seorang tua yang dipanggil Do Muyam atau Tok Do Muyam ialah buih yang keluar daripada kayu api basah yang dibakar. Menurutnya, buih itu hendaklah selalu disapu pada pipi Wani agar dapat menghilangkan parut. Saya tidak pasti adakah Tok wan Zain dan Mak Cik Sah menggunakan petua itu untuk memulihkan pipi anak kesayangan mereka. Yang saya tahu, tidak lama kemudian, kesan cakaran kucing itu telah hilang dan parut yang dikhuatiri akan menjejaskan wajah Wani pun tidak kelihatan.

Kini peristiwa itu telah dihanyutkan arus waktu. Kerisauan Tok Wan Zain dan Mak Cik Sah tentang wajah Wani yang dicakar kucing telah lama ditiup angin. Wani kini sudah sudah dewasa dan bakal melalui alam rumahtangga. Majlis pertunangannya pun telah selamat disempurnakan tanpa bayangan parut cakaran seekor kucing. Dengan sajian gulai ayam kampung peliharaan Tok We Zain, majlis itu dihadiri saudara mara terdekat. Kepada Wani dan pasangan, selamat bertunang. Selamat membina rumah tangga yang bahagia dan direhdai Allah. Semoga kekal hingga ke syurga.


1 comment:

  1. sy jugak penah alami mcm wani kena..tp kesan parut tu smpai skung masih kekal di pipi..kena cakar mse umur 2thn..skung dh 23 thn umo sy..tetap xilang..buntu nk guna apa utk ilangkn..produk dipasaran xmembantu pon..

    ReplyDelete