Pages

Saturday, May 15, 2010

Berdiri Bulu Romaku


Tanggal 16 Mei datang lagi. Pada jam 10.35 malam tadi saya menerima sms pertama yang mengucapkan Selamat Hari Guru daripada rakan semaktab, Cikgu Mazri Husein. Awal pagi ini (6.35 pagi) saya menerima sms kedua daripada rakan guru yang saya dapati amat menghargai persahabatan kami yang terbina sejak kira-kira 8 tahun lalu. Terima kasih Faidzul Ezuan atas ucapan yang amat berharga.

Terima kasih juga untuk Azhar Melaka, Suguna, Wan Marzuki Wan Ramli, Azhar Ismail, Neklah, Abang Long (Razali Husein), Kak Fauziah Zakaria (dj Radio Malaysia Kuching FM) , Kak Rohani Zahid (Bahagian Penyelarasan & Penjadualan Radio RTM), Zulastree Muhammad (dj KLFM), Haniza Ahmad (dj Klasik Nasional) dan lain-lain yang turut mengucapkan hari guru untuk saya.

Setiap kali tiba hari guru, saya tidak mengharapkan apa-apa hadiah daripada murid-murid. Hanya cukup dengan peluang yang datang sekali setahun untuk menyanyikan lagu keramat bagi para guru, 'Guru Malaysia'. Setiap kali menyanyikan lagu ini sejak 16 tahun lalu (di maktab dan setelah menjadi guru terlatih), pasti bulu roma saya akan berdiri. Dan rasa terharu menguasai diri.

Masjid Ar-Rahman, Aku Kembali Kepadamu!

Jadual kuliah Maghrib di Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya untuk bulan Mei 2010.

Sejak berpindah ke Kg. Pasir, saya cuba mencuri masa untuk kembali mendengar kuliah di masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya. Masih saya ingat, kira-kira 16 tahun lalu, ketika masih menuntut di Institut Bahasa, Kuala Lumpur (IBKL), yang kini bergelar Institut Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia (IPBMM), setiap malam saya berjalan kaki turun dari puncak bukit yang menempatkan asrama guru pelatih menuju ke Masjid Ar-Rahman. Apa yang terlihat oleh mata saya ketika itu, hanya saya seorang sahaja guru pelatih yang sanggup mencari Masjid Ar-Rahman untuk mendengar kuliah.

Mengunjungi Masjid Ar-Rahman memberikan ketenangan di jiwa saya kerana dengan mengunjunginya saya dapat melepaskan rindu terhadap kuliah-kuliah agama yang saya hadiri di kampung sejak berusia 14 tahun lagi. Ketika masih di kampung, saya sering mengunjungi banyak masjid untuk mendengar kuliah agama. Ketika masih di bangku sekolah, saya sering berkunjung ke Masjid Mukim Chekeli, Masjid Kg. Kor, Masjid Dewan Beta, Masjid Lundang Paku, Masjid Kadok, Masjid Bt.8 Perol, madrasah arwah Pak Kob dan lain-lain masjid yang mengadakan kuliah atau ceramah agama. Setiap hari Jumaat pula, saya akan ke Masjid Pondok Padang Lepai, Kadok untuk mendengar kuliah mingguan daripada ustaz jemputan dari seluruh negeri Kelantan.

Jika tidak ke Padang Lepai pada hari Jumaat, saya akan ke Dewan Zulkifli Muhammad di Bangunan PAS Kelantan yang terletak di Kota Bharu untuk mengikuti kuliah agama di situ. Selain mengikuti kuliah agama di masjid, saya juga sangat gemar mendengar ceramah-ceramah politik yang di adakan di segenap pelusuk di negeri Kelantan. Mendengar ceramah politik juga saya mulakan sejak berusia 14 tahun. Hanya dengan kayuhan basikal dan sesekali menumpang kenderaan orang lain, banyak tempat yang saya kunjungi untuk mendengar ceramah politik.

Saya amat mencintai masjid Ar-Rahman sejak mengenalinya. Masjid Ar-Rahmanlah tempat saya meneruskan tradisi mencari ilmu ketika berada di Kuala Lumpur. Ketika masih di IBKL, saya sering mendengar kuliah daripada Dr. Abd. Haei Syukur, Dato' Dr. Salleh Ahmad, Ust. Abd. Ghani Shamsuddin, Ustaz Ghani Abdul Rahman, Dr. Fauzi Deraman, Dr. Azhar Yaakob, Ustaz Sobri Arshad, Ustaz Siddiq Nor, Allahyarham Ustaz Dato' Fadhil Mohd. Noor, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Asmui Shamsudin dan lain-lain. Lazimnya selepas mendengar kuliah, saya akan singgah untuk makan atau minum di Restoran Amjal bersama-sama abang Halim, seorang tukang sapu di IBKL yang turut rajin mendengar kuliah di situ. Abang Halim kemudiannya menjadi kawan baik saya. Kami sering ke mana-mana mendengar kuliah dan ceramah politik.

Mendengar kuliah agama saya teruskan sehinggalah saya ditugaskan menjadi guru di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur. Bagaimana pun kerana tugas dan tanggungjawab yang kian bertambah, terutama selepas bekerja sambilan dan berumahtangga, kesempatan agak jarang saya perolehi untuk mengunjungi Masjid Ar-Rahman. Kini selepas beberapa tahun, saya cuba kembali ke pangkuan masjid Ar-Rahman. Ternyata, Masjid Ar-Rahman masih segar dengan kuliah maghrib setiap malam. Itu pun kesempatan masih terhad memandangkan agak sukar untuk meninggalkan isteri keseorangan menguruskan anak-anak sepanjang saya ke masjid. Namun, dalam kesempatan yang sempit ini, saya cuba mengintai peluang untuk menyambut lambaian Masjid Ar-Rahman.

Kepada anda yang tinggal di sekitar, jangan lupa malam ini (15 Mei 2010), kuliah bulanan oleh Ustaz Siddiq Nor di Masjid Ar-Rahman.

Sunday, May 9, 2010

Wajah Bakal Pembunuh

Inilah wajah Mohd Safuan Hilmi, 'bakal pembunuh' Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abd. Aziz.

Mohd Safuan sedang berfikir, bilakah pembunuhan kejam akan dilakukan ke atas ulamak yang disamakan dengan syaitan dan dajjal itu.


Bukti ancaman bunuh yang ditulis melalui laman facebooknya.

Maklumat ini saya panjangkan daripada blog Herman Shamsudeen di http://syukran.wordpress.com/.

Ancaman 1:
Belum lengkap lagi sbb sekor lagi barua x mati iaitu nik aziz.tggu aku p bunuh nik aziz dulu baru lengkap.setan tu x layak duk kt muka bumi ni lg.

Ancaman 2:
Senang bunuh org.tikam je.aku snggup dihukum gantung jika aku dpt bunuh nik aziz al-dajjal.
Fuck nik aziz !!!!!!!!!!

Thursday, May 6, 2010

Mustahil Saya Tak Marah

'Jangan bawa perangai Kelantan ke Selangor.' Itulah kata-kata yang dilemparkan oleh Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang memberi amaran kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau mengulas isu mainan media tempatan yang mendakwa Menteri Besar Kelantan itu mengingkari titah Sultan Selangor yang tidak membenarkan umat Islam menggunakan masjid untuk aktiviti politik.

Sebagai anak Kelantan saya berasa terhiris dan terhina dengan kata-kata itu. Oleh itu, jangan salahkan saya jika saya berasa amat marah pada kenyataan yang angkuh dan biadap itu.

Wazif Dah 3 Tahun

Kek Hari Jadi Wazif yang ke-3.


Meraikan minat Wazif terhadap Ultraman, saya dan isteri menghadiahinya, sebuah kek Ultraman.

Wazif diraikan dalam satu majlis ringkas pada petang Ahad, 2 Mei 2010 di rumah kami di Kg. Pasir Baru, Pantai Dalam.

Nasim (kiri), Wazif (tengah) dan Faris (kiri) sedang memotong kek Hari Jadinya.

Pada usia ketiga tahun, Wazif, anak sulung saya sempat diraikan dalam satu majlis ringkas pada 2 Mei 2010 yang disinari cahaya petang yang hampir hujan. Kebetulan, peserta Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) yang akan mewakili Zon Bangsar ke MTQ Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Faris Hadi Taufik dijemput ke rumah untuk belajar bertaranum dengan isteri saya. Kesempatan itu turut digunakan untuk meraikan Wazif yang semakin petah berbicara itu.

Begitu pantas waktu berlalu. Usia Wazif sudah mencecah 3 tahun, Ahmad Aakif 1 tahun 8 bulan dan usia rumahtangga saya pula menghampiri 4 tahun. Pada 28 Mei 2010 nanti genaplah usia perkahwinan saya yang ke-4. Kepada Allah saya sentiasa berdoa agar dikurniakan anak-anak yang bukan sahaja pintar, malah soleh dan solehah. Dan kebahagiaan kami berkekal an hingga ke taman syurga. Kepada Ahmad Wazif, membesarlah sebagaimana yang abah harapkan.

Cita-cita untuk mendapat anak-anak yang soleh dan solehah telah lama terpendam di hati saya. Lalu saya abadikan melalui sebuah sajak bertajuk, 'Putera Bermata Satu' yang telah disiarkan oleh akhbar Siasah keluaran 14-20 September 2008.

PUTERA BERMATA SATU
(Untuk putera sulungku, Ahmad Wazif bin Izani)

Mata di akalnya
dan mata di hatinya
adalah satu.
Mata yang satu itu
menembusi syurga.
Mata yang satu itu
buta neraka.

Mata yang satu itu
melihat Allah
pada bumi dan isi
mata yang satu itu
sering dilimpahi air
gentarnya akan Allah.
Mata yang satu itu
sering dilimpahi air
rindunya akan Allah.

Mata yang satu itu
memandang dunia sebagai bayang
akhirat pula yang sebenar
putera yang bermata satu itu
sering ternanti-nanti
bilakah datangnya mati.

IZANI ZAKARIA
Kuala Lumpur.

Tuesday, May 4, 2010

Bahaya Facebook

Saya panjangkan sebuah artikel bertajuk, 'Dosa-Dosa & Facebook,' tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman untuk tatapan pembaca. Artikel ini dipetik daripada laman blog beliau di http://www.zaharuddin.net/content/view/930/72/

Dosa-Dosa & Facebook

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.

Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.

Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2) Terlebih gambar

Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.

Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .

3) Penyamaran

Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.

Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.

5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-

a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.

6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan

Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.

Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.

KESIMPULAN

Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.

Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

3 Mei 2010

Sunday, May 2, 2010

Ugutan Bunuh Nik Aziz: Sejauh Manakah Polis Akan Bertindak?

"Belum lengkap lagi sbb (sebab) sekor (seekor) lagi barua x (tidak) mati iaitu nik aziz. Tggu (tunggu) aku p (pergi) bunuh nik aziz dulu baru lengkap. Setan tu x layak duk kt (dalam) muka bumi ini lagi.

"Senang bunuh org (orang), tikam je, aku snggup (sanggup) dihukum gantung jika aku dpt (dapat) bunuh nik aziz al dajjal tu"

Itulah dialog seorang pemuda yang dikenali sebagai Mohd Safuan Hilmi ketika berkomunikasi dengan salah seorang daripada rakan facebooknya. Facebook pemuda yang dikatakan sebagai salah seorang anggota Pemuda UMNO itu bagaimana pun ditutup setelah beberapa laporan polis dibuat dan selepas ia menjadi perbincangan hangat di kalangan orang ramai.

Jika sebelum ini pihak polis berjaya memburu dan menahan seorang blogger bernama Adukataruna dan membawanya kemuka pengadilan kerana dikatakan menghina Almarhum Sultan Johor. Adalah menjadi harapan banyak pihak untuk melihat sejauh manakah pula keseriusan pihak polis dalam menanggani masalah ini. Tunggu dan lihat.