Pages

Monday, January 9, 2012

Qari Kecil Idola Anak-Anak

“Anak-anak inilah yang akan membaca Al-Quran untuk kita apabila kita mati kelak.” Itulah kata-kata isteri yang sering menyala dan tidak pernah padam dalam kamar fikiran saya. Hasrat kami untuk melihat pada suatu hari nanti ada antara anak-anak yang lahir daripada benih kami berdua bergelar ‘hafiz’ dan ‘hafizah’ juga tidak pernah terpadam. Tidak sanggup rasanya untuk menjadi penghuni kubur yang sempit, busuk dan gelap gelita atau menjadi bahan bakaran api neraka hanya kerana meninggalkan anak-anak yang tidak soleh dan tidak solehah di dunia.

Dalam kesejukan malam yang sunyi ini, terkenang pula Imam Ghazali yang pernah berkata, “ perlulah dimulakan ilmu Al-Quran iaitu ilmu naqli (rohani) yang akan membentuk diri seseorang menjadi hamba Allah yang baik. Kemudian barulah ilmu naqli (ilmu bersumberkan akal seperti sains, matematik, bahasa dan lain-lain) untuk seseorang menjadi khalifah Allah yang boleh memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara. Peringatan Imam Ghazali ini menunjukkan betapa pentingnya setiap umat Islam mengajar anak-anak mereka Al-Quran.

Al-Quran yang dikirimkan oleh Allah melalui Nabi Muhammad SAW adalah harta yang tidak ternilai harganya bagi sekalian manusia. Kitab yang mengandungi 114 surah, 6236 ayat ini membekalkan garis panduan hidup di dunia, balasan di akhirat, kisah para nabi dan orang-orang soleh, hukum-hakam, undang-undang, suruhan, tegahan dan pelbagai persoalan yang wajib di selami oleh setiap insan.

Dalam keghairahan ibu bapa di zaman moden ini yang berlumba-lumba ingin menjadikan anak-anak mereka sebagai penyanyi, pelakon atau pelawak, tentu saja tidak ramai yang mempunyai kesedaran bahawa pengajaran Al-Quran hendaklah menjadi keutamaan. Hanya mereka yang mempunyai pandangan yang jelas tentang hakikat hidup di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal abadi sahaja mampu menongkah arus dan tidak terlalu terikut rentak sebilangan besar manusia yang cintakan dunia dan bencikan mati.

Kata Ibnu Khaldun, “anak-anak mempelajari dengan cara mengikuti dan mencontohi lebih daripada yang diambil dengan cara nasihat dan tunjuk ajar.”

Menjadikan para qari sebagai idola, contoh dan ikutan adalah antara cara terbaik untuk menanam perasaan ingin belajar dan cintakan Al-Quran dalam diri anak-anak. Buat anak-anak saya, saya perkenalkan beberapa orang qari kanak-kanak yang lahir di tanah air kita untuk menjadi ikutan, contoh teladan dan idola mereka. Di samping nama-nama mereka sering saya sebut, suara mereka mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran juga sering dimainkan di dalam kenderaan atau dalam telefon bimbit. Malah, selain daripada nasyid, bacaan mereka juga sering dimainkan untuk mendodoikan anak kecil saya agar tidur dengan nyenyak di dalam buaian. Qari-qari kecil yang dimaksudkan ialah seperti adik Muhammad bin Ahmad Zahid, adik Amir Rafi bin Nordin, adik Muhammad Thaqif bin Haji Fajuri dan adik Ahmad Najib bin Dato’ Mohd. Nasaruddin.

1. Muhammad bin Ahmad Zahid

Anak kepada pasangan Ahmad Zahid Zainal Abidin dan Siti Khadijah Fadzil telah dikenali ramai sejak kecil lagi kerana kebolehannya membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan baik. Ahmad berkebolehan membawa bacaan 10 orang imam dan qari seperti Imam Sudais, Imam Syuraim, Said Al-Ghamidi, Dr. Muhd Ayyub, Khalil Husory, Al-Matrudi, Abd. Rahman Huzaifi, Mi’syar Al-Fasi dan lain-lain. Ahmad merupakan anak sulung daripada 5 orang adik-beradik.

Anak kepada pasangan Penasihat Undang-Undang dan doktor gigi ini kini berusia 17 tahun dan sedang menuntut di Tingkatan 5 dalam aliran Sains Tulen. Pernah menjadi peserta termuda Program Akademik Al-Quran TV9 Musim ke-4 dan berjaya mendapat tempat kedua. Ahmad juga pernah menjadi Johan Perujian Tahfiz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2007 bagi kategori 1-15 juzuk. Penampilannya sebagai peserta rancangan ‘Mari Bertaranum’ dan muazzin di TV9 sering mencuri perhatian penonton.

Muhammad disamping ayah dan ibunya.

Selain itu, qari muda ini pernah dijemput ke Vienna, Austria dan memperdengarkan bacaan Al-Quran di hadapan 10,000 orang penonton bersama-sama qari dari Mesir, Iran dan Turki. Bacaannya dirakam dan disiarkan di TV Turki, Mesir, Austria, Jerman dan Perancis. Ahmad yang turut belajar seni silat cekak dan perubatan Islam dengan Dato’ Dr. Harun Din juga sering menjadi imam solat fardu di masjid At-Taqwa TTDI di samping sering diberi kepercayaan untuk mengimami solat Jumaat.

2. Amir Rafi Nordin

Amir Rafi, qari kecil yang berasal dari Johor juga pernah menjadi Johan Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Malaysia. Saya pada mulanya menyimpan bacaan beliau dalam bentuk kaset. Kemudian saya pindahkan ke komputer peribadi dan convert menjadi format mp3. Kemudian saya pindahkan pula ke CD dan telefon bimbit untuk lebih mudah didengar.


3. Muhammad Thaqif bin Haji Fajuri

Muhammad Thaqif mula dikenali setelah menyertai rancangan ‘Mari Bertaranum’ yang pernah diterbitkan oleh TV9 dan Rancangan Kalamullah terbitan TV3 beberapa tahun lalu. Thaqif yang kini berusia 13 tahun dilahirkan di Hospital Bersalin Kuala Lumpur (HKL) pada 30 April 1997. Pernah menjadi johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Sekolah Rendah pada tahun 2009, Naib Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kementerian Pelajaran Malaysia, Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bahagian Kanak-Kanak (2007-2009) dan Johan Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Agama Wilayah Persekutuan pada tahun 2007-2008. Ahmad Thaqif juga sering mendapat jemputan untuk memperdengarkan bacaan daripada agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun dan swasta. Kini sedang menuntut di salah sebuah pusat pengajian di Kelantan.


4. Ahmad Najib bin Dato’ Mohd. Nasaruddin.

Ahmad Najib, 13 tahun, ialah anak kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang juga ADUN Meranti, Dato’ Mohd. Nasaruddin Daud. Ahmad Najib sering memperdengarkan bacaannya dalam banyak majlis yang berlangsung di Kelantan. Pernah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di hadapan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Mu’tah, Jordan, Dr. Abdullah Fawwaz. Kebolehannya membaca Al-Quran dengan dengan baik menjadikan dia sering merangkul kejuaraan dalam Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) peringkat negeri dan kebangsaan. Kesempatan bertemu Ahmad Najib dalam satu majlis di Padang Perdana, Kota Bharu pada suatu malam tidak saya sia-siakan untuk merakam gambarnya (gambar di atas).

Sunday, January 1, 2012

Adam Adli Itu Murid Saya

Tiba-tiba saja nama Adam Adli Abdul Halim, pelajar tahun 3 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermain dari bibir ke bibir seluruh rakyat Malaysia. Ada yang menjulangnya sebagai pejuang mahasiswa yang berani memperjuangkan hak kebebasan bersuara lalu tampil membelanya dan ada pula yang menganggapnya anak muda hingusan yang kurang ajar dan masih mentah lalu keluar berdemonstrasi, mengamuk dan menjerit-jerit membantah tindakan Adam di hadapan pintu masuk UPSI. Ada yang sanggup mengekori Adam dan cuba menumbuknya tetapi tidak berjaya kerana dihalang oleh orang ramai. Ada juga kumpulan yang mendakwa mereka panglima perang melayu yang akan meludah muka Adam Adli.Tidak cukup dengan kecaman di media, pemuda berusia 22 tahun itu turut menerima ancaman bunuh dan pelbagai ugutan melalui panggilan telefon, SMS, facebook, blog dan twitter.

Semuanya kerana peristiwa demonstrasi 17 Disember 2011. Dalam demonstrasi menentang Akta Universiti dan Kolej (AUKU) yang disifatkan sebagai menyekat kebebasan bersuara pelajar itu, Adam Adli telah bertindak menurunkan gambar Perdana Menteri di hadapan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan menggantikan dengan bendera kebebasan pelajar selepas menyerahkan memorandum menuntut AUKU dimansuhkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Tindakan itu dianggap ‘kurang ajar’ kerana dikatakan menceroboh dan mengganggu premis pihak lain. Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) itu bagaimana pun mempertahankan tindakannya dan mendakwa dia tidak pernah memijak gambar Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh media, tetapi hanya menurunkan seketika sahaja sebelum dinaikkan semula. Katanya tindakan itu diambil setelah beberapa memorandum telah dihantar kepada kerajaaan tetapi tidak mendapat perhatian.

Sejak berita mengenai Adam bermain di media, saya terasa seperti nama dan wajahnya seperti pernah dikenali. Sehinggalah pada suatu malam, seorang teman guru di Sek. Keb. Brickfields (1), Kuala Lumpur mengingatkan saya kepada seorang murid yang telah meninggalkan bangku sekolah rendah kira-kira 11 tahun lalu. Barulah saya teringat semula kepada seorang murid yang pernah mendapat pendidikan di Sek. Keb. Brickfields (1). Nama dan wajah zaman kanak-kanak Adam yang memakai uniform pengawas sekolah berwarna hijau masih jelas terbayang di ingatan saya. Terasa seperti baru semalam dia meninggalkan sekolah yang terletak di Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields itu. Anak sulung kepada seorang kakitangan Kereta Api Tanah Melayu (KTM) itu meninggalkan Sek. Keb. Brickfields 1 sebaik sahaja tamat darjah 6 pada tahun 2001.

Saya masih ingat ketika itu Adam menjawat jawatan Ketua Pengawas. Sementara ayahnya, En. Abdul Halim merupakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Saya pula ketika itu memegang jawatan Setiausaha PIBG dan Pengerusi Kelab Guru. Adam tentu saja ketika itu menjadi orang perantaraan untuk saya mengirimkan surat jemputan mesyuarat kepada ayahnya.

Kini, semua itu telah jauh berlalu. Masa yang mengalir laju telah membawa kita dari satu daerah ke satu daerah lain yang belum pernah dijejaki dan didiami. Begitulah yang dilalui Adam Adli. Adam kini bukan lagi anak kecil yang masih menuntut di sekolah rendah. Adam kini telah bergelar mahasiswa di universiti dan bakal menjadi guru sebaik sahaja menamatkan pengajian nanti. Adam kini bukan lagi anak kecil yang hanya pandai bermain mancis api tetapi Adam kini adalah anak muda yang dilihat berani menggenggam bara api.

Apa yang sering menggaru fikiran saya pada ketika ini? Tentu saja terfikir tentang nasib yang bakal di terima anak muda bernama Adam Adli itu dan bagaimanakah masa depannya di UPSI. Sebagai guru, saya tidak sampai hati untuk melihat anak murid yang pernah dididik melalui masa depan yang sukar. Semoga Adam bersedia menghadapi sebarang kemungkinan atas tindakan beraninya itu dan tabah menghadapi ujian getir ini. Berhati-hatilah belayar dalam ribut dan gelombang yang kencang dan kejam.