Pages

Thursday, July 29, 2010

Jin Bersarang di Sendi Lutut (Bhg 1)


28 Julai 2010, paginya malas. Mentari teragak-agak untuk keluar menyuluh alam. Kira-kira pukul 8.45, singgah di telinga saya suara lolongan budak lelaki. Makin lama, makin kuat. Sangka saya budak-budak yang demam atau sakit perut atau yang tidak dapat menahan pening kepala menyengat-nyengat. Selalunya, bilik sayalah tempat mereka mengadu. Maklumlah Bilik Bimbingan dan Kaunseling. Murid-murid sering keliru antara peranan bilik rawatan dengan Bilik Bimbingan dan Kaunseling. Dalam fahaman mereka, bilik kaunselinglah tempat mengadu jika diselimuti masalah atau disengat sakit demam. Selalunya jika ada yang tersasar ke sini kerana demam atau sakit kepala, saya arahkan mereka berehat di bilik rawatan.

Tangisan yang semakin kuat dan bersungguh-sungguh itu menyeru saya keluar dari bilik pentadbiran yang berhawa dingin ke ruang tamu. Sebaik keluar, saya dapati seorang guru Tahun 6, Puan Mazlah yang kebetulan mengajar di kelas Tahun 6 Smart yang bersebelahan bilik kaunseling sedang mententeramkan seorang murid yang sedang meraung kesakitan. Sangka saya ketika masih di bilik pentadbiran, suara guru perempuan itu adalah suara Cikgu Hashifah Amani, rakan saya di Unit Bimbingan dan Kaunseling. Rupa-rupanya bukan. Dan saya dapati, murid tersebut adalah murid yang baru beberapa hari berpindah ke sekolah yang terletak di kilometer 5, Jalan Cheras ini. Sebelum ini dia menuntut di Sek. Keb. Bangsar, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.

Murid lelaki berkulit gelap tetapi berlesung pipit itu duduk dan menyandar di atas kusyen berwarna hijau sambil diperhatikan oleh beberapa orang murid yang turut membantu membawanya ke situ.

"Sakit! Sakit!" Murid itu meraung sambil memegang peha kirinya dengan kuat.

Menurut Puan Mazlah, ketika sedang menjawab soalan Ujian Pra-UPSR, murid itu tiba-tiba menjerit meminta tolong. Saya bertanya, adakah dia mengalami luka atau kecederaan di peha. Katanya tidak. Dia tidak mengalami apa-apa luka yang menyebabkan kesakitan sebegitu rupa. Tetapi sakitnya bagaikan ada tangan yang kuat mencakar dan mencengkam dengan kuku yang tajam.

Dua orang murid Tahun 6 telah diarahkan untuk memanggil ustaz agar segera ke situ bagi membantu murid malang itu. Sementara menanti kedatangan ustaz, Puan Mazlah membaca sesuatu dan menghembuskan ke bahagian yang sakit. Makin dibaca, makin sakit peha murid itu. Makin dibaca makin kuat raungannya memenuhi bilik yang terletak di tingkat 3 bangunan baharu itu.

Sakit! Sakit! Atuk, sakit! Atuk, sakit!"

Saya sesekali bertanya di celah-celah kesakitannya itu, adakah dia pernah dibawa oleh ahli keluarganya berubat di mana-mana. Katanya tidak. Hanya diikhtiarkan oleh datuknya dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Tambah murid itu lagi, dia pernah diberitahu oleh neneknya bahawa syaitan telah lama bersarang dalam tubuhnya itu. Dan setiap kali dibacakan ayat-ayat Al-Quran oleh datuknya, makhluk itu akan bertindak balas dan akan menyebabkan dia terasa amat sakit pada otot-otot peha.

Tidak lama kemudian, rakan saya, Ustaz Syukri dan Ustaz Khairul sampai. Mereka membaca sesuatu setelah mendapati memang benar murid itu bukan mengalami sakit biasa. Saya pula menghubungi datuknya yang tinggal di sebuah penempatan setinggan tidak jauh dari situ agar segera datang untuk membantu cucunya. Apabila Ustaz Khairul membaca sesuatu sambil memegang badannya, murid itu meraung-raung kesakitan.

melawan

Ustaz Syukri cuba menelefon rakannya yang juga seorang guru agama di Sek. Keb. Taman Midah 2, dan menceritakan hal yang berlaku. Beliau cuba membaca sesuatu melalui telefon yang dibesarkan suaranya dan diletakkan di telinga murid itu. Seperti sebelumnya apabila dibaca ayat-ayat suci Al-Quran atau pun doa, dia akan meraung kesakitan. Makhluk yang bersarang di dalam badannya itu barangkali cuba melawan apabila menerima sesuatu yang mengancam kekuatannya.

"Ini jin ganas ni," kata ustaz dari Sek. Keb. Taman 2 itu melalui telefon apabila mendengar suara mangsa menjerit dengan kuat.

Tanpa menunggu lama, datuk mangsa sampai ke bilik saya dengan wajah yang tenang seolah-olah tidak ada sesuatu yang merisaukan berlaku. Sambil mulut terkumat kamit, lelaki berusia dalam lingkungan 60 tahun itu memegang peha cucunya.

[CERITA BERSAMBUNG]

Wednesday, July 28, 2010

Mimpi dan Kematian

Seorang kawan saya, sering dikunjungi mimpi dalam pelbagai bentuk tentang sakratul maut yang gemar menghampiri ibunya yang sedang menderita dibakar percikan api dendam manusia berhati syaitan. Tanpa menunggu lama, ibu kesayangannya benar-benar pergi dipanggil Ilahi. Baru-baru ini dia bermimpi sedang menangis sambil berpelukan dengan ibu saudaranya di dalam sebuah masjid. Dalam mimpinya itu, mereka seolah-olah sedang menangisi kematian seseorang. Seminggu kemudian, pada hari lahir anak sulungnya, Alif, dia dirempuh berita kematian bapa saudaranya yang menetap di Tanah Merah, Kelantan.

Beberapa minggu kemudian, dia sering bermimpi mendapat gambaran seolah-olah ada seseorang yang sedang menanti masa untuk dicabut nyawanya. Pernah dia suarakan kepada saya tentang debaran kebimbangannya, ketika bertandang ke rumahnya di Rawang, pada sambutan hari lahir anaknya itu. Dia bimbang kalau-kalau nafas ayahnya pula ditarik Tuhan , memandangkan kesihatan orang tuanya itu tidaklah begitu baik sejak akhir-akhir ini.

Pada minggu lepas saya mendapat khabar, ayahnya yang menghidap kencing manis yang terukdi bawa dari Kelantan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan. Musim kesibukan saya memuncak pada minggu lepas. Saya bergelut dengan tugasan belajar dan projek menulis buku kanak-kanak yang perlu diselesaikan segera. Ditambah pula tugasan sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling yang turun lebat tidak pernah reda. Saya terpaksa menangguhkan hasrat untuk melawat ayahnya yang terlantar di Hospital Selayang itu, walaupun hasrat untuk mengenalinya telah lama tersimpan di hati. Sementara itu, kawan yang saya anggap sebagai ahli keluarga itu terus didatangi mimpi-mimpi yang membayangkan seolah-olah satu kematian akan berlaku tidak lama lagi.

Jika sebelum ini, saya tidak berkesempatan mengenali wajah ibunya, kali ini saya juga tidak berpeluang mengenali wajah ayahnya kerana pada hari Khamis, 22 Julai 2010 lelaki itu telah menghembuskan nafas terakhirnya. Jasad arwah dibawa ke pulang Tanah Merah, Kelantan dengan sebuah van jenazah yang disewa dengan bayaran RM 700.00 dan disemadikan pada hari itu juga di tanah perkuburan bersebelahan rumahnya kira-kira pukul 11.30 malam. Al-Fatihah untuk arwah En.Mokhtar. Semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Saturday, July 17, 2010

Saya Akan Mati Tidak Lama Lagi!

Mengejut. Tidak lewat dan tidak cepat biar sesaat. Tidak bertambah mahu pun berkurang walau satu tarikan dan hembusan nafas pabila sampai ke noktahnya. Saat dinamakan 'hembusan nafas terakhir' makin hari, makin hampir. Nafas terakhir yang melayang melalui ubun-ubun itu disentap kuat oleh makhluk berwajah ngeri dan menakutkan. Nabi Ibrahim pernah pengsan tatkala meminta Izrail menzahirkan wajah sebenarnya ketika menjalankan tugas mengambil semula nyawa yang dipinjamkan oleh Allah kepada manusia. Sakit? Bagaikan seekor kambing disiat kulitnya hidup-hidup. Bagaikan 300 kali tetakan ke leher dengan sebilah pedang pancung yang tajam. Syaitan dan iblis pula menjelma dan berbisik ke telinga biar sesat, syirik dan kufur. Lalu langit terbuka luas menampakkan syurga atau neraka yang dicari selama hidup.

Pada usia ke-36 tahun, saya makin terhidu bau tanah kubur yang dibenci kebanyakan manusia itu. Makin lama makin kuat bertiup menyerbu ke rongga hidung. Makin lama makin meresap ke hati, tulang dan jantung. Bagaimana menghadapi nazak yang sesak dan cemas? Bagaimana hendak bermukim di dalam lubang tanah yang sempit dan gelap pekat? Bagaimana hendak menghadapi soal kubur yang soalannya telah lama bocor? Agar roh diceraikan dari badan dengan lemah lembut dan penuh sopan, saya perlu bersedia. Bersedia! Sabda Rasulullah SAW, "orang yang bijak ialah orang yang sering mengingati mati dan sentiasa bersedia untuk mati."

Mendengar kuliah-kuliah agama membuatkan saya sering terdengar bisikan kematian. Mendengar kuliah-kuliah agama membuatkan saya sering tergambar batu nisan yang terpacak di atas kubur melambai-lambai. Mendengar kuliah-kuliah agama membuatkan pandangan mata saya sering tembus ke akhirat yang maha benar. Beberapa jam tadi terasa amat saat kematian semakin mendekat. Mendengar kuliah maghrib Ustaz Siddiq Noor di Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya benar-benar mengingatkan saya kepada mati yang semakin hampir itu. Kata-kata ikhlasnya satu persatu menyelinap dan larut di hati ini. Allahuakbar! Saya akan mati! Ya, saya akan mati juga nanti! Percayalah!

Friday, July 16, 2010

Jom Serbu Ustaz Siddiq Noor

Hanya sekali dalam sebulan, kita dapat melihat kelibat ulama' zuhud ini di Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti kuliah bulanannya pada malam esok, Sabtu, 17 Julai 2010, jam 7.45 malam.

Menangis Bersama Palestin

Sabtu lepas, 11 Julai 2010, saya sekeluarga sempat mencuri masa yang amat berharga untuk menjejaki derita rakyat Palestin melalui 'Konsert Mahabbah Ghaza' di Stadium Malawati, Shah Alam sempena Ulang Tahun ke-9 Radio ikim.fm. Gambar di atas dirakam ketika konsert belum bermula dan orang ramai sedang memenuhi ruang stadium. Majlis yang diserikan oleh kumpulan-kumplan nasyid popular seperti Raihan, Rabbani, Inteam, penyampai-penyampai radio ikim.fm dan lain-lain itu mampu mengajak penonton merasai kehangatan darah dan air mata rakyat Palestin. Atas ikatan persaudaraan yang kukuh, kami turut menangisi kesengsaraan mereka yang entah bila akan berakhir.

Ahmad Aakif turut berkongsi minat dengan abangnya, Ahmad Wazif yang meminati nasyid. Setiap hari, di rumah mahu pun di dalam kereta, mereka memilih nasyid atau bacaan Al-Quran sebagai halwa telinga.

Peminat nasyid nombor 1, Ahmad Wazif yang leka dibuai irama nasyid, di sisi mamanya.

Thursday, July 8, 2010

Merpati Hinggap Jua

Setelah menanti lebih seminggu, akhirnya hinggap jua merpati Si Zanazanzaly ke tangan saya. Inilah koleksi terbaru saya. Sebuah antologi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang memuatkan 21 buah cerpen, karya Zanazanzaly.