Pages

Saturday, August 28, 2010

'TV3 Suku' Dah Kencing Dah!


Cerita asalnya, seorang wakil rakyat pembangkang yang bukan Islam menghadiri jemputan majlis berbuka puasa sambil menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Selangor di Surau Al-Huda, Kajang, Selangor. Setelah menyampaikan sumbangan untuk membaiki pagar surau tersebut, beliau dijemput untuk berucap. Dalam ucapannya, beliau memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Selangor.

Tiba-tiba hal tersebut telah disensasikan, dieksploitasi dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang bersekongkol dengan media arus perdana termasuk 'TV3 Suku'. Melalui Berita Terkini, jam 4 petang tadi, ucapan biasa Y.B Teo Nie Ching itu sudah menjadi 'tazkirah'. Cepat betul 'TV3 Suku' kencing. 'Ucapan' telah menjadi 'tazkirah'. Wakil rakyat itu dikatakan telah menyampaikan 'tazkirah' kepada jemaah dalam ruang solat surau bekenaan.

Walaupun maksud 'tazkirah' (bahasa Arab) adalah sama dengan 'ucapan' (bahasa Melayu), tetapi kefahaman orang melayu tentang perkataan 'tazkirah' lebih merujuk kepada satu ucapan yang memberi nasihat atau menyampaikan sesuatu yang berkait dengan hal-hal keagamaan. Jadi, dengan menggunakan perkataan itu, seolah-olah 'TV3 Suku' berniat jahat dan cuba memberi gambaran buruk terhadap ahli parlimen itu.

Kenapa 'TV3 Suku' suka sangat kencing? Kalau ya pun nak kencing, kencinglah di dalam jamban. Jangan kencing bertaburan di luar jamban. Hancingnya. Ya, Allah!

Friday, August 27, 2010

Orang Bukan Islam Tak Boleh Masuk Surau atau Masjid?


Muzakarah Kali Ke-90 Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, mengikut keputusan itu, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Tuesday, August 24, 2010

Apabila Keldai Lebih Bijak daripada Tuan

Sempena Sambutan Hari Hudud Kelantan yang diadakan di Dewan Balai Islam, Lundang, Kota Bharu, Kelantan pada 19 Ogos 2010 lalu, saya siarkan semula sepucuk surat daripada Y.A.B Perdana Menteri ketika itu kepada Y.A.B Menteri Besar Kelantan.

PERDANA MENTERI MALAYSIA

Y.A.B Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
KELANTAN

Y.A.B. Tuan Haji,

PENGUATKUASAAN KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993 DI NEGERI KELANTAN

Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26)
Bertarikh 8 Jun 1994

Pihak kerajaan pusat sentiasa berpandukan kepada kebijaksanaan (al-Hikmah) yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW. dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidun dalam melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum jenayah.

1. Jalan yang diambil oleh Kerajaan Pusat ini adalah juga berpandukan kapada kaedah yang terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu “tindakan pemerintahan adalah sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum).” Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak menyakinkan pakar-pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik bahawa ia selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang telah diuruskan dengan bijaksana oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat.

2. Sepertimana yang Amat Berhormat sendiri sedia ketahui, KEADILAN adalah ASAS yang paling utama ditekankan oleh agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai dengan keadilan adalah sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan yang terdapat dalam ajaran-ajaran yang lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah SAW. sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya dizaman itu.

3. Tidak perlu bagi saya menyatakan disini betapa banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya keadilan dan lebih banyak bagi ayat-ayat yang mencela sebarang jenis kezaliman. Disamping itu al-Quran juga sentiasa menggesa supaya dielak daripada terjadinya huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemarkan kapada mereka yang menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita. Di Malaysia, orang bukan Islam bukan sahaja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan membantu kita dalam urusan-urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan ajaran Islam.

4. Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan akan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa kezaliman. Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kapada keterangan berikut:

(i) Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku. Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al Quran.

Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap jenayah yang sama bagi orang Islam. Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan. Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya tertentangan dengan agama Islam.

(ii) Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan kapada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum mengikut undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu adalah mangsa rogol. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh telah merogol wanita berkenaan.

Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan mangsa rogol akan ditolak dan perogol akan terlepas.

Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun sebagai sesuatu yang adil, bahkan ia adalah satu kezaliman yang dahsyat.

5. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan oleh PAS bukanlah undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS yang bertentangan dengan penekanan oleh agama Islam yang menuntut supaya menghukum secara adil dan menolak sebarang kezaliman. Kerajaan Pusat akan sentiasa berpandu dan menerima ajaran-ajaran dan amalan Islam dari semua aspek tanpa diheret oleh kehendak organasasi politik yang mempunyai kepentingan yang lain daripada Islam dan kepentingannya .

6. Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi unsur-unsur ketidakadilan dikuatkuasakan dinegara ini, dan jika ia dikatakan itulah Hukum Hudud Islam maka umat Islam dan juga anggota masyarakat bukan Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk penganutnya. Ia juga memberi gambaran yang buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej orang-orang Islam di kalangan penganut agama-agama yang lain. Ia tetap akan menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya.

7. Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya. Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat membenarkan Kerajaan Pas menjalankan sesuatu yang bercangah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.

DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

15 Julai 1994

Sunday, August 22, 2010

Muka Tak Malu!


Gerakan Anggap Hudud 'impian peribadi' Nik Aziz
Malaysiakini: 22 Ogos 2010

Pemuda Gerakan menegaskan PAS harus sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang jenayah telah diperuntukan di bawah Kanun Keseksaan yang sedia ada. "Negara kita, yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama, telah kian lama menolak perlaksanaan hukum hudud. Antara hukum hudud adalah hukuman potong tangan bagi pencuri dan rejam bagi penzina," kata ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang.

Beliau merujuk kepada cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya undang-undang hudud bagi mengatasi gejala jenayah dan sosial seperti kes membuang bayi yang semakin meningkat.


Dalam satu kenyataan, Tan berkata, cadangan undang-undang hudud tersebut juga turut ditolak oleh DAP, yang merupakan rakan seperjuangan PAS dalam Pakatan Rakyat.
"Menurut kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh dua hari lepas, undang-undang hudud bukan jawapan kepada gejala jenayah dan sosial. "Malah beliau juga berkata 'partinya DAP tidak dapat menerima sebarang bentuk pelaksanaan hudud di negara ini'. "Ini jelas menunjukkan bahawa cadangan undang-undang hudud oleh mursyidul Am PAS tersebut adalah hanya impian peribadinya. "PAS harus sedar bahawa hukum hudud bukan impian semua rakyat Malaysia, yang berbilang kaum dan agama," tegasnya.

Oleh itu, beliau berharap PAS tidak akan lagi mengambil kesempatan untuk mencadangkan undang-undang hudud atas alasan kenaikan gejala jenayah dan sosial.
"Adalah lebih baik bagi PAS mengkaji sebab-sebab kenaikan gejala jenayah dan sosial dan memberi cadangan rasional untuk meminda mana-mana peruntukan di dalam Kanun Keseksaan yang sedia ada," tambahnya. PAS, tegas Tan, PAS harus menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Keseksaan yang sedia ada.

Saya tinggalkan beberapa persoalan untuk difikirkan.

1. Kenapa ada orang bukan Islam yang 'muka tak malu' berani dan lantang mempertikaikan pelaksanaan Undang-Undang Syariah, sedangkan pelaksanaan hukum tersebut tidak ada kena mengena langsung dengan mereka? Mereka boleh memilih untuk mengguna pakai undang-undang sedia ada. Undang-undang Islam tidak akan sekali-kali dipaksakan ke atas orang bukan Islam. Ia untuk orang Islam sahaja.

2. Jika ada orang bukan Islam mempertikaikan undang-undang Islam, bermakna mereka sudah campur tangan dalam urusan hal ehwal agama Islam yang tidak ada kena-mengena dengan mereka.

3. Mereka terlalu berani kerana banyak pihak yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya turut berani mempertikai dan menentang pelaksanaan hukum yang diwajibkan oleh Islam itu.

4. Kenapa setelah 53 tahun merdeka dan setelah 53 tahun berkawan dengan mereka, orang-orang bukan Islam masih gagal memahami konsep sebenar pelaksanaan Undang-Undang Syariah?

5. Kenapa setelah 53 tahun merdeka, kewajipan memperjuang, mengangkat dan melaksanakan Undang-Undang Syariah hanya dibebankan ke atas bahu satu pihak sahaja, sedangkan satu pihak yang lain (orang Islam juga) mengabaikan, malah menentangnya?

6. Jika umat Islam benar-benar menghormati dan mematuhi ajaran agamanya, dengan sendirinya Islam itu akan dihormati oleh penganut agama lain. Tetapi jika umat Islam sendiri tidak menghormati, tidak mematuhi, bahkan melanggar ajaran agamanya, usah bermimpi ada penganut agama lain akan menghormatinya.

7. Jika semua umat Islam bersatu mempertahan, memperjuangkan dan menegakkan undang-undang Allah, masakan ada lagi orang bukan Islam yang berani mempertikai dan memperlecehkan pelaksanaannya.

8. Tanggungjawab pemimpin Islam adalah melaksanakan perintah Allah (hukum dan undang-undang Allah). Tanggungjawab rakyat adalah memilih pemimpin yang berusaha dan berjuang untuk melaksanakan hukum Allah.

9. Undang-undang syariah = undang-undang Islam = undang-undang Allah = hukum Allah = suruhan Allah = arahan Allah = perintah Allah.

Wednesday, August 18, 2010

Hari Minggu Yang Putih

PADA sekeping hari di usia ke-36 ini, saya tiba-tiba menyedari sesuatu yang sebenarnya telah lama mendatangi fikiran bawah sedar. Rupa-rupanya setiap hari yang saya lewati selama ini memiliki warna yang tersendiri. Mungkin tiada pada yang lain, tetapi ada dalam lintasan fikiran saya. Hari-hari yang dilalui seperti hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad bagaikan ada warnanya dalam fikiran saya. Walaupun warna-warna ini telah lama wujud tetapi saya sendiri sukar memastikan bilakah ia bermula.

Menyebut hari Isnin, saya akan tergambar satu hari yang berwarna perang tetapi hampir menyamai warna jingga. Hari Selasa pula berwarna biru kehitaman, hari Rabu berwarna putih susu, hari Khamis berwarna perang, hari Jumaat pula terbahagi dua. Bahagian atas berwarna hitam dan bahagian bawah berwarna putih. Sementara hari Sabtu pula berwarna merah tua tetapi tidak terlalu gelap dan hari Ahad pula berwarna putih.

Saya rasa, warna-warna yang wujud di fikiran bawah sedar itu dipengaruhi oleh situasi, aktiviti dan emosi yang wujud pada hari-hari tersebut sekitar kehidupan saya. Hari Isni berwarna perang mungkin kerana hari tersebut adalah hari yang kurang digemari oleh kebanyakan orang termasuk saya. Hari Isnin kurang digemari kerana ia adalah permulaan hari bekerja dalam seminggu selepas bercuti pada hari Sabtu dan Ahad. Kenapa hari selasa berwarna biru kehitaman, hari Rabu berwarna putih dan hari Khamis berwarna perang saya tidak pasti.

Hari Jumaat berwarna hitam di atas dan putih di bawah mungkin kerana hari Jumaat merupakan hari bekerja separuh hari dan pada waktu tengahari saya tidak boleh ke mana-mana kerana perlu menunaikan solat Jumaat pada waktu tengahari. Barangkali itulah yang menyebabkan separuh daripada hari Jumaat itu diwarnai warna hitam. Sementara pada sebelah petang, saya bebas ke mana-mana. Sebab itulah agaknya sebahagian lagi berwarna putih.

Hari Sabtu yang diwarnai merah tua tetapi tidak terlalu gelap itu saya tidak pasti sebabnya apa. Tetapi hari Ahad yang dihiasi warna putih bersih mungkin kerana hari tersebut adalah hari di mana saya tidak bekerja. Pada hari cuti saya bebas ke mana-mana.

Mungkin ini sesutu yang melucukan, tetapi iamemang wujud dalamfikiran bawah sedar saya yang hanya disedari ketika sedang memandu kereta pada suatu hari selepas pulang dari menghadiri kelas belajar. Adakah ia turut dialami oleh pembaca atau ia hanya mendatangi saya?

Tuesday, August 10, 2010

Jin Bersarang di Sendi Lutut (Bhg 2)


Tangannya menggosok dengan perlahan dari lutut hingga ke kaki seolah-olah dia dapat memegang dan menolak keluar makhluk yang bersarang di lutut anak remaja itu.

"Sakit! Sakit! Aduh!" murid malang itu menjerit walaupun tangan datuknya hanya diletakkan tanpa menekan atau memicit sehingga menimbulkan kesakitan kepada kulit mahu pun otot.

Dia mengulangi sekali lagi tanpa berhenti membaca sesuatu walaupun mangsa terpaksa menahan sakit. Kali ini, sebaik sahaja sampai di hujung kaki, dia menepuk-nepuk betis mangsa. Katanya dengan tegas, "dah! Dah! Jangan nangis lagi. Dah tak ada dah."

Seperti mengambil dan membuangnya ke luar. Mangsa yang tadi mengalami kesakitan sudah tidak merasainya lagi. Penyakitnya telah hilang dalam sekelip mata.

"Wah, hebat juga orang tua ni! Dia tidak datang dengan tangan kosong," bisik hati saya.

Rupa-rupanya dia memiliki ilmu dan kepakaran mengubati pesakit yang diganggu makhluk halus. Cuma, katanya dia sudah agak lama tidak menggunakan kemahiran itu.

"Dia ni sakit pelik sikit," kata datuk kepada tujuh orang cucu itu memulakan cerita." Penyakit dia ni, mungkin ada orang tidak percaya , cikgu. Ini gangguan makhluk halus. Jin la yang kacau dia. Duduk dalam sendi," terang lelaki itu kepada saya Ustaz Khairul dan Ustaz Syukri.

"Jin memang suka bersarang di sendi," Ustaz Syukri membenarkan kata-kata itu.

"Dia ni kira jadi mangsa la ni. Ceritanya, emak dia ni memang suka bomoh-bomoh. Sejak dari nenek dia lagi memang suka bomoh-bomoh ni. Nenek belah mak dia dulu kalau jalan ke mana-mana dan lalu kawasan kubur, sanggup berhenti nak ambil tanah kubur. Menurun la kat mak budak ni. Jadi, agaknya entah macam mana terkena la kat anak dia ni," tambah lelaki itu sambil menghadap kami yang khusyuk mendengar, sambil sesekali dia mengalihkan pandangan kepada cucunya yang sudah keletihan.

Sambungnya lagi, "budak ni, emak dengan ayah dia dah bercerai. Sekarang ni budak-budak ni jadi mangsa la. Jadi, entah macam mana dua tiga hari baru ni di halaunya budak-budak ni. Hantarlah ke rumah saya.

dihalau

Menurutnya lagi, pada suatu hari, ketika dia pulang ke rumah, didapati ada beberapa plastik hitam yang memuatkan pakaian cucu-cucunya itu di luar rumah. Rupa-rupanya anak-anak malang itu telah dihalau oleh bapa tiri mereka. Walaupun sudah tua dan hanya ditemani isteri yang telah uzur, dia terpaksa juga menjaga 3 orang cucunya yang dihalau itu. Dalam masa yang sama dia telah menjaga 2 orang cucu yang juga telah ditinggalkan oleh ibu mereka. Tidak cukup dengan itu, dia dan isteri turut menjaga 2 orang lagi cucunya kerana pembantu kepada ibu bapa mereka telah pulang ke Indonesia.

" Jadi, sekarang ni, saya terpaksa menjaga 7 orang cucu. Dengan saya sekali jadi mangsa bila dah macam ni. Inilah masalahnya kalau orang tak tau agama. Sembahyang pun tak tau, cikgu," jelasnya.

kemenyan

Beliau turut menceritakan karenah bekas menantunya, yang juga ibu murid malang itu. Perempuan yang disifatkan buruk perangai itu suka menggunakan bomoh untuk mencapai sesuatu yang dihajatinya. Dia menceritakan bagaimana kehidupannya selepas ibu bapa murid malang itu bercerai. Setiap waktu rumah setinggan yang dihuninya terasa amat panas dan menjadikan kehidupan dia dan isteri tidak selesa. Sering ditemui kemenyan di segenap penjuru rumah.

Perangai buruk bekas menantunya itu bukan sahaja ketika sudah bercerai dengan anaknya, malah ketika masih bergelar isteri kepada anak lelaki sulungnya itu. Perempuan itu telah menggunakan bomoh untuk menundukkan suaminya. Akhirnya rumah tangga mereka berkecai . Kini, walaupun mereka telah menemui pasangan masing-masing. tetapi anak-anak tetap menjadi mangsa kepada kemusnahan rumahtangga itu.

Sebelum pulang, dia memberitahu saya, jin itu masih belum dibunuh. Makhluk Allah itu hanya dihalau keluar dari badan mangsa. Jin itu boleh datang lagi pada bila-bila masa. Dan ketika hendak meninggalkan bilik saya dia meminta sedikit air mineral. Saya memberikannya secawan air mineral, lalu dibacakan sesuatu dan diberi cucunya minum.


Sunday, August 8, 2010

Tuesday, August 3, 2010

Saya hanya Ada 5 Tahun Untuk Hidup

3 Ogos 2010. Hari ini genaplah umur saya 36 tahun. Awal-awal pagi lagi, ketika perasaan sedikit resah kerana terperangkap dalam huru hara perubahan aliran trafik di Brickfields yang sedang melalui proses pembinaan 'little India', ketika menghantar isteri ke tempat bertugas, saya menerima kad hari jadi istimewa daripadanya. Ayat-ayat cintanya panas mengalir ke dalam pembuluh darah saya. Terima kasih isteriku, atas wangi cinta yang datang dari syurga.

Ingatan dan doa turut diterima daripada rakan-rakan sama ada melalui SMS mahu pun facebook. Terima kasih buat sahabat saya, Yusrizal yang tidak pernah lupa mengirimkan ucapan hari lahir pada setiap tahun, meski pun saya sebenarnya tidak mengetahui tarikh lahir beliau. Juga untuk abang angkat saya, Razali Husein yang menetap di Bagan Serai, Perak. Bagaikan sudah tertanam kukuh dalam ingatannya tarikh kelahiran saya. Setiap tahun, beliau yang saya panggil Abang Long adalah antara orang terawal mengirimkan ucapan. Isterinya, Kak Juriah tidak ketinggalan memberikan ucapan untuk saya.

Tidak lupa untuk Ima Pantai Dalam, sepupu saya Wan Hazawani, along atau Zatil Azhani (anak sulung abang angkat saya, Razali), Mak Mong, Che Harun, Azean Abdullah, Ridhuan, Hamid, Izwana Eman Boidozvi, Azahari Abdullah, Kak Adibah Affendi dan Kak Nurliza Yeo Abdullah (penerbit rancangan di Klasik Nasional), Khairul Munirah (dj Klasik Nasional), Norhana Nordin (dj Muzik FM), Hani Hafizah (wartawan TV RTM), Zamhuri Hamzah (pembaca berita radio RTM), Norazlina Muhamad (bekas dj Negeri FM yang kini bertugas di siaran Suara Malaysia), Fauziah Zakaria (dj Radio Malaysia Kuching FM), Zulastri Muhammad (dj KLFM), Sri Diah (editor & novelis), Zamzuri Mat Raji, Zulkifli Omar, Nazirah, Suriha Shamsudin, Lily Hafidza, Haziman Nawi, Mohd. Laisani, Naseem, Shahril Rizal, Saifullizan Senin, Ana Balkis (penulis & pensyarah UM), Goh Han Jian, Rosnani Ripin dan Wan Zuhaimi.

Jika hayat saya sepanjang Allahyarham Din Beramboi yang dipanggil Ilahi dalam usia ke-41, saya hanya boleh mengecapi kehidupan ini dalam masa 5 tahun sahaja lagi. Singkat bukan?