Pages

Thursday, June 16, 2011

Kartunis Utusan Malaysia Hina Islam?

Kartunis Utusan, Rogol dan Zina

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

Saya tidak pasti, apakah kartunis Utusan itu hendak menghina Islam atau hendak menghina pihak tertentu. Jika dia bertujuan menghina Islam, dilakukan pula dalam keadaan yang sedar akal fikirannya, maka dia terkeluar daripada Islam.

Namun, jika dia bertujuan mengkritik salah faham sesetengah pihak mengenai perbezaan hukum zina dan rogol, maka itu tidak merosakkan imannya, bahkan satu sumbangan membetulkan fahaman yang salah.

Adapun jika dia bertujuan membohongi fakta yang dimaksudkan oleh seseorang, sehingga menimbulkan salah sangka, maka dia berdosa besar.

Persoalan yang timbul; apakah jika seseorang wanita membuat aduan kepada mahkamah syariah bahawa dia dirogol maka mahkamah syariat akan menyatakan: awak mesti mendatangkan empat orang saksi, jika tidak awak disebat 80 rotan?

Adakah di dunia ini empat orang saksi yang soleh sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka?

Rogol

Mungkin ada yang tidak faham sehingga menyamakan jenayah rogol dan zina. Zina adalah maksiat peribadi yang Islam berusaha menutupnya. Sebab itu diketatkan dengan empat orang saksi.

Adapun rogol adalah pencabulan terhadap individu lain tanpa rela dan kejam, maka pembuktiannya tidak seketat zina. Beza menuduh orang lain berzina dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah.

Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur menjatuhkan maruah orang lain. Sementara mendakwa diri menjadi mangsa rogol adalah mempertaruhkan maruah diri sendiri.

Secara lojiknya, sukar dilakukan melainkan dalam keadaan yang amat memaksa. Bagaimanakah mungkin seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan?

Maka, dalam kes kedua qarinah (bukti kaitan) boleh dipakai seperti yang disebut dalam Surah Yusuf:

“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu.

Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tiada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya”.

Yusuf pula berkata: “Dialah yang menggoda diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:”Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang berdusta.

Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar.

Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, dia berkata: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya” (Surah Yusuf: ayat 25-28).

Lihat, Al-Quran menceritakan bagaimana qarinah digunakan dalam peristiwa ini.

Lian

Sebab itu juga, Islam tidak mewajibkan pula seseorang yang menuduh isterinya berzina agar mendatangkan empat orang saksi.

Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya mencalarkan maruah penuduh. Maka, agak sukar untuk seseorang itu menuduh isterinya secara bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina.

Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah pasti tidak bagi kes isterinya.

Justeru Allah menyebut: (maksudnya)

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar;

Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): “bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta;

Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang- orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).

Bab ini dinamakan dengan 'li'an' atau penglaknatan. Inilah jalan yang Allah berikan kepada pasangan suami isteri yang tuduh-menuduh dalam perkara seperti ini.

Selepas proses ini dilakukan, mereka dipisahkan selamanya, tanpa ada hukuman keseksaan mahkamah yang dijalankan, sebaliknya diserahkan urusan tersebut kepada Allah. Ini kerana, kes ini adalah kes mempalitkan keaiban diri sendiri.

Maka, mereka yang mendakwa diri dirogol atau diliwat secara paksa juga adalah menampalkan keaiban ke atas diri sendiri. Amat sukar bagi insan normal itu membuat dakwaan seperti itu secara semberono.

Melainkan jika ada kepentingan tersembunyi yang lain. Maka mereka juga tidak perlu mendatangkan empat saksi. Sebaliknya boleh diterima pakai kaitan (qarinah) yang membuktikan kejadian itu berlaku. Justeru, paksi dalam hal ini semua, ada demi memelihara keturunan dan maruah.

(Tulisan ini dipetik daripada Malaysiakini)

Friday, June 3, 2011

Wazif 4 Tahun, Aku Hampir Mati

2 Mei 2007, umpama purnama jatuh ke riba, lahirlah anak pertama saya di Wad Bersalin, Hospital Kuala Lumpur. Anak lelaki yang dinamakan Ahmad Wazif (bermaksud ‘yang gigih’) itu lahir ketika usia saya 33 tahun, setahun selepas mendirikan rumah tangga. Kelahiran Wazif bukan sahaja disambut gembira oleh saya dan isteri, malah turut dikongsi oleh ayah dan mek (ibu) saya kerana Wazif adalah cucu sulung yang mereka nantikan sekian lama. Tertunailah tugas saya sebagai anak sulung yang bertanggungjawab menghadiahi mereka cucu pertama. Saya akhirnya bergelar bapa walaupun agak lewat jika dibandingkan dengan kebanyakan rakan yang lain.

Wazif selepas dilahirkan di Hospital Besar Kuala Lumpur.


Wazif yang diserang demam kuning yang teruk dirawat
di Institut Pediatrik, Kuala Lumpur.

Wazif dibesarkan dengan limpahan kasih sayang dan disuapkan dengan rezeki daripada titik peluh saya sendiri. Anak yang aktif itu membesar seperti kanak-kanak lain yang menikmati alam kanak-kanak dalam keseronokan dan keriagan. Segala kehendaknya dipenuhi di samping saya menitik beratkan pendidikan agama sedari awal.

Isnin, 2 Mei 2011 pula, genaplah usia anak kesayangan itu 4 tahun. Oleh kerana saya agak sibuk dengan tugas harian, sambutan hari jadinya yang disambut di Tadika KEMAS, Jeram Tekoh terpaksa diadakan pada hari Ahad, 8 Mei 2011 secara sederhana tetapi meriah. Dengan berbekalkan ‘kek Ben10’dan sedikit cenderamata untuk kawan-kawannya, sudah cukup untuk membuatkan Wazif gembira dan bersemangat pada hari itu.

Kek Hari Jadi Wazif yang ke-4.


Gambar bawah, Wazif sedang memotong kek hari
jadi dibantu oleh mamanya.

Saya pula walau pun sudah berusia 37 tahun dan anak-anak kian membesar di depan mata, terasa seperti baru semalam meninggalkan alam kanak-kanak dan zaman persekolahan yang dibancuh dengan pelbagai warna. Menuntut di Sek. Keb. Dewan Beta, Kota Bharu (Tadika - Darjah 6), Sek.Men. Mulong, Kota Bharu (Tingkatan 1), Sek.Men. Dewan Beta, Kota Bharu (Tingkatan 2 & 3), Sek.Men.Mulong, Kota Bharu (Tingkatan 4 & 5) dan Sek. Men. Kota, Kota Bharu (Tingkatan 6 rendah & 6 atas).

Dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), saya diterima belajar di Institut Bahasa Kuala Lumpur (sebuah Institut Pendidikan Guru), kemudian bertugas di Sek. Jenis Kebangsaan (Tamil) Appar, Jalan Raja Laut, Sek. Keb. Brickfields (1), Kuala Lumpur, Sek. Keb Seri Cheras, Kuala Lumpur, Sek. Keb. Perasu, Gua Musang dan kini di Sek. Keb. Jeram Tekoh,Gua Musang. Semasa di Sek. Keb. Brickfields (1) pula sebelah kaki saya berada dalam dunia penyiaran yang amat menakjubkan dan menyimpan seribu kenangan. Dan dalam tahun 2008 hingga kini, berpeluang melanjutkan pelajaran di Open University Malaysia (OUM).

Pada usia ke-32 tahun pula, Allah menamatkan zaman bujang saya dengan gadis pilihan berusia 25 tahun yang berjaya mencuri hati ini. Wanita yang saya nikahi di dunia fana dan di syurga kelak yang kekal abadi.

Begitu cepat masa berlalu, walaupun dalam tempoh 37 tahun, saya telah melalui dan mengecapi pelbagai peristiwa dalam hidup sebagai manusia biasa sebagaimana orang lain juga. Bagaikan sekelip mata meninggalkan kisah lalu atau hanya sebabak mimpi yang datang tatkala tidur pada satu malam. Walhal, dalam kehidupan ini, saya sudah berada dalam fasa ke-2, jika saya membahagikan usia saya kepada beberapa fasa. Setiap fasa mewakili 20 tahun.

Fasa Ke-1 (umur 0-20 tahun) – Kanak-kanak, remaja dan sebagai pelajar.

Fasa Ke-2 (umur 21-40 tahun) – Melangkah kealam kerjaya dan menuju ke puncak.

Fasa Ke-3 (umur 41-60 tahun) – Kemuncak dalam kerjaya dan bersara.

Fasa Ke-4 (umur 61 tahun ke atas) - Umur subsidi (jika masih dipanjangkan usia)

Sesekali menoleh ke belakang, melihat jalan yang telah saya lalui atau menoleh ke sisi memerhatikan susuk tubuh anak-anak yang semakin membesar, bertambah usianya dari tahun ke tahun atau merenung batang tubuh ayah dan mek (ibu) yang kian uzur, terasa benar diri ini juga semakin hari semakin berusia. Dan ketika berada di hadapan cermin atau sesekali memetik kamera merakam gambar sendiri, terasa amat diri ini semakin hari semakin berusia dan hodoh. Semakin hari semakin hampir pula dengan mati dan kubur yang sedang menanti.