Pages

Friday, September 7, 2012

Selamat Jalan Pak Sheikh

Terkejut dan sedih. Itulah perasaan saya apabila mendengar berita pemergian Datuk Sheikh Mustapha Shikh Shukor, bapa kepada Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie. Beliau menghembuskan nafas terakhir dalam usia 77 tahun setelah beberapa tahun menderita barah usus di Hospital Universiti Kebangsaan (HUKM) pada pukul 9.26 pagi tadi. Datuk Sheikh Mustapha meninggalkan seorang balu, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad dan 5 orang anak.

 

Sambil menghadiahkan surah Al-Fatihah, terkenang pada pengalaman lebih 10 yang tahun lalu (sekitar tahun 1997, 1998, 1999, 2000 dan 2001). Beliau yang saya dan rakan-rakan panggil sebagai ‘Pak Sheikh’ adalah salah seorang peserta yang amat rajin mengikuti bengkel-bengkel penulisan cerpen anjuran Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) yang sering diadakan di rumah GAPENA atau di rumah PENA, Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur. Saya yang ketika itu adalah Naib Setiausaha KEPEZI sering bersama-sama beliau dalam siri-siri bengkel yang diadakan. Dengan bayaran RM300 untuk setiap kali bengkel, karya-karya kami akan ‘dibedah’ dan ‘dicincang’ oleh Puan Zaharah Nawawi, salah seorang penulis wanita tersohor tanah air. Puan Zaharah juga turut menjemput penulis-penulis mapan yang lain untuk mengkritik dan memberi pandangan tentang hasil tulisan kami.

Pak Sheikh, sebagaimana saya dan beberapa orang rakan yang lain tidak jemu-jemu belajar menulis cerpen walaupun umur beliau pada ketika itu boleh dikatakan sudah lewat (sekitar 60-an) untuk belajar menulis cerpen. Bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI biasanya hanya disertai sekitar 5 hingga 10 orang peserta sahaja. Hanya mereka yang benar-benar ingin menjadi penulis dan sanggup mengeluarkan bayaran RM300 sahaja akan menyertai bengkel. Oleh kerana peserta tidak terlalu ramai dan mengambil masa selama tiga hari bagi setiap bengkel yang diadakan, hubungan kami para peserta menjadi sangat mesra, rapat dan bagaikan satu keluarga. Saya masih menyimpan sehingga kini sebuah cerpen karya beliau yang dibengkelkan. Selain Pak Sheikh, saya turut terkenang rakan-rakan seperjuangan yang sering menghadiri bengkel-bengkel tersebut seperti Pn. Aliah Ahmad (kami panggil mama), Nora Shaari (Setiausaha KEPEZI), Datin Siti Aminah Yusof (pensyarah Maktab Perguruan Ilmu Khas), Sakdon Kayon, Aminah Mokhtar, Cikgu Sapura, Faizati Mohd. Ali, Azizah Hashim, Zaid Akhtar dan beberapa orang lagi.


Salah sebuah cerpen Pak Sheik yang dibengkelkan dalam Bengkel Penulisan Cerpen
KEPEZI yang masih saya simpan.

Pak Sheikh adalah seorang insan yang sangat baik budi bahasanya dan menghormati orang lain. Sepanjang berbengkel saya tidak kekok untuk berbicara dengannya walaupun ketika itu saya masih terlalu muda jika hendak dibandingkan dengan beliau yang saya anggap telah berada pada kedudukan yang tinggi. Entah kenapa saya selalunya sukar melupakan seseorang yang baik dan berhemah tinggi biar pun telah bertahun-tahun terpisah. Sehingga kini saya masih terkenang pada sikap rendah diri dan budi pekertinya yang mulia itu.

Pada hari ini, 7 September 2012, saya telah kehilangan seorang kenalan yang amat disanjung. Pak Sheikh telah dijemput oleh penciptanya ke negeri yang kekal abadi. Takziah kepada seluruh ahli keluarganya. Semoga Allah SWT menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang soleh. “Selamat jalan Pak Sheikh.” Kami akan mengikut jejak langkahmu juga.