Pages

Tuesday, May 29, 2012

Tuntutan Hak: Surat Anak kepada Bapa

30 RabiulAkhir 1432 bersamaan                
4 April 2011

السلأم عليكم ؤرحمة اللة ؤبركاتة

Ke Majlis ;

Yang Amat Berhormat
Dato’ Sri Hj Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA
YAB Dato’ Sri,

PETROLEUM NEGARA

Atas kemurahan Allah S.W.T mengurniakan rezeki ke atas bumi Malaysia untuk dinikmati oleh seluruh makhluk-Nya, dengan harapan semoga YAB Dato’ Sri diberikan petunjuk untuk memimpin tanah air ini menuju keredhaan Allah S.W.T.

Berdasarkan kesedaran prinsip Rule of Law sebagai garis sempadan kepemimpinan, serta kesedaran yang menguruskan rezeki yang Allah anugerahkan berdasarkan yang hak , di sini saya ingin memanjangkan dua (2) cadangan  kepada YAB Dato’ Sri mengenai PETROLEUM NEGARA.

Pertama :  Menghidupkan semula Majlis Penasihat Petroleum Negara
1.    Majlis Penasihat Petroleum Negara adalah dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 tetapi buat masa ini ianya tidak wujud dan kerana itu ia di ketengahkan semula untuk perhatian YAB Dato’ Sri.

Akta ini diasaskan oleh Almarhum Ayahanda YAB Dato ‘ Sri sendiri pada tahun 1974.

Seksyen 5 Akta ini dengan jelasnya menghendaki Perdana Menteri membentuk sebuah MAJLIS PENASIHAT PETROLEUM. Saya perturunkan kandungan akta berkenaan untuk rujukan YAB Dato’ Sri , seperti berikut;

Majlis Penasihat Petroleum Negara

5. (1) Suatu Majlis yang dinamakan Majlis Penasihat Petroleum Negara hendaklah ditubuhkan yang terdiri daripada orang termasuk mereka dari Negeri yang berkaitan yang dilantik oleh Perdana Menteri.

(2) Menjadi kewajipan Majlis Penasihat Petroleum Negara untuk menasihati Perdana Menteri tentang dasar negara, kepentingan dan perkara yang berkenaan dengan petroleum, perusahaan petroleum, sumber tenaga dan penggunaannya.

Perhatikan dua hal  di atas ;
a.    Adanya penglibatan negeri pengeluar dalam Majlis,
b.    Untuk menasihati Perdana Menteri mengenai dengan petroleum , perusahaan petroleum, sumber   tenaga dan penggunaannya.

Kedua-dua hal ini masih relevan dan dengan itu kehendak dan semangat Akta ini bagi penubuhan majlis tersebut adalah masih valid dan relevan. 

2.    Majlis ini pada pendapat saya adalah sangat penting ;
Petroleum telah muncul menjadi hasil paling utama negara kita. Kebergantungan ekonomi negara terhadap sektor ini sangat penting dan besar.

Petronas sendiri telah muncul menjadi gergasi korporat yang sangat besar dan dengan itu kedudukannya menjadi lebih penting kepada  kedudukan negara  secara keseluruhan baik dari sudut  kewangan, ekonomi mahupun sebagai katalis perubahan sosial yang saksama bagi seluruh negara.

Pada hari ini, Petronas khususnya dan industri petroleum negara amnya bergantung kepada nasihat seorang individu  iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir di mana jawatan penasihat perseorangan tidak wujud dalam akta ini.

Saya yakin Almarhum Ayahanda YAB Dato’ Sri  dan tokoh pengasas Akta ini, termasuk YBM Tengku Razaleigh Hamzah mempunyai pandangan bijaksana bila mereka meletakkan keperluan penubuhan majlis penasihat tersebut dalam Akta ini.

Bagi pihak YAB Dato’ Sri  pula, apakah masalah besar sehingga kehendak undang-undang ini belum dipatuhi ?

3.    Majlis ini jika ditubuhkan, juga boleh dianggotai oleh wakil negeri-negeri pengeluar petroleum, dengan itu isu kepentingan negeri turut dapat dibincangkan. Selain itu, pengendalian dan pengagihan wang royalti di peringkat negara dan negeri dapat dilakukan secara lebih berkesan demi menuju sasaran yang utama (priority) bagi memberikan  kesan maksima kepada kemakmuran rakyat.

Isu tiadanya sambungan paip gas PGU bagi Kelantan umpamanya, boleh dibincangkan.

Isu bagaimana pendapatan royalti Sarawak dapat digunakan dengan lebih berkesan untuk mengatasi masalah kemiskinan Sarawak yang masih berterusan , kekurangan infrastruktur dan kemudahan awam yang berlarutan dan pemuliharaan khazanah hutan Sarawak untuk kehidupan yang tidak terancam dan lain-lain  saya yakin dapat diselaraskan.

Kedua : Meningkatkan royalti 5% peratus kepada 20% untuk Sabah dan Sarawak.
1.    Bersekali dengan cadangan ini, saya ingin cadangkan juga suara rakyat Sarawak yang mahukan jumlah royalti bagi negeri pengeluar minyak seperti Sabah dan Sarawak ditingkatkan dari 5% sekarang kepada 20 %. Ia boleh mempercepat lonjakan kemajuan bagi kedua negeri yang telah terkebelakang sekian lama.

Amalan pemberian royalti yang lebih besar bagi negeri pengeluar telah pun diamalkan di Indonesia dan negara lain.

2.    Ia selari dengan perkembangan semasa dan kedudukan Petronas yang telah pun menikmati kedudukan yang kuat dari sumber di negeri-negeri di mana Petronas membina tuahnya dan sampai masanya anak negeri diberi peluang menikmati kemakmuran itu secara lebih berkesan.

Saya panjangkan cadangan-cadangan  ini untuk kebaikan Malaysia jua, seperti mana telah termaktub dalam Akta yang telah juga diluluskan oleh kerajaan BN sendiri. Tiada kemunasabahan untuk ia diabaikan dan dicuaikan.

Kecuali saya masih boleh percaya YAB Dato’ Sri  tidak mempunyai agenda tersembunyi  seumpama untuk lebih bebas campurtangan dalam urusan Petronas  , kerana itu tentunya tidak baik bagi negara kita.

Sekian, terima kasih

“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM : KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN”

DATO’ HJ HUSAM BIN MUSA

Monday, May 28, 2012

Sudah 6 Tahun Bersatu Jasad dan Roh

Tanggal 28 Mei 2012, genaplah 6 tahun usia penyatuan jasad dan roh saya dengan Zaliza Sulaiman yang disimpul mati  hanya kerana Allah, pemilik alam raya ini. Telah 6 tahun kami menikmati betapa lazat dan manisnya kebahagiaan berumahtangga. Semoga kebahagiaan ini akan terus dinikmati tanpa penghujungnya walau jasad bertukar menjadi tanah. Semoga kami sentiasa berada dalam pelukan kasih sayang Allah yang luas tidak bertepi.
  
Sayangku, mari tidur bersama-samaku di dalam kubur.

Wednesday, May 16, 2012

“Anak Apak” Jatuh ke Riba

Buku setebal 437 muka surat ini terus saya impikan sebaik sahaja mengetahui kelahirannya melalui laporan harakahdaily. Malis pelancaran yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Hj. Mohammad Sabu telah berlangsung di pusat beli belah Mid Valley Mega Mall, Kuala Lumpur pada 12 Disember 2011 yang lalu. Saya adalah antara pembaca yang amat meminati tulisan Hj.Subky Latif, penulis dan wartawan veteran yang tidak asing lagi dalam dunia kewartawanan tanah air.

  
Subky bersama-sama Hj. Mohammad Sabu dan 
Datuk A. Samad Said dalam majlis pelancaran buku 
Anak Apak

Subky Latif atau nama sebenarnya Ahmad Subki bin Haji Abdul Latif telah dikenali dalam bidang penulisan rencana dan sebagai kolumnis akhbar sejak tahun 60-an lagi. Beliau bukan sahaja pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu malah turut menjadi pengasas akhbar Suara Rakyat, Suara Merdeka, Watan dan Harakah. Subky yang dilahirkan pada 28 Julai, 1940 di Sungai Parit, Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lekir, Sitiawan, Sekolah Swasta Mathodist Afternoon School Sitiawan dan Mathodist Afternoon School, Pulau Pinang. Dalam bidang kewartawanan pula beliau pernah mengikuti pengajian dalam Diploma Kewartawanan dan melanjutkannya hingga ke Institute Fur Journalismus, Berlin Barat.

Sejak mula melaporkan diri sebagai petugas di Utusan Melayu pada 1 Oktober 1963, Hj. Subky tidak pernah menoleh ke belakang lagi. Sehingga kini beliau masih aktif menulis sebagai kolumnis akbhar Harakah. Menyedari banyak pengalaman dalam bidang kewartawanan yang perlu dikongsi dengan pembaca, Hj. Subky menghasilkan sebuah penulisan memoir yang amat bermakna.
Sebagaimana yang tercatat di bahagian belakang kulit buku, "Memoir Politik Kewartawanan yang diberikan judul Anak Apak, membentangkan pengalaman hidup dan pahit getir penulis sebagai anak keturunan Jawa di tengah-tengah masyarakat Melayu kampung ketika mula mengenal dunia dalam kesengsaraan musim Jepun melanda Tanah Melayu."

"Memoir ini diberi judul Anak Apak justeru Apak mahu mendidik dan menyekolahkan saya sepertinya dan kemudian keluar sebagai ahli ilmu agama mengikut jejaknya menjadi Tok Guru kepada masyarakat dan ummah. Tetapi saya tidak menjadi Tok Guru seperti Apak. Ada sebabnya; kejatuhan ekonomi, sawah tidak menjadi, getah yang menjadi sumber kemakmuran rakyat tiba-tiba tidak berharga lantaran Perang Korea yang berlaku pada awal tahun 50-an."

"Apak tidak menjadi aktivis politik dan tidak berminat dalam dunia persuratkhabaran tetapi saya menjadi wartawan dan aktivis politik sepenuh masa."

"Saya terdedah dengan alam politik sejak zaman kanak-kanak dan boleh memahami politik sejak remaja, tetapi tidak pernah bercadang untuk menjadi orang politik. Pada saya ketika itu, adalah lebih senang hidup sebagai orang yang memahami politik tetapi tidak terlibat dalam sebarang aktiviti politik supaya kita disenangi oleh semua dan dapat diterima oleh semua. Akan tetapi kekalahan teruk PAS di Kelantan pada hujung tahun 70-an sesudah berkuasa sejak tahun 1959 menyebabkan saya terasa seolah-olah demok rasi seperti akan berakhir di Malaysia."

"Semoga Memoir Anak Apak ini dapat memenuhi maksud sebuah penulisan buku berbentuk memoir dan dapat memberikan perkhidmatan dalam bidang penulisan memoir dalam persuratan Melayu untuk tatapan masyarakat. Tiada apa-apa yang dapat saya tinggalkan kepada masyarakat melainkan Memoir ini."

Saya yang amat meminati penulisan memoir tokoh-tokoh politik, penulis dan wartawan, menanam cita-cita untuk memilikinya. Oleh yang demikian "Anak Apak" tidak boleh saya lepaskan. Bagaimana pun, puas saya mencari dan bertanya di kedai-kedai buku tetapi tidak juga menemui buku istimewa ini. Akhirnya buku terbitan Kemilau Publika Sdn. Bhd. ini ditemui juga di sebuah gerai menjual buku selepas mendengar kuliah Jumaat  di Medan Ilmu, Kota Bharu pada 6 April yang lalu. Alangkah gembiranya saya, bagaikan bulan jatuh ke riba. Terus saya beli dengan harga RM 23.00 tanpa sempat berkira-kira dan berfikir panjang lagi . Kini, siang malam saya kepit buku ini. Sehingga kini masih belum puas menatap, membelek dan membelainya.

Projek Pecah Tanah Lebuhraya Kelantan 28 Mei ini

KOTA BHARU: Selepas disisih sejak Rancangan Malaysia (RMK) Ke-5, akhirnya kerajaan Kelantan memutus membina sendiri lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu membabitkan kos awal sebanyak RM500 juta. Dan pada 28 Mei ini akan mencatat satu sejarah baru negara apabila majlis pecah tanah pembinaan lebuhraya tersebut akan diadakan berhampiran Felcra Berangan Mek Nab, Machang. Jajaran lebuhraya pertama di Kelantan itu akan melalui Hutan Lipur Bukit Bakau.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, projek sepanjang 33 kilometer tersebut dikendalikan Menta Contruction Sdn Bhd dan Konsortium Temokin Vila Jelas JV Sdn Bhd.

Katanya, projek berkenaan akan dimulakan di seksyen III dari Bukit Tiu, Machang sehingga ke Dusun Damar, Kuala Krai merupakan tanah milik kerajaan negeri.

“Projek itu dimulakan di seksyen III sebagai langkah untuk menjimatkan masa kerana ia tidak perlu melakukan pengambilan balik tanah rakyat.

“Manakala jajaran bertingkat dari Wakaf Che Yeh ke Kota Bharu ditangguhkan sementara bagi menjimatkan kos,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Selain itu katanya, kos pembinaan dapat dikurangkan dengan memperkenalkan pendekatan gotong royong, di mana orang ramai yang berminat boleh menderma iaitu batu kuari, pasir dan sebagainya.

Kata Husam konsep gotong royong diperkenalkan bukan bererti kerajaan negeri tidak berkemampuan, sebaliknya bagi menanam semangat kerjasama di kalangan rakyat.

“Syarikat yang terbabit dengan aktiviti kuari di sepanjang lebuh raya akan juga memperolehi manfaat,” ujarnya.

Beliau berkata, sebelum ini orang ramai hanya terdedah menderma untuk pembinaan masjid dan madrasah sahaja, manakala derma bagi pembinaan jalan raya masih agak asing. Beliau juga berharap syarikat yang terbabit dengan industri minyak di Kelantan juga dialu-alukan untuk menyumbang. Katanya, projek lebuh raya berkenaan dijangka siap dalam tempoh lebih dua tahun selepas mengambil kira musim tengkujuh.

“Kerajaan negeri berhasrat menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hadir pada majlis pecah tanah kerana beliau pernah menyenaraikan projek pembinaan lebuh raya itu dalam RMK-9,” ujarnya.

Husam juga memberitahu lebuh raya tersebut akan mempunyai laluan khas untuk binatang liar di sepanjang laluannya.

“Kerajaan negeri mengutamakan konsep mesra alam dan mengambil kira keperluan makhluk  lain,” tambahnya.

Katanya juga apabila ia siap sepenuhnya, Kelantan menjadi negeri pertama membina sendiri lebuh raya sendiri dengan kos yang lebih menjimatkan.

SUMBER: HARAKAHDAILY

Tuesday, May 15, 2012

Ku Li Mohon Bina Lebuhraya Gua Musang - Kota Bharu

Ketua Bahagian UMNO Gua Musang, YBM. Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sudah sampai masanya untuk kerajaan persekutuan membina lebuhraya menghubungkan antara Gua Musang dan Kota Bharu. Selain boleh merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan, pembinaan lebuhraya tersebut mampu mengurangkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu yang kadang-kadang memakan masa selama 15, 16 atau 17 jam pada musim cuti dan perayaan. Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan dalam Majlis Perasmian Komuniti 1 Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di Gua Musang pada 4 Mei yang lalu. Program tersebut dirasmikan oleh YAB. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.
YBM. Tengku Razaleigh sedang beramah mesra dengan 
orang ramai yang hadir ke Majlis Perasmian Komuniti 1 Malaysia

Menurut beliau lagi, kesesakan bukan sahaja bermula dari Gua Musang ke Kota Bharu, bahkan bermula dari Bentong, Raub, Benta dan Lipis di negeri Pahang lagi. Kesesakan boleh menimbulkan banyak kesusahan dan memungkinkan berlaku banyak kemalangan. Saranan tersebut disuarakan kerana beliau telah lama berhasrat mahu melihat Kelantan memiliki lebuhraya sebagaimana yang dinikmati di negeri lain. Sementara itu, pembinaan lebuhraya berkenaan sebelum ini telah disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) tetapi telah ditarik balik oleh kerajaan pusat dalam RMK-10.
Kemalangan ngeri kerap berlaku kerana kondisi
 jalan yang sempit dan bengkang bengkok

Hasrat Tengku Razaleigh untuk melihat Kelantan dimajukan sebagaimana hak yang dinikmati oleh negeri-negeri lain yang turut bernaung di bawah Persekutuan Malaysia pernah disuarakan secara lantang ketika beliau menyampaikan ceramah dalam majlis ‘Ceramah Perdana Menuntut Royalti Petroleum’ di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada tahun lalu. Kata beliau, “ada ore kata kita kena sokong 1 Malaysia. Bagus kita sokong. Tapi lagu mana pulak dengan kelate ni? Kerajaan pusat tak kuat melainkan dapat sokongan daripada negeri-negeri yang bersekutu dalam pakatan tadi (Persekutuan Malaysia) betul, tidak?”

“Jadi, kita tak boleh pandang serong kepada mana-mana negeri. Kalu ada duit minyak atau pun daripada punca lain-lain kita kena guna sebaik-baik mungkin  sebab kalu kelate tak maju pincang Malaysia. Kalu kita nak maju, kena maju semua sekali.”

Tambah beliau lagi,“ambo sebagai anak kelete nak tengok Pantai Timur ni maju, lama sangat. Pantai Timur maju, Sarawak maju, Sabah maju. Tak kisah la kalu maju gitu seluruh Malaysia akan maju.”

Menyedari bahawa prinsip-prinsip dan hak-hak sesebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia yang dibentuk dalam tahun 1963 (sebelumnya Persekutuan Tanah Melayu 1948) telah tidak dipenuhi sebenuhnya oleh pihak berkuasa di peringkat persekutuan, Tengku Razalaigh turut melontarkan ideanya untuk mengadakan perbincangan semula tentang hak-hak yang sepatutnya dinikmati oleh sesebuah negeri yang menjadi anggota.

“Ambo nak pikir dengan ahli-ahli parlimen yang lain yang boleh bagi sumbangan. Ambo pikir patut kita kaji semula kedudukan kita antara negeri-negeri dalam persekutuan. Kita semua pembayar cukai. Tetapi banyak hasil dipungut oleh kerajaan pusat. Pembangune (pembangunan) kita lagu-lagu mana pun kena tanggung oleh agensi-agensi berkenaan atau pun kerajaan negeri. Tapi kalu kerajaan negeri kering kroteh (kekurangan wang) lagu mana nak tanggung. Zame (zaman)  ni dia kata zame yang memerlukan pembangune fizikal. Jadi kalau itulah maksud pembangune maka kita kena pikir semula apa yang kita telah setuju dalam tahun 48 (penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948) dulu. Bokali (barangkali) tok nenek kita dulu tak dan (tak sempat) nak pikir apa yang berlaku dalam tahun 2000 pada masa ni iaitu dalam tahun 2010 ni. Mace-mace (macam-macam) yang berlaku.molek kita kena kaji semula. Buke kita nak paksa sapa-sapa tetapi kita sebagai wakil rakyat, kita sebagai ore mewakili rakyat mesti pikir semua ni untuk kepentinge negara kita, kentinge diri kita,” kata beliau di hadapan puluhan ribu yang hadir di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak sedang bersalam dengan 
orang ramai selepas majlis perasmian Komuniti 1 Malaysia

Dalam perkembangan yang lain, bekas Pengerusi Suruhajaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Tan Sri Rashid Abd. Rahman pernah menyuarakan hasrat agar kerajaan persekuatuan membina lebuhraya secepat mungkin untuk kemudahan rakyat dinegeri ini. Beliau melahirkan rasa kesal kerana terpaksa mengambil masa berbelas jam untuk sesekali pulang ke Kelantan pada musim perayaan. Lagi pun katanya, lebuhraya itu bukan hanya akan digunakan oleh orang-orang PAS tetapi juga akan turut digunakan oleh orang-orang UMNO. Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Wacana Perdana Siri ke-9 bertajuk, “Pilihanraya Bebas dan Adil: Realiti atau Ilusi?” di Kelantan Trade Centre (KTC) pada 13 Januari lalu. Selain itu Tan Sri Rashid juga turut menggesa kerajaan pusat mengembalikan royalty minyak kepada Kelantan.

Ketika bertitah sempena Majlis Pembukaan Rasmi Penggal Keempat Dun Kelantan ke-12 Tahun 2011, di Kompleks Kota Darulnaim, Sultan Muhammad ke-V pernah menyarankan agar Kerajaan Pusat segera melaksanakan projek jalan baru yang  menghubungkan Kota Bharu ke Kuala Krai. Titah baginda lagi, projek yang disenaraikan dalam RMK-10 termasuk jalan pesisir pantai yang disenaraikan itu perlu disegerakan demi keselesaan rakyat di negeri ini. Pada masa yang sama baginda turut menyarankan jaringan lebuh raya yang cekap menghubungi negeri ini ke negeri lain perlu juga mendapat perhatian dari kerajaan Pusat.

Menurut baginda, Kelantan berpotensi untuk maju seiring dengan negara jiran dari segi kos modal serta sara hidup negeri ini yang masih rendah berbanding negeri lain di negara ini.
Selain itu titah baginda, kurangnya kemasukan pelaburan asing ke negeri ini juga adalah disebabkan oleh faktor logistik dan kekurangan sistem perhubungan khususnya lebuh raya yang cekap berbanding negeri-negeri lain. Oleh yang demikian tambah baginda, tumpuan pelaburan masih berlaku di Semenanjung Malaysia di bahagian pantai barat.
“Untuk itu beta menyarankan perlu adanya jaringan lebuhraya yang cekap menghubungkan negeri ini ke negeri-negeri lain”.

Bagaimana pun baru-baru ini, Kerajaan Kelantan telah membuat keputusan untuk mengambil alih pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai berikutan Kerajaan Persekutuan melengah-lengahkan pembinaan projek tersebut.Anggaran kos pembinaan adalah sebanyak RM1.9 bilion berbanding peruntukkan asal RM2.3 bilion. Kerajaan negeri terpaksa menyediakan inisiatif baru untuk menjayakan pembinaan jalan raya berkenaan dengan cara pembukaan tander kepada pihakswasta.