Pages

Sunday, February 26, 2012

Gajah Tayang Body di Limau Kasturi

Ketika membawa anak-anak bersiar-siar di Limau Kasturi pada sebelah petang 20 Februari lalu, saya terlihat ramai orang berkumpul di tepi jalan berhampiran simpang ke Bertam Baru. Rupa-rupanya orang ramai sedang menyaksikan dua ekor gajah yang di tempatkan di satu kawasan yang terletak hanya beberapa meter dari jalan yang menghubungkan antara Limau Kasturi dengan jalan Kuala Krai - Gua Musang itu.

Menurut salah seorang penduduk tempatan yang ditemui, gajah-gajah yang ditempatkan sejak 19 Februari lalu itu dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang. Gajah-gajah tersebut dibawa untuk dijadikan denak bagi mengakap gajah-gajah liar yang berada di kawasan hutan berhampiran. Gajah-gajah liar sering menjadi ancaman kepada penduduk yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman untuk sara hidup di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan yang ditubuhkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada tahun 1989 itu adalah merupakan ibu pejabat Pasukan Pemindahan Semula Gajah yang telah wujud sejak tahun 1974. Unit Gajah adalah antara unit yang ditubuhkan oleh pusat ini dan berperanan untuk menempatkan semula gajah-gajah liar yang menjadi mangsa kepada penerokaan tanah hutan untuk kegiatan pertanian. Gajah-gajah liar akan ditempatkan di kawasan perlindungan seperti Taman Negara. Sejak 30 tahun lalu, unit ini telah berjaya memindahkan lebih daripada 450 ekor gajah liar..

Kemunculan gajah-gajah tersebut di Limau Kasturi telah menarik kunjungan orang ramai yang tidak putus-putus untuk menyaksikan haiwan gergasi itu dari dekat. Bagaimanapun kawasan tersebut hanya menjadi tempat persinggahan bagi kedua-dua gajah berkenaan sebelum dibawa pulang ke Kuala Gandah. Saya sempat merakamkan beberapa keping gambar ketika berada di situ.

Gajah-gajah denak ditempatkan tidak jauh dari
Simpang ke Bertam Baru.


Gajah yang dirantai kakinya hanya bergerak di sekitar
kawasan yang disediakan.


Seekor gajah yang sedang enak memakan batang pisang.


Tiga orang budak memberikan batang pisang untuk
makanan gajah.


Dua orang budak mengangkat batang pisang yang
dibawa menggunakan kereta sorong untuk diberikan
kepada gajah-gajah berkenaan.


Orang ramai dari kawasan sekitar tidak mahu melepaskan
peluang keemasan menyaksikan gajah dari dekat.


Orang ramai teruja melihat gelagat gajah dari dekat.



Kawasan lapang digunakan sebagai tempat meletakkan
kenderaan.


Kenderaan yang membawa dua ekor gajah denak tersebut

Thursday, February 16, 2012

Billboard dan Bunting di Negeriku

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “ Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya”

Sabda Rasulullulah SAW kepada Abu Dzar ketika meminta dilantik menjadi pegawai Rasulullulah SAW. Lalu Rasulullulah SAW menepuk bahunya dan bersabda, “Hai Abu Dzar, kamu seorang yang lemah sedangkan jawatan itu adalah satu amanah (tanggungjawab) yang kelak di hari kiamat menjadi hina dan menyesal kecuali orang yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipannya”.

Menyedari tugas mentadbir sesebuah kerajaan adalah amanah dan setiap amanah akan dipersoalkan sedalam-dalamnya di akhirat kelak. Menifestasi daripada kesedaran dan kepatuhan itu terzahir dalam banyak aspek pentadbiran di negeri yang saya cintai ini. Antaranya adalah apa yang terpapar pada papan iklan (billboard) dan banting (bunting). Inilah keunikan negeri yang satu ini.


Papan iklan yang dipasang di simpang empat Wakaf Che Yeh,
KotaBharu.

Papan iklan di hadapan Pasar Besar Kuala Krai.


Papan iklan ini juga terdapat di simpang empat Wakaf Che Yeh,
Kota Bharu.


Papan iklan yang menunjukkan cara menutup aurat
dengan betul dipasang di salah satu simpang empat
di pusat bandar Tanah Merah.


Rozita Che Wan tampil bertudung untuk iklan barangan kecantikan.


Penyanyi Ezlyn juga tampil bertudung dalam satu iklan
barangan di hadapan pasaraya Econjaya, bandar Gua Musang.


Abby Abadi cantik bertudung di salah satu persimpangan
menuju ke Pengkalan Chepa.

Vanidah Imran bertudung untuk iklan minyak masak
yang terpacak di hadapan pintu masuk ke Tanah Rancangan
FELDA Ciku, Gua Musang.


Banting menampilkan Shila Amzah bertudung
untuk promosi barangan kecantikan .


Iklan pakaian sukan yang dipasang di Bunut Payung,
Kota Bharu.


Salah satu papan iklan yang dipasang
dihadapan Pasar Besar Pasir Mas adalah
mengenai etika berpakaian dalam Islam.

DJ Muhamad dan Radio Bagai Irama dan Lagu

Nama Muhamad Hj. Hanafi bukan lagi asing bagi peminat dunia penyiaran tanah air, khasnya pendengar siaran radio RTM sejak lebih 14 tahun yang lalu. Tampil dengan penyampaian yang ceria dan bersahaja membuatkan Mohamad lebih mudah dikenali ramai. Deejay berusia 30-an ini mula berkhidmat di RTM pada tahun 1998 di stesen Radio Muzik (Muzik FM), RiMA 93.9/Klasik FM (2005), Klasik Nasional (2006), Unit Sukan RTM (2011), Filem Negara Malaysia (2011) dan kini di Langkawi FM. Mohamad mendapat pendidikan awal di SK Taman Nirwana, Ampang sebelum meneruskan pengajian di SM Datok Lokman, Kg Pandan dan di Pusat Elektronik Wilayah dalam bidang kejuruteraan elektronik.

Beliau yang berasal dari Pontian, Johor mengahwini Aida binti Adil dan dikurniakan 4 cahaya mata. Saya mengenali Mohamad sejak mula bertugas di RTM. Walaupun saya di RMKL dan beliau di Radio Muzik, tetapi kami sering bertegur sapa dan bertanya khabar antara satu sama lain. Saya sempat bertugas bersama-sama Mohamad di bawah satu stesen iaitu stesen RiMA 93.9/ Klasik FM apabila pada tahun 2005 Muhamad dibawa menyertai stesen ini.

KENANGAN: Muhamad (empat dari kiri) bersama-sama rakan setugas
Syarifah Fauziah, Akmal Syahrim dan Izani Zakaria di konti sementara
Radio Muzik di IBC, Angkasapuri dalam tahun 2001.

Muhamad bukan sahaja berpengalaman dalam bidang penyiaran, malah turut menghasilkan lirik lagu. Sejak ditukarkan ke Unit Sukan RTM dan ke Filem Negara, Mohamad mengorak langkah setapak lagi dalam dunia penyiaran dengan mengendalikan siaran radio online, Best FM. Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang penyiaran radio, Mohamad sanggup mengorbankan tenaga dan wang ringgit untuk mengendalikan siaran Best FM yang boleh diikuti melalui http://best.ada.fm/. Muhamad dan radio bagaikan tidak boleh dipisahkan lagi. Ikuti temubual saya (SR) dengan Mohamad (MHH) mengenai pengalamannya dalam dunia penyiaran dan penerokaan barunya:

SR : Boleh ceritakan pengalaman dalam bidang penyiaran?

MHH : Boleh. Kalau nak ikut pengalaman saya bermula dalam bidang teknikal. Sebabnya saya melibatkan diri dalam pembuatan pemancar FM untuk membuat siaran sendiri atas rasa minat dalam bidang penyiaran. Cerita ni bermula sekitar tahun 1993 lagi. Lama jugak la saya dapat mengendalikan siaran sendiri ni hingga la saya terpaksa hentikan kerana mendapat tawaran bertugas di Mega TV (salah sebuah televisyen berbayar terawal) pada tahun 1997 dan bertugas sebagai juruteknik. Oleh kerana bidang pelajaran yang di ambil pun berkaitan teknikal, maka saya teruskan. Pada tahun 1998 pula saya di tawarkan bertugas di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (dahulunya Kementerian Penerangan) dan kebetulan pula berkaitan dengan bidang yang saya minati, maka saya pun ambil dengan yakinnya. Banyak lagi kenangan lain pahit dan manis tapi kalau nak cerita rasanya tak habis sampai ke sudah nanti.


SR : Selepas dipindahkan bertugas ke Jabatan Filem Negara, saudara telah

menubuhkan siaran radio internet sendiri iaitu Best FM. Boleh gambarkan secara

ringkas tentang siaran Best FM?


MHH : Format siaran santai, sedikit maklumat tapi lebih kepada hiburan muzik. Saya tak

mau meletakkan topik dan sebagainya kerana sebagai pendengar pastinya mereka

mahukan lebih pada hiburan.


Haji Chuari Selamat, bekas Pengarah Klasik Nasional ketika
merasmikan Best FM


SR : Apakah keperluan asas yang perlu disediakan untuk mengendalikan radio

internet?


MHH : Untuk menubuh dan mengendalikan radio internet ni perkara penting yang perlu

adaialah Server dan Komputer yang mampu bertahan untuk operasi 24 jam. Yang lain lain tu

bergantung pula pada bajet. Kalau bajet anda tinggi boleh create konti/ studio, studio

rakaman, digital mixer, professional software untuk broadcasting dan sebagainya. Pokok

pangkalnya ada lebih bajet kita boleh buat apa saja.

SR : Apakah yang mendorong saudara menubuhkan Best FM?

MHH : Sebab minat lebih dalam bidang penyiaran radio, saya menubuhkan radio online saya sendiri di beri nama Best FM. Nak di operasikan dalam gelombang fm agak besar modalnya. Jadi saya kendalikan secara online melalui internet sahaja. Lagi pun radio online internet ni dah jadi macam trend masa kini nampaknya..

SR : Setakat ini, bagaimanakah sambutan pendengar?

MHH : Alhamdulillah, sambutan baik. Cuma promosi perlu di tingkatkan lagi.

SR : Siapakah yang turut memberikan galakan untuk saudara menubuhkan siaran Best FM?

MHH : Rakan rakan khususnya dalam bidang penyiaran dan peminat. Mereka la yang banyak memberi galakan dan sokongan dalam menubuhkan Best FM.

SR : Mewujudkan siaran radio bukanlah kerja mudah. Banyak perkara perlu dipertimbangkan termasuklah soal kewangan. Bagaimana saudara dapat mengatasi masalah ini?

MHH : Memang tak dinafikan faktor utama yang menjadi cabaran dan dugaan ialah soal kewangan. Jadi saya terpaksa mulakan dari yang penting dulu. Kebetulan peralatan studio/ konti seperti mixer, mikrofon, komputer dan perabut memang saya ada kerana peralatan ini saya gunakan dulu untuk radio sendiri selain saya gunakan untuk majlis kendiri kahwin.

SR : Saudara adalah kakitangan kerajaan yang masih berkhidmat. Bagaimanakah saudara membahagikan masa antara kerja hakiki dengan tugas mengendalikan siaran Best FM?

MHH : Sebagai kakitangan awam, saya perlu mengutamakan tugas utama dulu. Bila dah agak free masa baru la saya mengendalikan Best FM. Macam mana pun kita kena pandai la membahagikan masa supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari.

SR : Setakat ini, hanya saudara yang menjadi petugas tetap di Best FM. Bagaimana saudara mengatasi masalah kekurangan petugas bagi memenuhi tuntutan siaran 24 jam?

MHH : Dalam hal ni saya lebih suka mengendalikan secara single. Dengan cara ni saya tak terikat komitmen dengan orang lain. Walau bagaimana pun saya tetap memberi peluang pada sesiapa yang ingin mencuba bakat sebagai juruhebah/ deejay.


Jaafar Onn turut mengendalikan siaran Best FM ketika masih
beroperasi di Kuala Lumpur

SR : Cabaran besar yang dihadapi untuk mengendalikan siaran Best FM?

MHH : Cabaran utama seperti yang saya katakan tadi modal. Selain tu cabaran lain nak memperkenalkan Best FM pada khalayak. Maklum la, bende baru pasti ramai yang tak tahu wujudnya radio ni. Juga cabaran lain ialah kerjasama dengan media cetak yang masih memandang sinis kewujudan radio online internet ni.

SR : Apakah perancangan kewangan untuk bangunkan Best FM?

MHH : Buat permulaan ni modal kewangan saya dari duit sendiri. Akan datang baru saya fikirkan untuk memasuki bidang komersial. Saya nak memperkenal dan mempromosikan dulu Best FM. Bila orang dah kenal dan tau baru senang nak tarik pengiklan.

SR : Bolehkah saudara terangkan aspek-aspek yang diambil kira bagi memastikan kelancaran siaran Best FM?

MHH : Saya perlu memastikan Server perlu dalam keadaan baik dan beroperasi selain mudah di akses pendengar.


SR : Apakah keistimewaan Best FM?

MHH : Best FM ada kelainan. Antaranya format lagu yang luas, tidak hanya tertumpu pada tahun tertentu sahaja. Selain tu rancangan seperti muzik tanpa henti antara rancangan yang terus menyiarkan lagu terus kepada pendengar tanpa henti.

SR : Saudara telah lama menjadi penyiar. Tentu mempunyai banyak pengalaman manis untuk diceritakan.

MHH : (Ketawa) Kenangan tu memang banyak, cuma antara yang saya ingat sampai sekarang dapat bertugas di Muzik FM (dulunya Radio Muzik) bersama barisan penyampai senior. Kenangan pahit tu banyak tapi antaranya elektrik terputus semasa sedang bertugas di konti pada malam hari

SR : Perkembangan terbaharu, saudara telah diarahkan bertukar ke Radio Malaysia Langkawi FM. Di Langkawi FM saudara berkhidmat sebagai deejay semula. Adakah keadaan ini menimbulkan masalah kepada saudara untuk mengendalikan siaran Best FM?

MHH : Peringkat awal memang ada sedikit masalah dari segi nak menyelaraskan tugas. Tapi hal tu dapat di atasi sedikit demi sedikit.

SR : Bagaimanakah masa depan Best FM?

MHH : Best FM akan tetap bersiaran walau di mana saya berada. Juga selagi minat masih membara.

SR : Apakah harapan saudara kepada pendengar-pendengar Best FM?

MHH : Harapan saya supaya pendengar akan tetap mendengar dan memberi sokongan. Bukan mudah nak mengekalkan pendengar radio internet ni sebab dia tidak bersiaran dalam FM. Hanya bergantung pada medium internet semata mata.