Pages

Saturday, January 15, 2011

Buah Tangan Terbaru Saya

Selain menulis cerpen, puisi, rencana, skrip drama radio, cerita kanak-kanak, saya turut menghasilkan buku kanak-kanak. Penulisan buku kanak-kanak bermula apabila saya terlalu sibuk dengan dua lagi kerjaya yang diceburi iaitu dalam bidang pendidikan dan penyiaran. Ketika masih aktif sebagai penyampai sambilan di stesen radio, saya tidak punya banyak masa untuk menulis. Di luar tugas rasmi sebagai pendidik, masa saya terlalu banyak dihabiskan di konti dan untuk pelbagai acara yang dianjurkan oleh pihak pengurusan radio. Ketika itu, produktiviti saya dalam bidang penulisan agak menurun. Saya hanya sempat menulis berita-berita untuk majalah kanak-kanak, sebuah cerpen (di Akhbar Harian Metro) dan sebuah artikel sahaja (di Akhbar Berita Harian).

Setelah menerima tawaran daripada seorang editor di sebuah syarikat penerbitan, saya cuba menggerakkan semula pena yang kelihatan sedikit tumpul kerana agak lama berada dalam simpanan. Saya mula berfikir, kenapa tidak saja saya menulis buku kanak-kanak di samping berperang dengan kesibukan seperti ini? Sedangkan penulisan buku kanak-kanak tidaklah memerlukan tumpuan dan masa yang lebih berbanding menghasilkan karya dewasa. Malah boleh dihasilkan biar pun di tengah-tengah kesibukan yang meresahkan. Saya tidak boleh membiarkan wujud terlalu lama vakum tanpa menghasilkan apa-apa karya. Itu merugikan. Saya mesti mengumpul semula kekuatan yang pernah dimiliki suatu ketika dahulu. Atas perkiraan-perkiraan itulah, saya mengambil keputusan untuk menulis buku kanak-kanak. Dan sehingga kini saya telah menghasilkan 6 siri buku kanak-kanak.

Baru diterbitkan, 6 buah buku yang memperkenalkan pelbagai jenis masakan mudah untuk kanak-kanak dan remaja yang dimuatkan dalam siri Mari ke Dapur. Buku ini turut memuatkan info tentang makanan dan bahan-bahan untuk menghasilkan makanan disamping gambar-gambar menarik. Buku yang saya hasilkan bersama-sama isteri ini mengambil masa lebih kurang 3 tahun untuk disiapkan. Saya yang menulis, dia pula tukang masak. Alhamdulillah, buahnya telah dapat saya nikmati kini. Tajuk-tajuk dalam siri ini ialah seperti Sayur-sayuran Pelbagai Khasiat, Sarapan dan Minum Petang, Lauk-pauk Aneka Rasa, Ulam Pembuka Selera, Sajian Nasi dan Pulut serta Pemanis Mulut.

Siri Mari ke Dapur (6 buah), Pustaka Minda Aktif, 2010.


Siri Badan Beruniform (6 buah), Content Plus, 2008.


Siri Citra Syair dan Pantun (8 buah), Pustaka Cita Tinggi (PCT), 2007.


Siri Mengenali Hobi (10 buah), terbitan Pustaka Segar, 2007.


Siri Mengenali Kerjaya (10 buah), terbitan Pustaka Segar, 2005.


Siri Serikandi Melayu Klasik (karya bersama Wan Norsedah), terbitan Pustaka Buana, 2006.

Wednesday, January 12, 2011

Aku dan Perasu

Kunjungan ke Sek. Keb. Perasu, Gua Musang kira-kira 15 tahun lalu masih hidup dan berdenyut dalam ingatan saya. Ketika masih bergelar guru pelatih di Institut Bahasa Kuala Lumpur (kini Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia), saya menyertai rombongan ke beberapa buah sekolah di Kelantan sambil mengadakan persembahan kebudayaan. Di Sek. Keb. Perasu, kami sempat mengadakan pertunjukan boneka.

Paling sukar di lupakan ialah keenakan luar biasa sajian makan tengahari yang disediakan untuk kami pada hari terakhir berada di sekolah yang terletak di tanah rancangan FELDA itu. Nasi panas yang dihidangkan dengan masakan kegemaran saya, asam pedas ikan sungai, ulam-ulaman dan budu melekat di kerongkong saya bertahun-tahun lamanya. Sejak dari itu, mengenang Perasu adalah sesuatu yang amat membahagiakan. Perut tiba-tiba saja menjadi lapar, tekak mula mengidamkan lemak manis daging ikan sungai yang segar dan pejal, dimasak asam pedas atau dibakar.

Sejak dari itu juga mata saya sering memerhatikan papan tanda yang menunjukkan arah ke Sek. Keb. Perasu tatkala melewati jalan Gua Musang-Kuala Krai apabila pergi atau pulang dari Kuala Lumpur. Dan setiap kali terpandang papan tanda ke Perasu, kenangan-kenangan indah akan muncul dan menggamit tangan saya untuk melangkah lagi ke tanah Perasu yang dikelilingi bukit bukau dan sungai-sungai itu.

Hanya Allah Maha Berkuasa. Penempatan awal saya di Sek. Keb. Kuala Gris, Kuala Krai dan isteri di Sek. Keb. Seri Chiku 1, Gua Musang hanyalah sekadar perancangan manusia. Atas ihsan Jabatan Pelajaran Kelantan dan Pejabat Pelajaran Daerah Gua Musang, setelah mempertimbangkan jarak antara kedua-dua sekolah berkenaan, akhirnya penempatan dipinda dan kami ditempatkan di satu sekolah iaitu di Sek. Keb. Perasu, Gua Musang. Tercapai juga hasrat saya yang terpendam sejak sekian lama untuk menjejakkan kaki semula ke Perasu. Rupa-rupanya, perkenalan saya dengan Perasu pada tahun 1995 menyimpan seribu satu rahsia yang hanya diketahui oleh Pencipta. Dan kita manusia akan di tunjukkan satu demi satu dengan perancangan itu apabila tiba masanya. Maha Bijaksana Allah!

Add ImageJalan masuk utama ke Perasu (berhampiran FELDA Chiku 1&2), terasa seakan menuju ke awan. Jarak antara FELDA Perasu ke Jalan Gua Musang-Kuala Krai hanya 12 kilometer.

Bangunan Sekolah Kebangsaan Perasu.

Gunung Rabung sentiasa tersenyum memandang kami.

Kuaters guru Sek. Keb. Perasu

Menara telekomunikasi di Perasu.

Masjid di FELDA Perasu.

Hutan, bukit dan kabus amat peramah, menyapa sesiapa sahaja yang melalui jalan ke Perasu.

Jalan utama keluar dari Perasu.

Jalan alternatif keluar dari Perasu melalui Renok Baru.

Sunday, January 9, 2011

Beburung Kedinginan

Kehadiran sekumpulan burung bermain angin dengan gerakan bergulung-gulung, ketika perhimpunan sekolah pada hari pertama di Sek. Keb. Perasu, Gua Musang amat menarik perhatian saya yang sedang nikmat menghirup kesegaran udara pagi yang nyaman lagi dingin. Hujan pula menitis halus ke atas baju kami guru-guru dan murid-murid yang sedang mendengar ucapan Guru Besar.

Dua hari selepas itu, saya dapati berpuluh-puluh ekor burung kedinginan dalam titisan kabus dan simbahan hujan. Sebagaimana manusia barangkali, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan dalam kegilaan tengkujuh seperti ini. Beburung yang kedinginan hanya mampu termenung berderetan di atas kabel elektrik dan bumbung bangunan sekolah. Dengan mata seni, saya merakamkan episod indah itu.










Saturday, January 8, 2011

Telur di Perasu Akan Menetas

Telur saya di Perasu sudah beberapa hari dieram. Sedikit masa lagi akan menetas. Mudah-mudahan akan mengeluarkan anak-anak yang baik dan berkualiti. Dalam kesibukan di awal tahun baru, telur-telur yang dieram itu mengambil masa sedikit untuk menetas. Tak sabar rasanya hendak melihat anak-anak yang menetas melompat-lompat dengan bulu yang berwarna-warni. Alangkah bahagianya apabila telur-telur itu menetas.