Pages

Monday, November 29, 2010

Komen Tun Dr. Mahathir Tentang Pembinaan Menara 100 Tingkat

Berikut komen Tun Dr. Mahathir Muhammad ketika menjawab soalan peserta pada persidangan "Revisiting Vision 2020" anjuran Institut Pemasaran Malaysia di Kuala Lumpur mengenai pembinaan menara 100 tingkat.

1. Jika anda bertanya saya, kita belum memerlukan menara 100 tingkat itu. Saya lihat banyak papan tanda 'untuk dijual' dan 'untuk disewa' apabila saya bersiar-siar. Ini bermakna kita telah mempunyai bangunan yang mencukupi. Mereka boleh bina, tetapi bukan sekarang, mungkin kemudian... apabila saya tiada lagi.

2. Dubai merupakan contoh klasik tentang lebihan bangunan. Jepun dan Hong Kong juga mengalami keadaan yang sama pada masa lalu. Jepun masih belum pulih daripada keruntuhan ekonominya disebabkan oleh lebihan bangunan. Begitu juga Dubai dan apa yang terjadi di sana, boleh terjadi di mana-mana sahaja.

3. Banyak orang beli dengan harapan harga akan naik dan mereka boleh menjualnya untuk mendapatkan keuntungan, tetapi ada kalanya harga melonjak terlalu tinggi hingga tidak boleh jual. Bila tidak boleh jual, kita tidak boleh bayar balik pinjaman yang kita ambil untuk beli harta itu. Bila perkara begini berlaku dengan meluas, bank-bank akan menjadi mangsa kerana tidak boleh dapat balik wang yang dipinjamkan. Oleh itu, Malaysia perlu berhati-hati.

4. Hari ini, kita nampak banyak kren di Kuala Lumpur dan seluruh negara, kita juga bina, tidaklah gila-gila, tetapi gila juga membina."






Terkenang Wan Razak Balle Balle

Tengahari semalam, ketika kereta saya sampai di stesen minyak Petronas, Taman Sentosa, Jalan Klang Lama, singgah satu berita yang mengejutkan ke lubang telinga yang disampaikan oleh penyampai Radio Klasik Nasional, Yusmawati Yunus. Menurutnya, penyanyi 60-an yang pernah merakamkan album bersama-sama kugiran The Wisma, Wan Razak telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 11 pagi di Hospital Ampang. Saya yang pernah rapat dengan arwah agak terkejut mendengar berita sedih itu. Tiba-tiba saja terkenang pada kemesraan arwah yang pernah menghadiahkan saya cenderamata sebagai hadiah perkahwinan pada tahun 2006. Ketika itu saya masih bertugas di Klasik FM.

Saya mengenali Wan Razak, penyanyi yang turut terkenal dengan lagu-lagu loghat Kelantan bersama Mek Habsah ini ketika masih bertugas di stesen Radio RMKL lagi. Selepas itu, kami sering berhubung melalui telefon dan mengadakan pertemuan di RTM. Saya sempat membantu beliau menjadi orang perantaraan untuk mendapatkan khidmat dj Muhammad Hj. Hanafi bagi memindahkan lagu-lagunya yang masih berada dalam piring hitam ke dalam bentuk CD. Dan saya jugalah yang bertanggungjawab memasukkan lagu-lagu nyanyiannya bersama-sama The Wisma dan lagu-lagu duetnya bersama-sama Mek Habsah ke dalam sistem komputer di Klasik Nasional.

Kali terakhir bertemu dan berbual dengan arwah, ialah ketika saya menjadi pengacara majlis di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Pertemuan itu masih segar di ingatan. Wan Razak yang juga anggota kumpulan Balle Balle pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan di RTM. Al-Fatihah untuk arwah.

Wan Razak, tiga dari kiri bersama kumpulan Balle Balle.

Wednesday, November 24, 2010

Wajah-wajah yang Paling dirindui di RTM

Enam tahun bergelar warga RTM, membolehkan saya berkenalan dan berkawan dengan ramai petugas badan penyiaran tertua di Malaysia itu. Ramai yang telah saya kenal melalui radio mahu pun TV dan ramai juga petugas-petugas baru yang terdiri daripada kakitangan tetap, artis berjadual, artis kontrak mahu pun artis piecemeal. Melangkaui sempadan gender, kebanyakan daripada mereka menjadi kawan baik saya. Wajah mereka sering timbul dan tidak pernah lenyap dari ingatan seni saya biar pun telah empat tahun meninggalkan RTM yang penuh kenangan manis itu. Apa lagi wajah-wajah mereka sering terpampang di facebook saya.

Agak ramai teman-teman rapat saya di RTM. Ada yang masih bertugas sama ada di Angkasapuri mahu pun di stesen-stesen negeri dan ramai juga yang telah bersara. Tentu mengambil ruangan yang besar jika kesemua wajah mereka hendak saya paparkan di ruangan ini. Saya hanya memilih beberapa wajah yang sering mencuri ingatan saya saban hari. Antaranya seperti Fauziah Zakaria, Nur Liza Yeo Abdullah, Adibah Affendi, Shahizan Jelas, Azizah Sulaiman dan Rohani Zahid.

Kak Fauziah Zakaria kini bertugas di Sarawak FM. Walaupun jauh di Bumi Kenyalang, kami sentiasa mengirim berita melalui telefon, facebook atau pun komen-komen melalui blog masing-masing. Pernah bertugas bersama-sama di Radio Malaysia Kuala Lumpur (RMKL).

Kak Liza Yeo Abdullah, terasa seperti bertemu setiap hari. Penyiar berasal dari Sarawak ini rajin bertanya khabar melalui facebook mahu pun telefon.

Kak Adibah Affendi, selain sering bertanya khabar di facebook, suaranya masih keudara melalui Klasik Nasional. Terasa seperti berhadapan dengan orangnya.

Kak Shahizan Jelas, hubungan saya dengannya seperti adik dengan kakak. Biar pun setelah saya meninggalkan RTM, kami jarang berhubung, namun suara merdunya tetap menghantui ingatan saya. Saya mula meminati suara Shahizan Jelas sejak masih di tingkatan 1 (1987) sehingga kini.

Kak Azizah Sulaiman, kelembutan dan kebaikannya melekat di hati saya hingga kini. Sudah agak lama tidak berbual dan bertanya khabar. Gambar dirakam di pejabat RMKL pada tahun 2003.

Kak Rohani Zahid, pernah bertugas bersama-sama saya di Klasik FM. Kemesraannya dan kebaikannya masih segar di ingatan. Kak Ani juga rajin bertanya khabar melalui facebook. Berdiri di sebelah, dj Harris (Mohd. Nor (Klasik Nasional).

Sunday, November 21, 2010

Setahun Sang Rambulan

Hari ini, Isnin, 22 November 2010 genaplah setahun blog ini wujud dan dikenali di alam maya. Dan selama itulah saya telah 'menikahinya' dengan seluruh jiwa dan raga. Bukan sedikit idea dan masa yang terpercik ketika 'menyetubuhinya'. Terima kasih buat saudara saya, Ridwan yang sudi memberi tunjuk ajar dari aspek teknikal dalam membangunkan blog yang pada asalnya diberi nama 'Getaran Jiwa', kemudian bertukar menjadi 'ore bule' dan kini dikenali sebagai 'Sang Rambulan' ini. Terima kasih tidak terhingga juga buat semua pembaca dan pengunjung setia blog ini. Kunjungan mesra kalian, memberi saya semangat untuk terus melangkah lebih jauh di alam siber yang penuh mencabar.

Friday, November 19, 2010

Aku Kini, Sang Rambulan Yang Mengintai dari Celah Awan


Sempena penghijrahan saya dari Kuala Lumpur ke Kelantan, blog ini dijenamakan semula menjadi 'Sang Rambulan' dengan taglinenya, 'Mengintai dari Celah Awan'. Sedang menanti keputusan di mana ditempatkan. Esok ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bersama-sama isteri.

Sunday, November 14, 2010

Panorama di Little India

Setiap hari melewati 'Little India' untuk menghantar isteri ke tempat bertugas, membolehkan saya merakam panorama kawasan yang dibangunkan dengan jumlah RM36 juta ini untuk tatapan pembaca yang berada jauh dari Kuala Lumpur. Kebanyakan gambar dirakam ketika sedang memandu, tatkala kereta bergerak perlahan kerana kesesakan. Kesesakan lalu lintas memang sudah lama sinonim dengan Brickfields.

Dari Lebuhraya Persekutuan menghala ke Jalan Tun Sambanthan








Satu daripada 2 buah arca yang terdapat di Little India.

Kelihatan gambar Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri India Manmohan Singh. Little India dirasmikan oleh kedua-dua pemimpin ini pada 27 Oktober 2010.

Kelihatan gerai-gerai jualan. Tapak asal ialah padang bola kuaters kakitangan kerajaan.

Saturday, November 13, 2010

Foto Terkini MB Kelantan di Mekah

Y.A.B Menteri Besar Kelantan bergambar bersama-sama dj Radio IKIM.FM, Ustaz Zamri Zainal Abidin. Gambar ini saya petik daripada http://networkedblogs.com/aukEx?ref=nf (untuk lain-lain gambar, sila buka blog ini).

Thursday, November 11, 2010

Shamrin Fotograf Meninggal Dunia

Shamrin, 45, vokalis kumpulan fotograf meninggal dunia kerana mengalami serangan jantung kira-kira jam 6 petang semalam. Shamrin atau nama sebenarnya Mohd. Shamrin Abd. Samad yang popular dengan lagu 'Di Alam Fana Cinta' dikatakan rebah ketika bermain bola sepak di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Beliau disahkan meninggal di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru Kuala Lumpur.

Shamerin bersama-sama kumpulan Fotograf

Sunday, November 7, 2010

Piala Malaysia Demo Punya Ke?

Calon BN DUN Galas, Abd. Aziz Yusof dan Presiden KAFA, Anuar Musa menjulang Piala Malaysia di Gua Musang. Turut serta, Pengarah Pilihanraya BN DUN Galas yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Friday, November 5, 2010

Pandangan Dr.MAZA Tentang Keputusan PRK DUN Galas

Berikut saya petik pandangan Prof. Madya Dr.Mohd. Asri Zainul Abidin tentang keputusan pilihanraya DUN Galas yang ditulis melalui laman facebooknya:

Pada saya, ada beberapa perkara yang mesti dilihat di Galas;

1. Galas kawasan luar bandar. Kesedaran terhadap isu-isu politik banyak di kawasan bandar.

2. Media alternatif terhad. Ini disebabkan faktor kawasan dan persekitaran. Rakyat Galas bergantung kepada media umum.

3. Ku Li juga satu faktor. Ketokohan dan sikap yang ditunjukkan.

3. Janji-janji politik yang ditawarkan hebat dan tidak mampu disaing oleh pihak yang tewas.

4. Adanya juga kesurutan pengaruh PR disebabkan isu-isu yang dibangkit kebelakangan ini.

5. Penonjolan usaha-usaha PM mempengaruhi pengundi.

6. Masyarakat cina sendiri mungkin juga mula menerima konsep 1 Malaysia atau janji-janji pilihanraya.

7. Tiada momentum baru dalam PR yang membolehkan mereka menyaingi kempen-kempen perubahan BN.

8. Penggunaan jentera kerajaan secara tidak seimbang.

-Dr MAZA.

Ku Li Akui Media dikawal Ketat

Menurut Tengku Razaleigh, Ali Parlimen Gua Musang, "cara lama dengan menggunakan media tradisional yang dikawal ketat oleh kerajaan, tidak lagi berkesan dalam kempen pilihan raya. Sebaliknya pendekatan melalui media baru yang lebih bebas. Katanya lagi, "Saya ingin pergi lebih jauh dari sini dan tidak lagi gunakan cara tradisi. "Masa sudah sampai untuk kita bebaskan media supaya tidak dikawal begitu ketat. Memang wajar pertimbangkan supaya media dibebaskan supaya tidak begitu dikawal."

Tambanya lagi, "Kita tengok ancaman keselamatan pun dah berkurangan. Masyarakat sekarang lebih banyak memilih media alternatif."

Agaknya bilakah hasrat yang menjadi tuntutan banyak pihak itu akan menjadi kenyataan? Rakyat sudah lama menanti. Teringin menghidu bau media yang wangi, tidak hapak dan tengik lagi.

Radio Malaysia Kelantan FM, bila nak bebas?

Thursday, November 4, 2010

Tangan Syaitan: Baca Ulasan Dr. Asri

Kaedah Penilaian Mohd Nor Idris Tidak Normal
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Merujuk kenyataan bekas calon BN, Ustaz Mohd Nor Idris mengenai YAB Menteri Besar Kelantan, Dato Nik Aziz Nik Mat: “Apabila dia hulur tangan itu, solah-olah saya nampak tangan itu tangan syaitan…dengan kasyaf saya, tangan dia itu macam tangan syaitan yang dihulurkan kepada saya. Jadi saya tidak sambut tangan dia, saya tidak mahu jamah (pegang) tangan syaitan”. (Malaysiakini)

Saya melihat perlu perkara ini diulas, agar tidak menjadi ikutan atau pegangan sesetengah pihak. Walaupun itu merupakan kenyataan peribadi, tetapi apabila disiarkan dalam media, saya rasa terpanggil untuk memberikan pandangan. Bukan kerana hendak membela MB Kelantan semata, tetapi saya ingin menyanggah cara penghujahan sebegini agar tidak menjadi trend golongan agama nanti.

Saya fikir jika kita membenarkan hujah seperti digunakan untuk menilai insan lain, maka rosaklah alam ini. Bagaimana mungkin dengan mendakwa kasyaf atau dapat menyingkap rahsia seseorang dengan menggunakan unsur spiritual dijadikan ukuran dalam menilai seseorang? Jika ini dijadikan hujah dalam menilai atau menghukum seseorang, maka ramailah yang akan terzalim. Nanti akan datang pihak lain pula, lalu menghukum orang pula sebagai buruk berdasarkan kasyafnya atau mimpinya atau ilhamnya yang kesemua itu disandarkan kepada Tuhan. Lalu nama Allah dijadikan mainan. Dalam Islam, walaupun seseorang mungkin mempunyai ‘perasaan dalaman’nya yang tersendiri, namun itu tidak boleh dijadikan hujah dalam memburuk atau menilai orang lain tanpa bukti apath lagi untuk tatapan umum.

Nabi s.a.w yang menerima wahyu pun, namun dalam hadis baginda menyebut:

“Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, dalam menghukum dan menilai baginda berteraskan hujah. Maka kita dalam menilai seseorang hendaklah berdasarkan bukti dan hujah bukan sekadar perasaan hati, atau bisikan kasyaf atau mimpi. Jika hal itu dibolehkan, tentu baginda Nabi s.a.w terlebih dahulu melakukannya. Sebaliknya, penilaian atau hukuman tetap berteraskan bukti dan hujah.

Jika beliau (Mohd Nor) ingin mengkritik atau menilai MB Kelantan sebagai tangan syaitan, beliau hendaklah mendatang hujah dan bukti kejahatan yang melayakkan dinilai sedemikian rupa. Jika ada hujah, ia diterima. Jika tiada, ia tuduhan tanpa dalil.

Maka hendaklah kita ingat, bahawa kasyaf, mimpi, ilham dan seumpamanya bukan hujah dalam menentukan kebenaran atau kesalahan. Penentuan salah betul dalam Islam adalah fakta dan bukti. Al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) menyebut:

“Selemah-lemah hujah mereka (ahli bid`ah) ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: “Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini!, buat ini”. Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang berkata: “Aku melihat Nabi S.A.W dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini..dan memerintah aku sebegini”. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syari`at. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan”( Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198, cetakan Dar al-Kitab al-`Arabi, Beirut).

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang kepada dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti daripada hujah yang baik atau akal atau wahyu”. (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut.)

Monday, November 1, 2010

Aksi Panas di Galas

video
Aksi kumpulan yang memisahkan 'agama' dan 'politik' pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Galas, 26 Oktober 2010 yang lalu.