Pages

Sunday, January 31, 2010

Doa Apabila dinaikkan Pangkat

Ya, Allah! Jangan jadikan aku berasa besar dengan jawatan ini, sedangkan di sisi Mu aku sangat kecil.

Sunday, January 24, 2010

Perempuanku

Sajak terbaharu saya di Mingguan Malaysia semalam ( Ahad, 24 Januari 2010). 'Perempuanku', hadiah istimewa untuk isteri tercinta. Jika orang lain menghadiahkan barang kemas yang berharga beribu-ribu untuk isteri, saya hanya menghadiahkan sekuntum sajak.

PEREMPUANKU

Perempuanku
kugenggam jejarimu, kugenggam
sejuknya tanah kuburanku,
kucium pipimu, kuhidu wangian
kembang dari taman firdausi
mengusap rambutmu
adalah mengusap helaian rambut
sang bidadari.

Memeluk tubuhmu
adalah memeluk jasad sesudah mati
tidurku denganmu
adalah tidur di kuburanku
kita seperti pengantin baru

Perempuanku
kutanam dalam tubuhmu
benih-benih pepohonan syurga
kan tumbuh pepeohon rimbun
kelak menaungi ruang pusaraku.
Sirami pepohonan itu
dengan air tangis malammu
kekal suburnya tidak bermusim.

IZANI ZAKARIA
Kuala Lumpur.

Menghirup Udara Segar di Cameron Highland

Sajian istimewa sebaik sahaja sampai di Green Hill Resort, Cameron Highland kira-kira pukul 8.30 malam, Jumaat, 22 Januari. Inilah nasi kerabu istimewa bikinan isteri saya dan kawan baiknya, Nazirah. Isteri saya menyediakan tumis, sambal kelapa dan ikan, kerabu, keropok dan budu. Nazirah dan Wan Zuhaimi masing-masing menyumbangkan nasi dan ayam goreng. Kami makan beramai-ramai. Seronok dapat berkumpul semula dengan rakan-rakan di sekolah lama saya. Kami ke sana menaiki 13 buah kenderaan persendirian. Kali ketiga saya menjejakkan kaki di kawasan tanah tinggi ini.
Turut merasa nasi kerabu, Pn. Kok Sea Yin, Guru Besar Sek. Keb. Brickfields 1. Menurut Pn. Kok, beliau dan anaknya sering membeli nasi kerabu di pasar malam.
Hj. Sarbini Tijan (YDP PIBG Sek. Keb. Brickfields 1) juga tidak melepaskan peluang untuk merasai keenakan makanan kegemaran rakyat Kelantan itu. Nasi kerabu sering menjadi pilihan bekas Pengurus KTM Antara Bandar ini jika sesekali bertandang ke negeri Che Siti Wan Kembang. Hj. Sarbini kini berkhidmat di Bahagian Pengangkutan Awam, JPM Putrajaya selepas melalui proses kenaikan pangkat baru-baru ini.
Hj. Sarbini dan isteri, Pn. Rosnim

Ahmad Wazif (berbaju kuning) leka bermain tanpa
menghiraukan kami yang sedang enak mengunyah
nasi kerabu.


Ahmad Aakif dan mamanya di ladang strawberry.

Ahmad Wazif pula sibuk bergambar dengan
Tasnim,
anak Zaliha, kawan karib isteri saya.
Wah, intimnya.

Menikmati segelas teh tarik berharga RM 6.00 sambil menghayati keindahan ladang teh yang menghijau. Ah, puas rasanya menyedut udara segar Cameron Highland ketika hampir senja!
Bergambar di Appartment Green Hill bersama-sama anak saya Ahmad Aakif (dipangkuan) dan Ahmad Wazif (di sebelah kiri saya). Turut bersama, dua orang anak Guru Penolong Kanan 1, SK. Brickfields 1 (di sebelah kanan saya).
Bergambar di ladang teh bersama-sama keluarga tersayang.
Dari kiri,
Ahmad Aakif (anak ke-2), Zaliza (isteri), saya dan
Ahmad Wazif (anak sulung).


Sempat bergambar sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Strawberi dan sayur-sayuran yang dibeli di KIA Farm.


Rebung ini saya beli dengan hanya RM 10.00 daripada
orang asli yang berniaga di tepi
jalan antara Simpang Pulai
ke Tanah Tinggi
Cameron.

Jagung madu. Manis jika di makan walaupun belum
direbus atau dibakar.

Sunday, January 17, 2010

Nak Beli Rumah Saya?

Inilah rumah saya di no.17 Jalan Kemboja 4C/12, Sek.BS8, Bukit Sentosa 3, Rawang, Selangor. Rumah teres satu tingkat ini saya sewakan sebelum ini. Rasanya sudah sampai masanya untuk saya jualkan rumah yang dibeli pada tahun 2000 ini kepada sesiapa yang berminat dengan harga RM 85,000 sahaja. Murahkan? Harga boleh dirundingkan juka anda serius untuk memilikinya.
Inilah masjid Bandar Bukit Sentosa yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Cantik, bersih dan selesa untuk kegunaan umat Islam.
Ini pula Sek. Keb Bukit Sentosa yang tersergam indah. Juga terletak tidak jauh dari rumah saya.

Kawasan rumah saya dilihat dari jauh. Bersih, tenang dan mendamaikan. Jika tidak bekerja jauh di Kuala Lumpur, dah lama saya tinggal di sini.
Deretan kedai runcit dan kedai makan yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Ini memudahkan penduduk sekitar untuk mendapat bekalan barangan tanpa perlu keluar jauh dari kawasan ini.
Kawasan sekitar yang kebanyakan telah dibangunkan dengan projek perumahan.
Kawasan perumahan tidak jauh dari rumah saya.

Taska yang terletak selang beberapa buah rumah dari rumah saya. Masalah penjagaan anak dapat diatasi.
Pondok Polis Komuniti Bukit Sentosa terletak di belakang rumah saya. Insya-Allah keselamatan terkawal.
Jalan menuju ke Bukit Sentosa 3 dari Bukit Sentosa 1 & 2. Kawasan perumahan dan kedai di kiri kanan jalan.
Sebahagian kawasan yang dibangunkan tidak jauh dari Perumahan Bukit Sentosa 3.
Perjalanan dari Bukit Sentosa 1 ke Bukit Sentosa 3

Pasar malam di Bukit Sentosa 1. Dalam masa 5 minit boleh sampai ke pasar malam dari rumah saya di Bukit Sentosa 3.
Kedai-kedai makan dan restoran yang semakin bercambah di Bandar Bukit Sentosa 1.

Deretan kedai dan pejabat di Bandar Bukit Sentosa 3.

Friday, January 15, 2010

Sejuk Hati Rakyat

Sejuk hati rakyat Kelantan melihat Pemangku Sultan, Tengku Mohamad Faris Petra memecah tradisi apabila mengimami solat hajat di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada malam tadi. Solat hajat itu diadakan untuk memohon agar kesihatan Sultan Kelantan yang sedang gering kembali pulih dan memohon kesejahteraan bagi rakyat dan negeri Kelantan.
Terdahulu daripada itu, kira-kira 5,000 rakyat Kelantan menyambut keberangkatan pulang baginda dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa. Tengku Mohamad Faris dilaporkan turut mengalirkan air mata kerana terharu dengan sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Kelantan.

Gambar: Harakahdaily

Thursday, January 14, 2010

Orientasi Tahun 4: Program Kedua 2010

Guru Besar, En. Ishak Ramle sedang menyampaikan
ucapan perasmian Orientasi Tahun 4 2010.

Murid-murid sedang mendengar taklimat daripada
Ketua-Ketua Panitia matapelajaran teras.

Sebahagian guru-guru Tahun 4 yang menyertai
program anjuran Unit Bimbingan
dan Kaunseling
ini. No.4 dari kanan itulah
partner baru saya di
Unit Bimbingan dan
Kaunseling, Pn. Hashifah Amani
bt. Sulaiman
.

Tuesday, January 12, 2010

Lelaki Berambut Putih

Sajak terbaru saya, 'Lelaki Berambut Putih', disiarkan di Harian Metro hari ini, Selasa, 12 Januari 2010. Dedikasi untuk ayah tersayang.

LELAKI BERAMBUT PUTIH

Lelaki berambut putih itu
tidak puas mengumpul bekal
hendak dibawa menjenguk kekasih
telah dia temui kenikmatan percintaan
dalam lautan ibadahnya
kami menjadi saksi.

Lelaki berambut putih itu
darahnya berbau takbir
nafasnya berbau tasbih
peluhnya berbau tahmid
mimpinya berbau Allah dan Nabi
kami menghidunya.

Dengan lidahnya yang lembut
bagaikan sutera itulah
dan dengan doanya
yang bagaikan terusan mengalir itulah
dia mengasah kalbu kami
biar sujud kepada Yang Satu
Kami pun sujud

Amat berbanggalah kami
dan amat sayanglah kami
kerana dialah lelaki hebat
yang membenihkan kami

Semoga nanti dia diundang
bertemu kekasihnya
dengan selimut rahmat
yang tebal lagi mahal
pada musim dingin yang terindah.

IZANI BIN ZAKARIA
Kuala Lumpur.

Friday, January 8, 2010

2010 Tersenyum Sinis

Sajak terbaru saya yang tersiar di Berita Harian hari ini, 9 Disember 2010.

2010 TERSENYUM SINIS

Menyahut tanganmu aku curiga
kau seperti menyimpan rahsia
ke mana kami akan kau bawa
ke syurga atau ke neraka
melihat senyummu penuh bermakna.

IZANI ZAKARIA
Kuala Lumpur.

Leo Berbuah Lagi

Wajah terbaru Leo A.W.S yang saya rakam ketika mengunjugi rumahnya di Dewan Beta pada 13 Dis 2009 yang lalu.

Bagaikan pohon yang subur dan sering mengeluarkan buah. Begitulah Leo, penyair yang sentiasa gigih menerbitkan sendiri buku-buku puisinya. Buah terbaru Leo berjudul, 'Barulah Puas Hatiku', sebuah kumpulan esei yang memuatkan artikel yang ditulis sendiri disamping tulisan penulis-penulis lain yang pernah disiarkan di pelbagai media. Dalam buku ini, turut terdapat 2 buah artikel tulisan saya tentang Leo yang pernah tersiar di Berita Harian pada 17 Mac 1999 dan 27 Jun 2000.
Menjadi kelaziman Leo, mencatat sesuatu pada bahagian dalam kulit buku untuk saya. Dan saya amat gemar membaca catatannya walaupun berulang kali. Gambar di bawah itulah rumah kediaman Leo yang terletak di jalan Cikgu Will, Dewan Beta (Cikgu Ismail Mat, bekas guru saya yang menjadi calon BN dan tewas dalam Pilihanraya ke-12 menentang exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB. Dato' Husam Musa). Dikenali dengan nama Pustaka Dewan Puisi.

Monday, January 4, 2010

Leo Memijak Lantai Rumah Saya




Sampai juga Leo A.W.S ke rumah saya di Jalan Klang Lama, ketika senja sudah lama menjelir dan malam telah menabir pada Jumaat, 1 Januari 2010 yang lalu. Atas keperluan menghantar puteranya, Abd. Muqit (gambar 4) ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Leo menggagahkan diri meredah bukit dan lembah untuk sampai ke Kuala Lumpur. Leo sekeluarga saya hidangkan dengan masak lemak lala, bawal masak pedas, ikan goreng dan sayur tauge sebagai pengalas perut. Walau pun hanya lebih kurang 40 minit memijak lantai rumah saya, kunjungan penyair yang saya hormati itu amat bermakna.

Sempat saya rakamkan detik-detik kenangan itu. Gambar 4, Abdul Muqit, putera Leo yang sering muncul di dalam buku-buku puisinya. Gambar 3 dan 2, Leo sebagai bapa penyayang meriba anak bongsunya, Nisa di sebelah kiri dan putera sulung saya, Ahmad Wazif. Gambar 1, Che Azizah, permaisuri pujaan Leo memerhatikan suaminya meriba Wazif dan Nisa.

Oleh kerana ada temujanji, Leo bergegas ke tempat penginapannya di Rumah Puspanita (belakang Dewan Bahasa dan Pustaka) dan saya sebagai penunjuk jalannya. Saya sempat menemani Leo sebelum tibanya watak-watak sekitar dunia kepenyairan seperti Lim Swee Tim, Rahimidin Zahari dan Ridzuan Harun. Sebaik tiba Rahimidin dan Ridzuan, saya tinggalkan Leo dengan agenda berikutnya.

Posting akan datang memuatkan gambar-gambar sekitar kunjungan saya ke rumah Leo di Dewan Beta pada 13 Disember 2009 yang lalu.

SK Brickfields (1) Masuk TV






Yang berkaca mata itulah permaisuri pujaan beta.

Dalam kesejukan dek siraman hujan awal pagi, hari pertama persekolahan sesi 2010 berjalan seperti dijadualkan. Hujan yang membasahi bumi tidak sedikit pun mengganggu kemeriahan hari pertama persekolahan di Sek Keb. Brickfields (1), Jalan Sultan Abd. Samad, Kuala Lumpur. Apa lagi hari ini, Unit Siaran Luar RTM mengadakan cross over untuk rancangan Selamat Pagi Malaysia. Merasa jugalah murid-murid dan guru-guru SK. Brickfields (1) bergaya di kaca TV, termasuk isteri saya.

Pada waktu yang sama, di sekolah yang berbeza, saya turut gembira menerima staf baharu yang akan bergandingan di Unit Bimbingan dan Kaunseling. Tugas saya nanti akan menjadi lebih mudah. Dan hari ini juga genaplah setahun penghijrahan saya (dari SK Brickfields 1) ke tempat baru sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling sepenuh masa. Tugas murni yang amat saya minati.