Pages

Tuesday, January 12, 2010

Lelaki Berambut Putih

Sajak terbaru saya, 'Lelaki Berambut Putih', disiarkan di Harian Metro hari ini, Selasa, 12 Januari 2010. Dedikasi untuk ayah tersayang.

LELAKI BERAMBUT PUTIH

Lelaki berambut putih itu
tidak puas mengumpul bekal
hendak dibawa menjenguk kekasih
telah dia temui kenikmatan percintaan
dalam lautan ibadahnya
kami menjadi saksi.

Lelaki berambut putih itu
darahnya berbau takbir
nafasnya berbau tasbih
peluhnya berbau tahmid
mimpinya berbau Allah dan Nabi
kami menghidunya.

Dengan lidahnya yang lembut
bagaikan sutera itulah
dan dengan doanya
yang bagaikan terusan mengalir itulah
dia mengasah kalbu kami
biar sujud kepada Yang Satu
Kami pun sujud

Amat berbanggalah kami
dan amat sayanglah kami
kerana dialah lelaki hebat
yang membenihkan kami

Semoga nanti dia diundang
bertemu kekasihnya
dengan selimut rahmat
yang tebal lagi mahal
pada musim dingin yang terindah.

IZANI BIN ZAKARIA
Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment