Pages

Wednesday, September 25, 2013

Hadiah 2013 di Hospital Gua Musang



 
PUKUL 3.07 petang, di Hospital Gua Musang, 2 September lalu, saya mendapat hadiah lagi. Hadiah yang tidak ternilai harganya daripada Yang Maha Esa yang telah mengatur seluruh kehidupan saya sejak azali. Selepas Ahmad Wazif, Ahmad Aakif dan Ahmad Nasiim, saya mendapat hadiah seorang lagi ‘Ahmad’ iaitu Ahmad Hafiy dalam usia ke-39 tahun ini. Hadiah ini boleh juga dianggap sebagai hadiah hari lahir saya yang jatuh pada 3 Ogos yang lalu.  ‘Alhamdulillah’ adalah sebaik-baik ucapan yang sebagai tanda kesyukuran kepada Allah yang mengurniakan seorang bayi comel yang sempurna sifatnya.  Saya percaya setiap yang bergelar ibu atau bapa tentu mengimpikan kelahiran seorang anak yang sempurna anggota dan akal fikirannya. Lalu, apabila dikurniakan zuriat sebagaimana yang diharapkan, ucapkanlah sebesar-besar kesyukuran kepada Allah Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.


Sudah tentu ucapan terima kasih tidak terhingga atas pengorbanan isteri tercinta, yang sanggup dan rela berdepan kepayahan dan kepedihan ketika mengandungkan dan melahirkan anak-anak kami tidak saya lupakan. Walaupun terlepas untuk menyaksikan saat-saat kelahiran Ahmad Wazif dan Ahmad Aakif, namun kesempatan menyaksikan detik-detik kelahiran Ahmad Nasiim dan Ahmad Hafiy benar-benar meninggalkan kesan di hati saya sebagai seorang suami dan bapa.  Rasa cinta dan sayang pada isteri melimpah ruah.
  
Ahmad Hafiy sejam selepas dilahirkan

Perihal pengalaman isteri  melahirkan dua orang anak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan seorang lagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu pula tentu sekali berbeza dengan Hospital Gua Musang. Hospital Gua Musang bukan sahaja sebuah hospital yang baharu malah sebuah hospital yang aman, tenang dan mententeramkan. Tentu sekali agak jauh bezanya jika hendak dibandingkan dengan kesibukan HKL. HKL sangat sibuk dengan pesakit dan pengunjung yang ramai  sehingga amat menyukarkan kita untuk meletakkan kenderaan di kawasan hospital. 

Ketika berulang alik ke HKL semasa isteri bersalin atau untuk mendapatkan rawatan anak, saya selalunya terpaksa meletakkan kenderaan di luar kawasan hospital yang agak jauh. Saya tinggalkan isteri terlebih dahulu di kawasan hospital sebelum mencari tempat letak kereta di luar kawasan hospital. Setelah meletakkan kenderaan, saya terpaksa berjalan kaki pula ke dalam kawasan hospital. 

 
Begitulah keadaannya di HRPZ II, Kota Bharu. Terlalu sukar untuk mencari tempat meletakkan kenderaan dan kita terpaksa berjalan kaki agak jauh ke wad. Jumlah penghuni di wad bersalin juga terlalu ramai. Selalunya wanita bersalin akan ditempatkan di wad biasa walaupun mereka layak berada di wad kelas satu disebabkan berlaku kesesakan. Sementara itu, kesesakan turut berlaku di wad biasa. Katil-katil tambahan terpaksa digunakan dan diletakkan di antara katil-katil sedia ada untuk menampung jumlah penghuni yang ramai. Kesesakan ini menimbukan 
ketidakselesaan  kepada penghuni. 
 

Bagaimana pun di keadaan ini tidak berlaku di hospital Gua Musang. Selain mudah untuk meletakkan kenderaan, kesesakan tidak berlaku di dewan bersalin dan di wad bersalin. Pesakit akan mendapat tempat yang selesa tanpa bersesak-sesak dengan penghuni yang ramai. Alhamdulillah, Allah mengatur segala-galanya dengan baik sebagaimana yang didoakan dalam sujud dengan mentakdirkan kelahiran berlaku di sini. Kelahiran Ahmad Hafiy telah dipermudahkan sebagaimana yang diharapkan. Terima kasih Allah! Terima kasih isteriku?

No comments:

Post a Comment