Pages

Tuesday, December 17, 2013

Sup Pak Mat Tarikan Baru di PCB



 

Oleh IZANI ZAKARIA 

Nama Restoran Sup Pak Mat Pulau Pisang semakin meniti di bibir para penggemar sup khasnya sup kepala ikan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Restoran ini semakin dikenali ramai dari sehari ke sehari. Apa lagi harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan mampu dibayar oleh pelbagai golongan. Oleh itu tidak hairanlah jika ada yang berulang kali berkunjung ke restoran ini untuk merasai kelazatan sup yang disediakan. Restoran ini terletak bersebelahan Medan Ikan Bakar, kedai Buloh dan tidak jauh dari Pantai Cahaya Bulan (PCB).


Menurut Pak Mat, kelainan supnya adalah kerana menggunakan resepi yang diwarisi daripada arwah ibunya. Beliau tidak menggunakan perencah sup yang dibeli di pasaran tetapi menggunakan perencah yang dicampur sendiri sebagaimana yang diperoleh daripada ibunya.
 
Pak Mat
“Adik beradik Pak Mat sendiri pun mengakui mereka tidak pandai untuk mencampurkan rempah ratus tersebut. Kemahiran ini hanya Pak Mat yang warisi daripada arwah emak,” jelas Pak Mat.


Selain sup ikan dan sup tulang, restoran ini turut menyajikan kelainan dengan memperkenalkan teh tarik madu.  Rasa teh tarik madu yang enak turut menarik perhatian pelanggan untuk mengunjungi restoran tersebut. Menurut Pak Mat lagi, ada pelanggannya yang memesan beberapa gelas teh tarik madu untuk diminum setiap kali berkunjung ke situ. 


Pak Mat yang peramah turut melayan sendiri para pelanggannya dan sempat berbual-bual sambil bercerita tentang latar belakang restorannya yang terletak di tebing sungai Kelantan itu. Setelah selesai menjamu selera, Pak Mat akan mendekati pelanggan dan bertanya tentang rasa sup yang disajikannya.

Sup ikan sedia untuk dinikmati pelanggan
 
Pak Mat mesra melayan pelanggan

Teh tarik madu yang dipesan oleh pelanggan
Restoran yang semakin dikenali ramai ini turut dikunjungi oleh pemimpin-pemimpin tempatan dan selebriti tanah air seperti bekas Menteri Besar Kelantan, YB. Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Hj. Nik Abd. Aziz Nik Mat, bekas Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Dato’ Dr. Awang Adek Husin, Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin dan Fizo Omar.


Bagi yang ingin menikmati keindahan panorama sekitar sungai Kelantan selepas menjamu selera pula bolehlah mendapatkan perkhidmatan ‘Kelate River Cruise’ yang terdapat berhampiran restoran ini. ‘Kelate River Cruise’ adalah satu produk pelancongan yang terdapat di negeri Kelantan dan berpengkalan di Medan Ikan Bakar. Terdapat beberapa pakej menarik disediakan untuk para pelancong merasai dan melihat sendiri aktiviti harian dan keunikan perkampungan nelayan di sekitar sungai Kelantan. Kemunculan Restoran Sup Pak Mat, Medan Ikan Bakar dan ‘Kelate River Cruise’ turut membantu melonjakkan industri pelancongan di negeri ini.

Kelihatan Medan Ikan Bakar Kedai Buloh yang terletak bersebelahan.
 
Kemudahan permainan kanak-kanak turut disediakan.

Kelihatan tebing Sungai Kelantan yang sedang dibangunkan

No comments:

Post a Comment