Pages

Wednesday, September 25, 2013

S.K Jeram Tekoh Muncul Juara Dikir Barat PPD Gua Musang



Oleh IZANI ZAKARIA


GUA MUSANG – Dengan hanya menjalani latihan beberapa hari, Sek. Keb. Jeram Tekoh akhirnya muncul sebagai juara Pertandingan Dikir Barat (Kategori Sekolah Rendah) Peringkat PPD Gua Musang, menewaskan pasukan dikir barat dari SK. Renok Baru, SK. Tg. Muhammad Fakri dan SK. Limau Kasturi. Persembahan yang menampilkan bakat-bakat muda ini telah diadakan di Dewan Pusat Sivik, Gua Musang pada 28 Ogos lalu sempena Karnival Seni dan Kebudayaan PPD Gua Musang 2013.

SK. Jeram Tekoh mempertaruhkan Muhammad Agus Salim, 10 sebagai tukang karut dan Muhamad Hazim Azizi , 10 sebagai juara. Selain tukang karut dan juara, kumpulan ini turut disertai seramai 18 orang ahli. Mereka menyampaikan lagu-lagu bertemakan kenegaraan dan memupuk semangat perpaduan hasil ciptaan En. Azmi Ismail, Guru Bimbingan dan Kaunseling, SK. Jeram Tekoh.

Menurut Agus, dia tidak menyangka dapat memenangi pertandingan itu, apa lagi dipilih sebagai tukang karut terbaik. “Inilah kali pertama saya menyertai pertandingan dikir barat. Pada mulanya, saya sendiri tidak yakin saya dapat membuat persembahan dengan baik,” akui murid tahun 5 Bestari ini.

      Muhammad Agus Salim                       Muhammad Hazim Azizi


Jurulatih pasukan, En. Asmadi Ibrahim pula turut melahirkan rasa gembira dengan kemenangan ini walaupun menganggap masa yang diberikan untuk sesi latihan adalah tidak mencukupi. Menurut beliau, “kemenangan ini telah memberi keyakinan kepada pasukan ini untuk melangkah lebih jauh. Buat masa ini, kami akan menumpukan perhatian kepada pertandingan peringkat negeri yang dijadualkan pada 29 September nanti.”

Cikgu Asmadi... harap menang Peringkat Negeri

Selain menjadi juara pertandingan tersebut, pasukan ini  juga turut memenangi hadiah bagi persembahan terbaik, paluan alat muzik terbaik dan tukang karut terbaik. Sementara itu, juara terbaik disandang oleh juara dari Pasukan Dikir Barat SK. Tengku Muhammad Fakhri, Gua Musang.

Karnival Seni dan Kebudayaan PPD, Gua Musang turut mempertandingkan acara-acara kesenian yang lain seperti tarian dan nyanyian yang turut disertai oleh pelajar-pelajar sekolah menengah dan guru-guru. Pertandingan nyanyian untuk guru-guru diadakan pada sebelah malamnya.

 Bergambar bersama-sama jurulatih selepas pertandingan

No comments:

Post a Comment