Sekali
imbas, daging pelanduk kelihatan seakan-akan daging ayam kerana warnanya agak putih apabila
digoreng. Rasanya yang lembut dan kenyal amat enak dimakan sama ada dengan nasi atau diratah begitu saja. Agaknya inilah tuah
saya yang kembali bertugas di tempat sendiri. Kalau di Kuala Lumpur dahulu, usahkan dapat
makan, melihat dagingnya pun saya tak pernah.
Kali
pertama makan daging pelanduk pada tahun lalu, ketika isteri saya sedang
mengandungkan anak ketiga kami. Saya beli dengan harga RM40 (biasanya RM50) daripada salah
seorang penduduk kampung isteri saya yang memasang perangkap di hutan. Tuah
bulan puasa pada tahun ini pula saya dapat merasai daging pelanduk buat kali
kedua. Apabila bangun bersahur pada pagi ini, saya dihidangkan daging pelanduk
goreng oleh ibu mertua saya. Rupa-rupanya, ketika saya sedang nyenyak tidur
pada malam tadi, adik ipar saya pulang membawa dua ekor pelanduk yang diperoleh
ketika bersama-sama kawannya pergi berburu. Kedua-dua ekor pelanduk tersebut
diberikan kepada adik ipar saya kerana kawannya itu sydah selalu sangat makan daging pelanduk. Menurut ibu mertua saya, pelanduk yang baru
diperoleh ini lebih besar sedikit daripada yang saya beli dahulu. Dagingnya pun
lebih banyak.
Ketika
mengunyah daging pelanduk pada waktu sahur, gigi saya tergigit beberapa biji peluru
senapang yang masih terselit di celah-celah dagingnya. Pada mulanya saya sangkakan
serpihan tulang kecil, tetapi apabila diperhatikan betul-betul, rupa-rupanya
itu adalah peluru senapang yang telah menyebabkan kematiannya. Malah saya telah tertelan
sebiji peluru yang tiba-tiba hilang dalam mulut.
Bukan
sahaja daging pelanduk, saya juga pernah merasa betapa lembutnya daging landak.
Ditakdirkan seekor landak tersesat masuk ke dalam rumah adik ipar saya yang
terletak di tepi bukit. Lalu dia menangkapnya dan membawa ke rumah mertua saya
untuk disembelih. Saya yang kebetulan
pulang pada hujung minggu turut memperoleh rezeki yang tidak disangka-sangka.
Dapatlah saya merasa daging landak yang digulai dan digoreng. Bagaimana pun,
sebagaimana memakan daging pelanduk, saya terbayang rupanya landak yang seakan-akan
tikus ketika meratah dagingnya. Ia agak mengganggu tumpuan saya untuk
menghayati keenakan dagingnya yang jarang-jarang ditemui itu.
No comments:
Post a Comment