Pages

Tuesday, May 15, 2012

Ku Li Mohon Bina Lebuhraya Gua Musang - Kota Bharu

Ketua Bahagian UMNO Gua Musang, YBM. Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sudah sampai masanya untuk kerajaan persekutuan membina lebuhraya menghubungkan antara Gua Musang dan Kota Bharu. Selain boleh merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan, pembinaan lebuhraya tersebut mampu mengurangkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu yang kadang-kadang memakan masa selama 15, 16 atau 17 jam pada musim cuti dan perayaan. Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan dalam Majlis Perasmian Komuniti 1 Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di Gua Musang pada 4 Mei yang lalu. Program tersebut dirasmikan oleh YAB. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.
YBM. Tengku Razaleigh sedang beramah mesra dengan 
orang ramai yang hadir ke Majlis Perasmian Komuniti 1 Malaysia

Menurut beliau lagi, kesesakan bukan sahaja bermula dari Gua Musang ke Kota Bharu, bahkan bermula dari Bentong, Raub, Benta dan Lipis di negeri Pahang lagi. Kesesakan boleh menimbulkan banyak kesusahan dan memungkinkan berlaku banyak kemalangan. Saranan tersebut disuarakan kerana beliau telah lama berhasrat mahu melihat Kelantan memiliki lebuhraya sebagaimana yang dinikmati di negeri lain. Sementara itu, pembinaan lebuhraya berkenaan sebelum ini telah disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) tetapi telah ditarik balik oleh kerajaan pusat dalam RMK-10.
Kemalangan ngeri kerap berlaku kerana kondisi
 jalan yang sempit dan bengkang bengkok

Hasrat Tengku Razaleigh untuk melihat Kelantan dimajukan sebagaimana hak yang dinikmati oleh negeri-negeri lain yang turut bernaung di bawah Persekutuan Malaysia pernah disuarakan secara lantang ketika beliau menyampaikan ceramah dalam majlis ‘Ceramah Perdana Menuntut Royalti Petroleum’ di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada tahun lalu. Kata beliau, “ada ore kata kita kena sokong 1 Malaysia. Bagus kita sokong. Tapi lagu mana pulak dengan kelate ni? Kerajaan pusat tak kuat melainkan dapat sokongan daripada negeri-negeri yang bersekutu dalam pakatan tadi (Persekutuan Malaysia) betul, tidak?”

“Jadi, kita tak boleh pandang serong kepada mana-mana negeri. Kalu ada duit minyak atau pun daripada punca lain-lain kita kena guna sebaik-baik mungkin  sebab kalu kelate tak maju pincang Malaysia. Kalu kita nak maju, kena maju semua sekali.”

Tambah beliau lagi,“ambo sebagai anak kelete nak tengok Pantai Timur ni maju, lama sangat. Pantai Timur maju, Sarawak maju, Sabah maju. Tak kisah la kalu maju gitu seluruh Malaysia akan maju.”

Menyedari bahawa prinsip-prinsip dan hak-hak sesebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia yang dibentuk dalam tahun 1963 (sebelumnya Persekutuan Tanah Melayu 1948) telah tidak dipenuhi sebenuhnya oleh pihak berkuasa di peringkat persekutuan, Tengku Razalaigh turut melontarkan ideanya untuk mengadakan perbincangan semula tentang hak-hak yang sepatutnya dinikmati oleh sesebuah negeri yang menjadi anggota.

“Ambo nak pikir dengan ahli-ahli parlimen yang lain yang boleh bagi sumbangan. Ambo pikir patut kita kaji semula kedudukan kita antara negeri-negeri dalam persekutuan. Kita semua pembayar cukai. Tetapi banyak hasil dipungut oleh kerajaan pusat. Pembangune (pembangunan) kita lagu-lagu mana pun kena tanggung oleh agensi-agensi berkenaan atau pun kerajaan negeri. Tapi kalu kerajaan negeri kering kroteh (kekurangan wang) lagu mana nak tanggung. Zame (zaman)  ni dia kata zame yang memerlukan pembangune fizikal. Jadi kalau itulah maksud pembangune maka kita kena pikir semula apa yang kita telah setuju dalam tahun 48 (penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948) dulu. Bokali (barangkali) tok nenek kita dulu tak dan (tak sempat) nak pikir apa yang berlaku dalam tahun 2000 pada masa ni iaitu dalam tahun 2010 ni. Mace-mace (macam-macam) yang berlaku.molek kita kena kaji semula. Buke kita nak paksa sapa-sapa tetapi kita sebagai wakil rakyat, kita sebagai ore mewakili rakyat mesti pikir semua ni untuk kepentinge negara kita, kentinge diri kita,” kata beliau di hadapan puluhan ribu yang hadir di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak sedang bersalam dengan 
orang ramai selepas majlis perasmian Komuniti 1 Malaysia

Dalam perkembangan yang lain, bekas Pengerusi Suruhajaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Tan Sri Rashid Abd. Rahman pernah menyuarakan hasrat agar kerajaan persekuatuan membina lebuhraya secepat mungkin untuk kemudahan rakyat dinegeri ini. Beliau melahirkan rasa kesal kerana terpaksa mengambil masa berbelas jam untuk sesekali pulang ke Kelantan pada musim perayaan. Lagi pun katanya, lebuhraya itu bukan hanya akan digunakan oleh orang-orang PAS tetapi juga akan turut digunakan oleh orang-orang UMNO. Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Wacana Perdana Siri ke-9 bertajuk, “Pilihanraya Bebas dan Adil: Realiti atau Ilusi?” di Kelantan Trade Centre (KTC) pada 13 Januari lalu. Selain itu Tan Sri Rashid juga turut menggesa kerajaan pusat mengembalikan royalty minyak kepada Kelantan.

Ketika bertitah sempena Majlis Pembukaan Rasmi Penggal Keempat Dun Kelantan ke-12 Tahun 2011, di Kompleks Kota Darulnaim, Sultan Muhammad ke-V pernah menyarankan agar Kerajaan Pusat segera melaksanakan projek jalan baru yang  menghubungkan Kota Bharu ke Kuala Krai. Titah baginda lagi, projek yang disenaraikan dalam RMK-10 termasuk jalan pesisir pantai yang disenaraikan itu perlu disegerakan demi keselesaan rakyat di negeri ini. Pada masa yang sama baginda turut menyarankan jaringan lebuh raya yang cekap menghubungi negeri ini ke negeri lain perlu juga mendapat perhatian dari kerajaan Pusat.

Menurut baginda, Kelantan berpotensi untuk maju seiring dengan negara jiran dari segi kos modal serta sara hidup negeri ini yang masih rendah berbanding negeri lain di negara ini.
Selain itu titah baginda, kurangnya kemasukan pelaburan asing ke negeri ini juga adalah disebabkan oleh faktor logistik dan kekurangan sistem perhubungan khususnya lebuh raya yang cekap berbanding negeri-negeri lain. Oleh yang demikian tambah baginda, tumpuan pelaburan masih berlaku di Semenanjung Malaysia di bahagian pantai barat.
“Untuk itu beta menyarankan perlu adanya jaringan lebuhraya yang cekap menghubungkan negeri ini ke negeri-negeri lain”.

Bagaimana pun baru-baru ini, Kerajaan Kelantan telah membuat keputusan untuk mengambil alih pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai berikutan Kerajaan Persekutuan melengah-lengahkan pembinaan projek tersebut.Anggaran kos pembinaan adalah sebanyak RM1.9 bilion berbanding peruntukkan asal RM2.3 bilion. Kerajaan negeri terpaksa menyediakan inisiatif baru untuk menjayakan pembinaan jalan raya berkenaan dengan cara pembukaan tander kepada pihakswasta.

No comments:

Post a Comment