Muhamad bukan sahaja berpengalaman dalam bidang penyiaran, malah turut menghasilkan lirik lagu. Sejak ditukarkan ke Unit Sukan RTM dan ke Filem Negara, Mohamad mengorak langkah setapak lagi dalam dunia penyiaran dengan mengendalikan siaran radio online, Best FM. Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang penyiaran radio, Mohamad sanggup mengorbankan tenaga dan wang ringgit untuk mengendalikan siaran Best FM yang boleh diikuti melalui http://best.ada.fm/. Muhamad dan radio bagaikan tidak boleh dipisahkan lagi. Ikuti temubual saya (SR) dengan Mohamad (MHH) mengenai pengalamannya dalam dunia penyiaran dan penerokaan barunya:
SR : Boleh ceritakan pengalaman dalam bidang penyiaran?
MHH : Boleh. Kalau nak ikut pengalaman saya bermula dalam bidang teknikal. Sebabnya saya melibatkan diri dalam pembuatan pemancar FM untuk membuat siaran sendiri atas rasa minat dalam bidang penyiaran. Cerita ni bermula sekitar tahun 1993 lagi. Lama jugak la saya dapat mengendalikan siaran sendiri ni hingga la saya terpaksa hentikan kerana mendapat tawaran bertugas di Mega TV (salah sebuah televisyen berbayar terawal) pada tahun 1997 dan bertugas sebagai juruteknik. Oleh kerana bidang pelajaran yang di ambil pun berkaitan teknikal, maka saya teruskan. Pada tahun 1998 pula saya di tawarkan bertugas di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (dahulunya Kementerian Penerangan) dan kebetulan pula berkaitan dengan bidang yang saya minati, maka saya pun ambil dengan yakinnya. Banyak lagi kenangan lain pahit dan manis tapi kalau nak cerita rasanya tak habis sampai ke sudah nanti.
SR : Selepas dipindahkan bertugas ke Jabatan Filem Negara, saudara telah
menubuhkan siaran radio internet sendiri iaitu Best FM. Boleh gambarkan secara
ringkas tentang siaran Best FM?
MHH : Format siaran santai, sedikit maklumat tapi lebih kepada hiburan muzik. Saya tak
mau meletakkan topik dan sebagainya kerana sebagai pendengar pastinya mereka
mahukan lebih pada hiburan.
SR : Apakah keperluan asas yang perlu disediakan untuk mengendalikan radio
internet?
MHH : Untuk menubuh dan mengendalikan radio internet ni perkara penting yang perlu
adaialah Server dan Komputer yang mampu bertahan untuk operasi 24 jam. Yang lain lain tu
bergantung pula pada bajet. Kalau bajet anda tinggi boleh create konti/ studio, studio
rakaman, digital mixer, professional software untuk broadcasting dan sebagainya. Pokok
pangkalnya ada lebih bajet kita boleh buat apa saja.
SR : Apakah yang mendorong saudara menubuhkan Best FM?
MHH : Sebab minat lebih dalam bidang penyiaran radio, saya menubuhkan radio online saya sendiri di beri nama Best FM. Nak di operasikan dalam gelombang fm agak besar modalnya. Jadi saya kendalikan secara online melalui internet sahaja. Lagi pun radio online internet ni dah jadi macam trend masa kini nampaknya..
SR : Setakat ini, bagaimanakah sambutan pendengar?
MHH : Alhamdulillah, sambutan baik. Cuma promosi perlu di tingkatkan lagi.
SR : Siapakah yang turut memberikan galakan untuk saudara menubuhkan siaran Best FM?
MHH : Rakan rakan khususnya dalam bidang penyiaran dan peminat. Mereka la yang banyak memberi galakan dan sokongan dalam menubuhkan Best FM.
SR : Mewujudkan siaran radio bukanlah kerja mudah. Banyak perkara perlu dipertimbangkan termasuklah soal kewangan. Bagaimana saudara dapat mengatasi masalah ini?
MHH : Memang tak dinafikan faktor utama yang menjadi cabaran dan dugaan ialah soal kewangan. Jadi saya terpaksa mulakan dari yang penting dulu. Kebetulan peralatan studio/ konti seperti mixer, mikrofon, komputer dan perabut memang saya ada kerana peralatan ini saya gunakan dulu untuk radio sendiri selain saya gunakan untuk majlis kendiri kahwin.
SR : Saudara adalah kakitangan kerajaan yang masih berkhidmat. Bagaimanakah saudara membahagikan masa antara kerja hakiki dengan tugas mengendalikan siaran Best FM?
MHH : Sebagai kakitangan awam, saya perlu mengutamakan tugas utama dulu. Bila dah agak free masa baru la saya mengendalikan Best FM. Macam mana pun kita kena pandai la membahagikan masa supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari.
SR : Setakat ini, hanya saudara yang menjadi petugas tetap di Best FM. Bagaimana saudara mengatasi masalah kekurangan petugas bagi memenuhi tuntutan siaran 24 jam?
MHH : Dalam hal ni saya lebih suka mengendalikan secara single. Dengan cara ni saya tak terikat komitmen dengan orang lain. Walau bagaimana pun saya tetap memberi peluang pada sesiapa yang ingin mencuba bakat sebagai juruhebah/ deejay.
SR : Cabaran besar yang dihadapi untuk mengendalikan siaran Best FM?
MHH : Cabaran utama seperti yang saya katakan tadi modal. Selain tu cabaran lain nak memperkenalkan Best FM pada khalayak. Maklum la, bende baru pasti ramai yang tak tahu wujudnya radio ni. Juga cabaran lain ialah kerjasama dengan media cetak yang masih memandang sinis kewujudan radio online internet ni.
SR : Apakah perancangan kewangan untuk bangunkan Best FM?
MHH : Buat permulaan ni modal kewangan saya dari duit sendiri. Akan datang baru saya fikirkan untuk memasuki bidang komersial. Saya nak memperkenal dan mempromosikan dulu Best FM. Bila orang dah kenal dan tau baru senang nak tarik pengiklan.
SR : Bolehkah saudara terangkan aspek-aspek yang diambil kira bagi memastikan kelancaran siaran Best FM?
MHH : Saya perlu memastikan Server perlu dalam keadaan baik dan beroperasi selain mudah di akses pendengar.
SR : Apakah keistimewaan Best FM?
MHH : Best FM ada kelainan. Antaranya format lagu yang luas, tidak hanya tertumpu pada tahun tertentu sahaja. Selain tu rancangan seperti muzik tanpa henti antara rancangan yang terus menyiarkan lagu terus kepada pendengar tanpa henti.
SR : Saudara telah lama menjadi penyiar. Tentu mempunyai banyak pengalaman manis untuk diceritakan.
MHH : (Ketawa) Kenangan tu memang banyak, cuma antara yang saya ingat sampai sekarang dapat bertugas di Muzik FM (dulunya Radio Muzik) bersama barisan penyampai senior. Kenangan pahit tu banyak tapi antaranya elektrik terputus semasa sedang bertugas di konti pada malam hari
SR : Perkembangan terbaharu, saudara telah diarahkan bertukar ke Radio Malaysia Langkawi FM. Di Langkawi FM saudara berkhidmat sebagai deejay semula. Adakah keadaan ini menimbulkan masalah kepada saudara untuk mengendalikan siaran Best FM?
MHH : Peringkat awal memang ada sedikit masalah dari segi nak menyelaraskan tugas. Tapi hal tu dapat di atasi sedikit demi sedikit.
SR : Bagaimanakah masa depan Best FM?
MHH : Best FM akan tetap bersiaran walau di mana saya berada. Juga selagi minat masih membara.
SR : Apakah harapan saudara kepada pendengar-pendengar Best FM?
MHH : Harapan saya supaya pendengar akan tetap mendengar dan memberi sokongan. Bukan mudah nak mengekalkan pendengar radio internet ni sebab dia tidak bersiaran dalam FM. Hanya bergantung pada medium internet semata mata.
No comments:
Post a Comment