Pages

Monday, November 30, 2009

Banyak Posting Tersangkut di CC

Saya terkilan kerana banyak artikel yang saya tulis sepanjang cuti hari raya tidak dapat dipostingkan. Di KL saya menggunakan streamyx di rumah. Masalah untuk postingkan artikel tidak timbul. Apabila pulang ke kampung, saya terpaksa mengunjungi CC untuk mengirimkan artikel. Banyak artikel yang saya tulis dimuatkan dalam thumbdrive untuk dimuatnaik ke blog. Bagaimana pun thumbdrive saya tidak berfungsi sebaik saja berada di sebuah CC di bandar Kuala Krai. Ini menyebabkan artikel saya tidak dapat disiarkan.

Thursday, November 26, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Adha

ESOK umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Adha. Buat teman-teman, jauh dan dekat saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Insya Allah, kali ini saya bercuti panjang, kira-kira 2o hari. Peperiksaan OUM pun saya ambil di kampung. Mudah-mudahan dengan ada sedikit masa ini saya dapat mengunjungi teman-teman yang dah lama terpisah. Walau pun banyak tugas yang perlu saya selesaikan dalam tempoh bercuti termasuk urusan belajar, urusan peribadi, menyelesaikan beberapa projek buku yang dijanjikan dengan penerbit dan lain-lain, insya Allah saya akan berusaha untuk menziarahi teman-teman yang diingati. Akhirnya saya ingin memohon maaf jika ada sebarang kesilapan terhadap anda semua. Selamat Hari Raya Aidil Adha.

Sate Kuala Krai

SETIAP kali pulang ke kampung isteri di Kuala Krai, saya dan isteri tentu tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati kelazatan sate di salah sebuah restoran di bandar Kuala Krai. Biar pun nama dan restorannya tidak sebenar ‘Sate Samuri’ atau sate-sate kajang yang lain, namun rasa sate di sini telah berjaya menambat hati saya sekeluarga. Daging segar lembu kampung yang lembut dan manis ditambah daging ayam yang lemak, lembut dan segar, membuatkan kami sentiasa terkenang akan keenakannya. Setiap kali pulang, kami akan melepaskan rindu dendam sepuas-puasnya.

Kalau dulu saya sering terkenang kelazatan sate Kajang. Namun setelah berkenalan dengan sate Kuala Krai, segala ingatan terhadap sate kajang semakin hilang. Percayakah anda, kalau saya katakan, kelazatan sate Kuala Krai jauh mengatasi kelazatan sate Kajang. Kelazatannya turut diakui oleh ramai teman saya yang telah mencubanya. Yang minat tahap kritikal isteri sayalah. Saya terpaksa meredah kesesakan jalan raya dari Sg. Sam ke bandar Kuala Krai yang biasanya memakan masa lebih kurang 30 minit sahaja. Namun hari ini saya terpaksa mengambil masa lebih satu jam.


Cuti sempena Aidiladha memanggil perantau untuk pulang ke kampung halaman. Jalan raya di Kuala Krai seperti biasa menjadi sesak. Bagaimana pun kesesakan menjadi lebih ringan dengan kehadiran anggota polis mengawal lalu lintas di persimpangan lampu isyarat untuk menuju ke Kota Bharu. Terima kasih untuk anggota polis yang bertugas. Selepas mengambil adik dan kakak ipar di stesen bas Kuala Krai kami tidak melengahkan masa untuk menikmati kelazatan sate Kuala Krai. Fuh… Sekarang perut saya sudah kenyang. Bagi yang belum mencuba, jemputlah ke Kuala Krai. Best…

Bergembiralah Peserta ‘Sehati Berdansa’

Kepada semua peserta rancangan “Sehati Berdansa”. Menarilah dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati anda. Menarilah dengan pelbagai gaya yang menarik, seksi mahu pun lucah. Bergembiralah dengan kebolehan menari dengan pelbagai aksi. Berbanggalah dengan pujian melangit para juri. Berseronoklah dengan sorak pekik jutaan penonton dan penyokong. Sesunguhnya menurut hadis Rasul Melayu yang bermaksud,” tiga perkara yang akan dibawa ke kubur apabila matinya seseorang anak adam. Pertama, filem-filem lakonannya, kedua, lagu-lagu cinta nyanyiannya dan ketiga, tarian-tarian erotiknya.”

Monday, November 23, 2009

Mudah-mudahan Ini Bukan Pertemuan Terakhir

MENDENGAR berita sahabat baik saya, Cikgu Yusrizal (SK. Kg. Tungku) berjaya dalam permohonannya untuk pulang bertugas di kampung halaman, Perlis, ingatan tiba-tiba kembali terkenang saat bagaimana kami mula mengenali antara satu sama lain kira-kira 10 tahun lalu. Dan sepanjang tempoh itu saya amat rapat dengan Yus.

Ketika itu kami masih bujang. Banyak kenangan manis terlukis sepanjang persahabatan kami. Sepanjang mengenali Yus, tidak pernah sekali pun saya berasa terguris atau berkecil hati terhadap tingkahlaku atau tutur katanya. Yus memang dikenali sebagai seorang yang baik budi dan perilakunya di kalangan rakan-rakan. Yus adalah pendengar dan pengkritik setia sewaktu saya bertugas sebagai dj di radio RTM (KLFM dan Klasik FM) dahulu. Jika saya memerlukan rancangan kendalian saya itu dirakamkan, Yus menjadi tukang rakamnya. Jika saya memerlukan teman untuk menikmati deklamasi puisi di rumah pena, Yus menjadi penemannya.

Sebaik mengetahui berita itu, saya terus mengirimkan SMS kepadanya. Antara yang saya tulis dalam SMS itu berbunyi, "kita mungkin akan hanya bertemu beberapa kali sahaja sebelum kita mati. Atau mungkin tidak akan bertemu langsung". Kata-kata ini saya petik daripada sebuah cerpen saya yang tersiar di Mingguan Malaysia beberapa tahun lalu. Cerpen berjudul, "Meniup Angin Rindu" itu berkisar tentang keunggulan sebuah persahabatan yang dibina kerana Allah. Kata saya lagi, umur kita sebenarnya tidak panjang. Paling tinggi 10 atau 20 tahun lagi. Itu pun mungkin sampai atau mungkin tidak. Dalam tempoh sesingkat itu, kita mungkin akan hanya bertemu untuk beberapa kali atau tidak dapat bertemu langsung sebelum kita mati apabila masing-masing sudah pulang ke negeri asal. Jarak yang jauh dari satu negeri ke satu negeri yang lain tentu saja menjadi halangan paling besar untuk kita bertemu lebih mudah sebagaimana dahulu. Jadi, bukankah betul apa yang saya katakan itu? Bukankah selalu kita mendengar berita pemergian rakan-rakan yang jauh. Setelah berpisah, kita mungkin tidak dapat menemuinya lagi sehinggalah kita mendengar tentang berita kematiannya. Atau dia mendengar berita kematian kita.

Alhamdulillah, pada Ahad, 22 November yang lalu, Yus dan isteri serta anak dapat memenuhi undangan saya yang menjemputnya ke rumah untuk merasai keenakan char kuew teow air tangan isteri saya. Pertemuan itu tetap menjadi sejarah. Adakah itu pertemuan terakhir atau sebaliknya? Hanya Allah sahaja yang tahu. Kepada Yus dan isteri, selamat kembali ke kampung halaman dan bertugas di tempat yang baharu. Simpanlah segala pengalaman di KL dalam album kenangan sehingga ke akhir hayat.

Sunday, November 22, 2009

Sekolah Mula Bercuti Pada 21 November 2009

Mulai Sabtu 21 November 2009 sekolah mula bercuti. Tetapi kebanyakan guru seperti saya terpaksa berada di sekolah untuk menyelesaikan pelbagai tugas yang belum sempurna. Pada setiap akhir tahun kesibukan agak melampau. Nafas menjadi sesak memandangkan cuti yang sebenarnya tidaklah banyak. Tolak dengan hari yang memerlukan kami berada di sekolah dalam tempoh bercuti, mesyuarat, urusan belajar dan urusan peribadi. Hari cuti menjadi semakin berkurangan. Saya agak lemas dengan aktiviti yang padat dan mencuri banyak masa untuk saya bersama orang tua di kampung. Wajah ibu dan ayah silih berganti dengan komitmen terhadap tugas dan urusan belajar yang tidak pernah habis. Masa untuk bersama-sama mereka menjadi amat sedikit.

Oleh kerana masa untuk bersama orang tua di kampung telah banyak tercuri, saya akan segera pulang ke Kota Bharu, Kelantan pada pagi esok walaupun sebenarnya saya dikehendaki datang ke sekolah sehingga Rabu ini. Saya selesaikan tugas seberapa segera dan memohon kebenaran daripada pihak pentadbir untuk pulang lebih awal. Tidak sabar rasanya untuk mengunyah daging lembu korban yang manis dan enak. Apa pun selamat bercuti untuk semua.

Merindui Penulis-Penulis Kelantan

SMS daripada Leo AWS, penulis puisi prolifik dari Kelantan yang memohon alamat saya untuk diposkan sebuah buku yang baru diterbitkan. Buku tersebut memuatkan rencana-rencana mengenai penglibatan beliau dalam dunia puisi. Turut dimuatkan beberapa artikel saya mengenai beliau yang pernah tersiar di akhbar tempatan. Hubungan saya dengan beliau telah lama terjalin. Sudah agak lama tidak menjenguk beliau di Dewan Beta. Dengan kedatangan SMS itu, kerinduan berputik semula bukan sahaja terhadap beliau malah rakan-rakan penulis di Kelantan yang telah lama tidak saya temui.

Jumaat lepas Leo AWS bersama-sama seorang lagi teman saya, Salman Sulaiman (penulis muda yang semakin perkasa di pentas sastera) bertandang ke KL untuk menghadiri Pertemuan Penyair-Penyair Nusantara di DBP. Oleh kerana terlalu sibuk dengan tugas dan urusan peribadi, sehingga kini saya masih belum berkesempatan menemui mereka yang menginap di Rumah Pena, Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur. Saya masih terkilan kerana belum sempat menamatkan kerinduan untuk bertemu mereka. Ahad malam Leo dan Salman akan pulang ke Kelantan. Mudah-mudahan saya akan dapat menziarahi Cikgu Leo dan rakan-rakan penulis yang lain apabila pulang bercuti ke Kelantan tidak lama lagi.