Pages

Tuesday, October 18, 2011

Ikan Patin Masak Tempoyak

Melihatkan badannya yang licin, berkilat dan berbau hanyir, ikan patin atau nama saintifiknya Pangasius Sutchi yang dianggap lazat bagi kebanyakan orang tidak pula mampu memikat dan membuka selera bagi sebahagian yang lain. Namun hidangan ikan patin tetap istimewa bagi penggemarnya dan sanggup membayar walaupun dengan harga yang tinggi asalkan dapat menikmati keenakan daging lembutnya.

Harga patin sungai pernah mencecah RM 180.00 sekilogram. Manakala patin sangkar pula RM 14 sekilogram. Bukan cerita dongeng, jika anda mendengar sekumpulan pelanggan terpaksa membayar dengan harga RM 13,000.00 untuk hidangan seramai 50 orang ketika makan tengah hari di salah sebuah restoran ikan patin di Temerloh, Pahang beberapa tahun lalu.

Terdapat beberapa jenis ikan patin seperti patin muncung, patin buah, patin juara, patin sungai dan patin kolam. Ikan patin sungai berwarna kelabu manakala patin sangkar pula berwarna cerah dan putih di bahagian sisik atas. Bahagian bawahnya pula berwarna kemerahan serta mengandungi banyak lemak. Saiz ikan yang mempunyai dua sengat di kiri kanan dan satu di belakang badan ini boleh mencecah 1 meter panjang dan beratnya boleh menjangkau 20kg. Ikan patin gemar memakan anak-anak ikan, cacing, serangga, buah-buahan sungai, siput, udang dan bangkai binatang.

Saya pula kali pertama merasai kemanisan daging ikan patin adalah kira-kira sepuluh tahun lalu dengan seorang kawan yang sama-sama bekerja di RTM. Ketika pulang ke kampungnya di Temerloh, Pahang dia membawa bekalan ikan patin masak tempoyak dan pucuk paku goreng yang dimasak emaknya untuk saya. Kami makan bersama-sama di sebuah restoran mamak di Bangsar ketika senja mula berlabuh. Ketika itulah saya mula jatuh cinta pada keenakan ikan patin masak tempoyak yang diadun rasa daun kesum, bunga kantan, kunyit, lengkuas, cili kering dan asam keping. Sebelum itu tidak ada pun sebarang keinginan untuk saya mencuba masakan popular itu.

Jika pulang ke rumah mentua di Sungai Sam, selalulah saya dapat makan ikan patin segar masak tempoyak. Emak mentua saya sanggup memasak apa saja kegemaran anak-anak dan menantunya. Beritahu apa saja yang diidamkan tekak, dia akan segera memasaknya. Berbeza dengan emak saya yang sudah tidak mampu berlama-lama di dapur kerana keuzuran dan gangguan kesihatan yang serius.

Daun kesum membangkitkan aroma dalam masakan ini.

Tempoyak antara bahan utama untuk memasak ikan patin
masak tempoyak

Agak mudah untuk mendapatkan ikan patin segar yang masih hidup dan menggelupur dalam talam penjual dipasar Laloh. Pasar Laloh yang beroperasi pada hari Jumaat terletak kira-kira 20 km dari rumah mentua saya. Jika tidak pulang ke Kota Bharu pada hari Jumaat saya akan ke pasar Laloh untuk membeli pelbagai jenis barang keperluan termasuk lauk pauk seperti daging lembu segar, ayam, pelbagai jenis ikan laut dan ikan air tawar di samping sayur-sayuran.

Ikan patin segar yang dijual di pasar Laloh, Kuala Krai.

Di pasar Laloh, bukan hanya ikan patin segar yang dijual malah terdapat juga ikan air tawar yang lain seperti ikan tilapia, lampam, puyu, haruan dan keli. Sebagaimana ikan patin, ikan tilapia dibawa terus dari kolam atau sangkar dan dijual sendiri oleh penternak. Harganya lebih murah jika hendak dibandingkan di tempat lain. Selain dijual secara segar, ikan lampam, puyu, haruan dan keli yang telah diperap dengan garam dan kunyit juga turut dijual.

Isteri saya yang juga penggemar ikan patin masak
tempoyak tidak kurang handalnya memasak resepi
tradisi ini.

Friday, October 14, 2011

Sultan Kedah Yang di-Pertuan Agong ke-14

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14, berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun melalui Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja. Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama.

Monday, October 10, 2011

ARTIS VS HUDUD

Agaknya apakah jawapan mereka di dalam tanah sesudah bergelar mayat kala berdepan Munkar dan Nakir yang akan bertanya, "siapa Tuhan kamu? Apa agama kamu? Siapa nabi kamu?"

(Doble click pada imej untuk kelihatan lebih besar dan jelas)



Mungkin Enot gambarkan hudud
sebagaimana dalam cerita Semerah Padi


Monday, October 3, 2011

Koleksi Terkini Saya

Saat menatap buku-buku pada malam dingin yang tiada bunyi selain bunyi cengkerik, ketika anak-anak yang menggamatkan rumah dengan pelbagai karenah sudah jauh dihanyutkan arus mimpi, terasa amat-amat bahagia sekali. Hilang segala penat menguruskan makan minum mereka, membersihkan mereka selepas membuang air, menukar dan memakaikan lampin, membancuh susu untuk membasahkan tekak mereka sebelum tidur dan menyiapkan tempat untuk mereka tidur. Jiwa dan minda saya seperti sedang diberi santapan yang lazat dan menyelerakan.

Minda akan kelaparan jika tidak diberikan makanan. Jiwa akan ketandusan jika tidak diberikan minuman. Demi tuntutan kelaparan dan kehausan itulah, pada setiap bulan saya akan membeli beberapa buah buku untuk dibaca. Membeli pelbagai jenis buku bukan sahaja untuk dibaca, malah untuk dijadikan koleksi yang boleh dimanfaatkan untuk anak-anak apabila mereka dewasa kelak. Buku-buku ini adalah koleksi terkini saya untuk dikongsi bersama-sama.



Aku, Isabella dan Tok Kenali adalah rakaman
pengalaman dan penghijrahan Bob Lokman.


Syair Kebijaksanaan @ Perbezaan dan
Mengejar Ufuk Memancar adalah buku
Kumpulan Sajak Terbaharu Penyair
Leo A.W.S.

Dalam buku ini disiarkan sajak saya untuk Leo A.W.S bersama-sama 22 orang penulis yang lain. Sajak 'Ke Halaman Sang Pemakan Puisi' ini terilham selepas mengunjungi Leo di rumahnya pada 14 Disember 2010 setelah agak lama tidak bersua muka.


Buku ini saya hadiahkan untuk isteri sempena hari ulang tahun kelahiran yang ke-30. Zainab Ghazali adalah antara serikandi Islam yang amat saya kagumi.


Buku sejarah politik negara adalah antara
pilihan hati saya

Buku ini ditulis oleh Dr. Shaharir Mohd Zain,
Profesor Matematik-Fizik yang juga pakar
dalam ilmu pengurusan dan kepimpinan.

Sunday, October 2, 2011

Tun akan mati?

Teringin benar mendengar biar pun sekali dari mulut seorang negarawan bergelar 'Tun' mengucapkan kata-kata, "saya sudah tua. Saya akan mati tak lama lagi dah. Saya akan bertemu Allah. Kita semua akan mati tidak lama lagi. Kita semua akan berhadapan dengan Allah juga."