Wazif dibesarkan dengan limpahan kasih sayang dan disuapkan dengan rezeki daripada titik peluh saya sendiri. Anak yang aktif itu membesar seperti kanak-kanak lain yang menikmati alam kanak-kanak dalam keseronokan dan keriagan. Segala kehendaknya dipenuhi di samping saya menitik beratkan pendidikan agama sedari awal.
Isnin, 2 Mei 2011 pula, genaplah usia anak kesayangan itu 4 tahun. Oleh kerana saya agak sibuk dengan tugas harian, sambutan hari jadinya yang disambut di Tadika KEMAS, Jeram Tekoh terpaksa diadakan pada hari Ahad, 8 Mei 2011 secara sederhana tetapi meriah. Dengan berbekalkan ‘kek Ben10’dan sedikit cenderamata untuk kawan-kawannya, sudah cukup untuk membuatkan Wazif gembira dan bersemangat pada hari itu.
Gambar bawah, Wazif sedang memotong kek hari
jadi dibantu oleh mamanya.
Saya pula walau pun sudah berusia 37 tahun dan anak-anak kian membesar di depan mata, terasa seperti baru semalam meninggalkan alam kanak-kanak dan zaman persekolahan yang dibancuh dengan pelbagai warna. Menuntut di Sek. Keb. Dewan Beta, Kota Bharu (Tadika - Darjah 6), Sek.Men. Mulong, Kota Bharu (Tingkatan 1), Sek.Men. Dewan Beta, Kota Bharu (Tingkatan 2 & 3), Sek.Men.Mulong, Kota Bharu (Tingkatan 4 & 5) dan Sek. Men. Kota, Kota Bharu (Tingkatan 6 rendah & 6 atas).
Dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), saya diterima belajar di Institut Bahasa Kuala Lumpur (sebuah Institut Pendidikan Guru), kemudian bertugas di Sek. Jenis Kebangsaan (Tamil) Appar, Jalan Raja Laut, Sek. Keb. Brickfields (1), Kuala Lumpur, Sek. Keb Seri Cheras, Kuala Lumpur, Sek. Keb. Perasu, Gua Musang dan kini di Sek. Keb. Jeram Tekoh,Gua Musang. Semasa di Sek. Keb. Brickfields (1) pula sebelah kaki saya berada dalam dunia penyiaran yang amat menakjubkan dan menyimpan seribu kenangan. Dan dalam tahun 2008 hingga kini, berpeluang melanjutkan pelajaran di Open University Malaysia (OUM).
Pada usia ke-32 tahun pula, Allah menamatkan zaman bujang saya dengan gadis pilihan berusia 25 tahun yang berjaya mencuri hati ini. Wanita yang saya nikahi di dunia fana dan di syurga kelak yang kekal abadi.
Begitu cepat masa berlalu, walaupun dalam tempoh 37 tahun, saya telah melalui dan mengecapi pelbagai peristiwa dalam hidup sebagai manusia biasa sebagaimana orang lain juga. Bagaikan sekelip mata meninggalkan kisah lalu atau hanya sebabak mimpi yang datang tatkala tidur pada satu malam. Walhal, dalam kehidupan ini, saya sudah berada dalam fasa ke-2, jika saya membahagikan usia saya kepada beberapa fasa. Setiap fasa mewakili 20 tahun.
Fasa Ke-1 (umur 0-20 tahun) – Kanak-kanak, remaja dan sebagai pelajar.
Fasa Ke-2 (umur 21-40 tahun) – Melangkah kealam kerjaya dan menuju ke puncak.
Fasa Ke-3 (umur 41-60 tahun) – Kemuncak dalam kerjaya dan bersara.
Fasa Ke-4 (umur 61 tahun ke atas) - Umur subsidi (jika masih dipanjangkan usia)
Sesekali menoleh ke belakang, melihat jalan yang telah saya lalui atau menoleh ke sisi memerhatikan susuk tubuh anak-anak yang semakin membesar, bertambah usianya dari tahun ke tahun atau merenung batang tubuh ayah dan mek (ibu) yang kian uzur, terasa benar diri ini juga semakin hari semakin berusia. Dan ketika berada di hadapan cermin atau sesekali memetik kamera merakam gambar sendiri, terasa amat diri ini semakin hari semakin berusia dan hodoh. Semakin hari semakin hampir pula dengan mati dan kubur yang sedang menanti.
No comments:
Post a Comment