Simpang ke Sg. Asap, Jeram Tekoh, Limau Kasturi dan Bertam
Ketika masih belum bergelar suami, saya kerap pulang bersama-sama rakan baik saya Azhar Ismail. Sesekali kami singgah di simpang tersebut untuk bertemu abang iparnya yang hendak mengirimkan sesuatu kepada anaknya di Kuala Lumpur. Terbayang di fikiran saya, Jeram Tekoh adalah sebuah perkampungan yang indah dan permai, dihuni oleh sekumpulan masyarakat yang jauh daripada pembangunan, sama seperti Limau Kasturi dan Bertam. Mereka terdiri daripada penoreh getah dan pekebun kecil yang masih diancam musuh tanaman seperti babi hutan dan binatang buas seperti harimau dan gajah, selain masih kuat mengamalkan budaya dan cara hidup tradisional. Bertahun-tahun hasrat itu terpendam dan saya tidak tahu bilakah akan tertunai.
Terlalu banyak rahsia dan hikmah dalam kerja Allah SWT atas perjalanan hidup saya. Tanpa menduga penempatan awal saya di SK. Kuala Gris dan isteri di SK Seri Chiku 1 sebenarnya hanyalah sekadar untuk dicatat di atas kertas sahaja. Dengan bantuan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan dan Pejabat Pelajaran Daerah Gua Musang (PPD), saya dan isteri ditempatkan di sekolah yang sama iaitu di SK Perasu. Bagaimana pun saya tidak pernah menjangka nafas perkhidmatan kami di situ terlalu singkat. Hanyalah sekadar tiga minggu sahaja. Ketika berasa amat selesa di SK Perasu dan sedang dalam proses untuk menduduki kuaters kakitangan kerajaan, saya dan isteri menerima memo pertukaran ke SK Jeram Tekoh pula.
Walaupun pada awalnya, saya sangat keberatan untuk berpindah ke SK Jeram Tekoh kerana berasa sangat selesa di SK Perasu, namun saya terpaksa akur kepada arahan tersebut. Kini sudah lebih 3 bulan saya dan isteri menjadi ahli keluarga SK Jeram Tekoh yang terletak di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR, Jeram Tekoh.
Kami menghuni kuaters guru (kuaters lama yang dibina daripada kayu) yang terletak di dalam kawasan sekolah tanpa sebarang pemotongan elaun perumahan. Hanya perlu membayar bil elektrik dan air sahaja. Jarak antara kuaters yang dihuni dengan bangunan sekolah hanya beberapa langkah. Setiap pagi saya tidak perlu bangun terlalu awal dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang merugikan masa dan minyak kereta atau menghadapi risiko kemalangan di jalan raya.
Anak sulung saya pula bersekolah di Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) kelolaan KEMAS yang juga terletak berhampiran kuaters. Setiap pagi, dia akan berjalan kaki ke sekolah dengan memakai uniform lengkap berwarna biru. Anak kedua saya pula dihantar ke rumah pengasuh yang juga isteri kepada kerani di SK Jeram Tekoh. Mereka turut menghuni kuaters di sini.
Atas ketentuan Allah, akhirnya dapat juga saya menjejakkan kaki bukan sahaja di Tanah Rancangan FELDA Perasu, malah juga di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR, Jeram Tekoh (15 km dari Jalan Kuala Krai – Gua Musang) dan kawasan-kawasan sekitarnya seperti RKT KESEDAR Sg. Asap, Kg. Limau Kasturi (15 km dari Jalan Kuala Krai – Gua Musang) dan Kg. Bertam (lebih 30 km dari Jalan Kuala Krai – Gua Musang).
bukan sahaja bagi penduduk di situ, malah juga bagi
penduduk Jeram Tekoh dan Sg. Asap.
Dari sehari ke sehari saya semakin selesa dan suka tinggal di sini. Ketenangan menyelimuti perasaan dan jiwa saya bagaikan kabus menyelimuti bukit. Dan pada setiap hujung minggu, sama seperti guru-guru yang lain, kami akan pulang ke kampung halaman menjenguk orang tua yang kesepian. Entah berapa lama saya dan isteri akan tidur dalam dakapan Jeram Tekoh saya pun tidak tahu. Mungkin untuk 5 atau 10 tahun lagi?
Alhamdullilah... saya seronok baca blog entry cik gu. Kerana saya dapat rasakan bahawa cik gu adalah seorang yang bersyukur dengan segala kententuan Ilahi. A grateful person is what you are. Congratulations.
ReplyDeleteAlhamdulillah.. Rasa lega sedikit bil baca blog cikgu... Coming soon to jeram tekoh☺️☺️
ReplyDelete