Pages

Thursday, July 29, 2010

Jin Bersarang di Sendi Lutut (Bhg 1)


28 Julai 2010, paginya malas. Mentari teragak-agak untuk keluar menyuluh alam. Kira-kira pukul 8.45, singgah di telinga saya suara lolongan budak lelaki. Makin lama, makin kuat. Sangka saya budak-budak yang demam atau sakit perut atau yang tidak dapat menahan pening kepala menyengat-nyengat. Selalunya, bilik sayalah tempat mereka mengadu. Maklumlah Bilik Bimbingan dan Kaunseling. Murid-murid sering keliru antara peranan bilik rawatan dengan Bilik Bimbingan dan Kaunseling. Dalam fahaman mereka, bilik kaunselinglah tempat mengadu jika diselimuti masalah atau disengat sakit demam. Selalunya jika ada yang tersasar ke sini kerana demam atau sakit kepala, saya arahkan mereka berehat di bilik rawatan.

Tangisan yang semakin kuat dan bersungguh-sungguh itu menyeru saya keluar dari bilik pentadbiran yang berhawa dingin ke ruang tamu. Sebaik keluar, saya dapati seorang guru Tahun 6, Puan Mazlah yang kebetulan mengajar di kelas Tahun 6 Smart yang bersebelahan bilik kaunseling sedang mententeramkan seorang murid yang sedang meraung kesakitan. Sangka saya ketika masih di bilik pentadbiran, suara guru perempuan itu adalah suara Cikgu Hashifah Amani, rakan saya di Unit Bimbingan dan Kaunseling. Rupa-rupanya bukan. Dan saya dapati, murid tersebut adalah murid yang baru beberapa hari berpindah ke sekolah yang terletak di kilometer 5, Jalan Cheras ini. Sebelum ini dia menuntut di Sek. Keb. Bangsar, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.

Murid lelaki berkulit gelap tetapi berlesung pipit itu duduk dan menyandar di atas kusyen berwarna hijau sambil diperhatikan oleh beberapa orang murid yang turut membantu membawanya ke situ.

"Sakit! Sakit!" Murid itu meraung sambil memegang peha kirinya dengan kuat.

Menurut Puan Mazlah, ketika sedang menjawab soalan Ujian Pra-UPSR, murid itu tiba-tiba menjerit meminta tolong. Saya bertanya, adakah dia mengalami luka atau kecederaan di peha. Katanya tidak. Dia tidak mengalami apa-apa luka yang menyebabkan kesakitan sebegitu rupa. Tetapi sakitnya bagaikan ada tangan yang kuat mencakar dan mencengkam dengan kuku yang tajam.

Dua orang murid Tahun 6 telah diarahkan untuk memanggil ustaz agar segera ke situ bagi membantu murid malang itu. Sementara menanti kedatangan ustaz, Puan Mazlah membaca sesuatu dan menghembuskan ke bahagian yang sakit. Makin dibaca, makin sakit peha murid itu. Makin dibaca makin kuat raungannya memenuhi bilik yang terletak di tingkat 3 bangunan baharu itu.

Sakit! Sakit! Atuk, sakit! Atuk, sakit!"

Saya sesekali bertanya di celah-celah kesakitannya itu, adakah dia pernah dibawa oleh ahli keluarganya berubat di mana-mana. Katanya tidak. Hanya diikhtiarkan oleh datuknya dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Tambah murid itu lagi, dia pernah diberitahu oleh neneknya bahawa syaitan telah lama bersarang dalam tubuhnya itu. Dan setiap kali dibacakan ayat-ayat Al-Quran oleh datuknya, makhluk itu akan bertindak balas dan akan menyebabkan dia terasa amat sakit pada otot-otot peha.

Tidak lama kemudian, rakan saya, Ustaz Syukri dan Ustaz Khairul sampai. Mereka membaca sesuatu setelah mendapati memang benar murid itu bukan mengalami sakit biasa. Saya pula menghubungi datuknya yang tinggal di sebuah penempatan setinggan tidak jauh dari situ agar segera datang untuk membantu cucunya. Apabila Ustaz Khairul membaca sesuatu sambil memegang badannya, murid itu meraung-raung kesakitan.

melawan

Ustaz Syukri cuba menelefon rakannya yang juga seorang guru agama di Sek. Keb. Taman Midah 2, dan menceritakan hal yang berlaku. Beliau cuba membaca sesuatu melalui telefon yang dibesarkan suaranya dan diletakkan di telinga murid itu. Seperti sebelumnya apabila dibaca ayat-ayat suci Al-Quran atau pun doa, dia akan meraung kesakitan. Makhluk yang bersarang di dalam badannya itu barangkali cuba melawan apabila menerima sesuatu yang mengancam kekuatannya.

"Ini jin ganas ni," kata ustaz dari Sek. Keb. Taman 2 itu melalui telefon apabila mendengar suara mangsa menjerit dengan kuat.

Tanpa menunggu lama, datuk mangsa sampai ke bilik saya dengan wajah yang tenang seolah-olah tidak ada sesuatu yang merisaukan berlaku. Sambil mulut terkumat kamit, lelaki berusia dalam lingkungan 60 tahun itu memegang peha cucunya.

[CERITA BERSAMBUNG]

No comments:

Post a Comment