Terkejut dan sedih. Itulah perasaan saya apabila mendengar
berita pemergian Datuk Sheikh Mustapha Shikh Shukor, bapa kepada Angkasawan
Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie. Beliau menghembuskan nafas
terakhir dalam usia 77 tahun setelah beberapa tahun menderita barah usus di
Hospital Universiti Kebangsaan (HUKM) pada pukul 9.26 pagi tadi. Datuk Sheikh
Mustapha meninggalkan seorang balu, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad dan 5 orang
anak.
Sambil menghadiahkan surah Al-Fatihah, terkenang pada pengalaman
lebih 10 yang tahun lalu (sekitar tahun 1997, 1998, 1999, 2000 dan 2001).
Beliau yang saya dan rakan-rakan panggil sebagai ‘Pak Sheikh’ adalah salah
seorang peserta yang amat rajin mengikuti bengkel-bengkel penulisan cerpen
anjuran Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) yang sering diadakan di rumah
GAPENA atau di rumah PENA, Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur. Saya yang
ketika itu adalah Naib Setiausaha KEPEZI sering bersama-sama beliau dalam
siri-siri bengkel yang diadakan. Dengan bayaran RM300 untuk setiap kali
bengkel, karya-karya kami akan ‘dibedah’ dan ‘dicincang’ oleh Puan Zaharah
Nawawi, salah seorang penulis wanita tersohor tanah air. Puan Zaharah juga
turut menjemput penulis-penulis mapan yang lain untuk mengkritik dan memberi
pandangan tentang hasil tulisan kami.
Pak Sheikh, sebagaimana saya dan beberapa orang rakan yang
lain tidak jemu-jemu belajar menulis cerpen walaupun umur beliau pada ketika
itu boleh dikatakan sudah lewat (sekitar 60-an) untuk belajar menulis cerpen.
Bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI biasanya hanya disertai sekitar 5
hingga 10 orang peserta sahaja. Hanya mereka yang benar-benar ingin menjadi
penulis dan sanggup mengeluarkan bayaran RM300 sahaja akan menyertai bengkel.
Oleh kerana peserta tidak terlalu ramai dan mengambil masa selama tiga hari
bagi setiap bengkel yang diadakan, hubungan kami para peserta menjadi sangat mesra,
rapat dan bagaikan satu keluarga. Saya masih menyimpan sehingga kini sebuah
cerpen karya beliau yang dibengkelkan. Selain Pak Sheikh, saya turut terkenang
rakan-rakan seperjuangan yang sering menghadiri bengkel-bengkel tersebut
seperti Pn. Aliah Ahmad (kami panggil mama), Nora Shaari (Setiausaha KEPEZI),
Datin Siti Aminah Yusof (pensyarah Maktab Perguruan Ilmu Khas), Sakdon Kayon,
Aminah Mokhtar, Cikgu Sapura, Faizati Mohd. Ali, Azizah Hashim, Zaid Akhtar dan beberapa orang
lagi.
Salah sebuah cerpen Pak Sheik yang dibengkelkan dalam Bengkel Penulisan Cerpen
KEPEZI yang masih saya simpan.
KEPEZI yang masih saya simpan.
Pak Sheikh adalah seorang insan yang sangat baik budi bahasanya dan menghormati orang lain. Sepanjang berbengkel saya tidak kekok untuk berbicara dengannya walaupun ketika itu saya masih terlalu muda jika hendak dibandingkan dengan beliau yang saya anggap telah berada pada kedudukan yang tinggi. Entah kenapa saya selalunya sukar melupakan seseorang yang baik dan berhemah tinggi biar pun telah bertahun-tahun terpisah. Sehingga kini saya masih terkenang pada sikap rendah diri dan budi pekertinya yang mulia itu.
Pada hari ini, 7 September 2012, saya telah kehilangan
seorang kenalan yang amat disanjung. Pak Sheikh telah dijemput oleh penciptanya
ke negeri yang kekal abadi. Takziah kepada seluruh ahli keluarganya. Semoga
Allah SWT menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang soleh. “Selamat
jalan Pak Sheikh.” Kami akan mengikut jejak langkahmu juga.
Selamat jalan Pak
ReplyDeletesemoga diterima disisi Allah SWT
ReplyDeletesemoga amal ibadahnya diterima oleh Allah SWT
ReplyDeleteselamat tinggal pak
ReplyDelete