Pages

Saturday, January 15, 2011

Buah Tangan Terbaru Saya

Selain menulis cerpen, puisi, rencana, skrip drama radio, cerita kanak-kanak, saya turut menghasilkan buku kanak-kanak. Penulisan buku kanak-kanak bermula apabila saya terlalu sibuk dengan dua lagi kerjaya yang diceburi iaitu dalam bidang pendidikan dan penyiaran. Ketika masih aktif sebagai penyampai sambilan di stesen radio, saya tidak punya banyak masa untuk menulis. Di luar tugas rasmi sebagai pendidik, masa saya terlalu banyak dihabiskan di konti dan untuk pelbagai acara yang dianjurkan oleh pihak pengurusan radio. Ketika itu, produktiviti saya dalam bidang penulisan agak menurun. Saya hanya sempat menulis berita-berita untuk majalah kanak-kanak, sebuah cerpen (di Akhbar Harian Metro) dan sebuah artikel sahaja (di Akhbar Berita Harian).

Setelah menerima tawaran daripada seorang editor di sebuah syarikat penerbitan, saya cuba menggerakkan semula pena yang kelihatan sedikit tumpul kerana agak lama berada dalam simpanan. Saya mula berfikir, kenapa tidak saja saya menulis buku kanak-kanak di samping berperang dengan kesibukan seperti ini? Sedangkan penulisan buku kanak-kanak tidaklah memerlukan tumpuan dan masa yang lebih berbanding menghasilkan karya dewasa. Malah boleh dihasilkan biar pun di tengah-tengah kesibukan yang meresahkan. Saya tidak boleh membiarkan wujud terlalu lama vakum tanpa menghasilkan apa-apa karya. Itu merugikan. Saya mesti mengumpul semula kekuatan yang pernah dimiliki suatu ketika dahulu. Atas perkiraan-perkiraan itulah, saya mengambil keputusan untuk menulis buku kanak-kanak. Dan sehingga kini saya telah menghasilkan 6 siri buku kanak-kanak.

Baru diterbitkan, 6 buah buku yang memperkenalkan pelbagai jenis masakan mudah untuk kanak-kanak dan remaja yang dimuatkan dalam siri Mari ke Dapur. Buku ini turut memuatkan info tentang makanan dan bahan-bahan untuk menghasilkan makanan disamping gambar-gambar menarik. Buku yang saya hasilkan bersama-sama isteri ini mengambil masa lebih kurang 3 tahun untuk disiapkan. Saya yang menulis, dia pula tukang masak. Alhamdulillah, buahnya telah dapat saya nikmati kini. Tajuk-tajuk dalam siri ini ialah seperti Sayur-sayuran Pelbagai Khasiat, Sarapan dan Minum Petang, Lauk-pauk Aneka Rasa, Ulam Pembuka Selera, Sajian Nasi dan Pulut serta Pemanis Mulut.

Siri Mari ke Dapur (6 buah), Pustaka Minda Aktif, 2010.


Siri Badan Beruniform (6 buah), Content Plus, 2008.


Siri Citra Syair dan Pantun (8 buah), Pustaka Cita Tinggi (PCT), 2007.


Siri Mengenali Hobi (10 buah), terbitan Pustaka Segar, 2007.


Siri Mengenali Kerjaya (10 buah), terbitan Pustaka Segar, 2005.


Siri Serikandi Melayu Klasik (karya bersama Wan Norsedah), terbitan Pustaka Buana, 2006.

No comments:

Post a Comment