Pages

Saturday, March 27, 2010

Peluang Mungkin Kubiarkan Berlalu

Mek yang tersenyum dalam duka.

Ayah yang tenang menempuh ujian

Tahap kesihatan ayah dan mek semakin hari semakin merosot. Kini hari-hari yang mereka lalui semakin sukar dan mencabar. Oleh kerana sentiasa mengenangkan perihal kesihatan mereka. Saya terpaksa berfikir seribu kali untuk melangkah kembali ke dunia penyiaran yang amat diminati. Peluang yang telah dua kali mendatangi saya setelah lebih dua tahun meninggalkan bidang itu mungkin terpaksa dibiarkan berlalu begitu saja. Saya tidak sanggup melalui saat ketika saya dikehendaki bertugas, ketika itulah ayah dan mek yang bertarung kesakitan memerlukan saya di sisi.

Dari Taman Lucky ke Kg Pasir

Selamat tinggal kawanan tikus, gerombolan semut, lipas, air berkarat, dinding yang kusam, pendawaian yang usang, yang menjadi musuh ketat sepanjang lebih 3 tahun menjadi penghuni rumah teres 1 tingkat bernombor 43 di Taman Lucky, Jalan Puchong. Tarikh 31 Mac 2010 adalah tarikh perceraian kita dengan talak 3 yang amat bersejarah. Tak mungkin aku kembali lagi kepadamu wahai rumah yang pernah menjadi tempat tidur baringku, malah tempat aku menanam benih ke rahim isteri sehingga melahirkan dua orang putera kebanggaanku itu.

Walaupun masih terdapat sisa-sisa kasih sayangku terhadapmu kerana perkenalan kita agak panjang, iaitu semenjak aku masih bujang lagi, namun kesusahan yang telah kau berikan kepadaku adalah sesuatu yang amat tidak patut. Nanti akan kutinggalkan kau dengan seribu masalah yang membelenggu, kerana aku telah menemui cinta baruku. Inilah sebahagian daripada perjalanan hidupku. Dari Taman Lucky ke Kg. Pasir yang mampu memberikan aku sesuatu.

Sunday, March 21, 2010

Nyawa Tersangkut di Celah Pohon

Kemalangan maut di Jalan Kuala Krai Gua Musang pagi semalam (Gambar: Harian Metro)

Alhamdulillah. Saya dan keluarga selamat sampai ke KL kira-kira pukul 2.00 petang tadi setelah bercuti selama satu minggu di negeri kelahiran, Kelantan Darul Naim. Pulang dengan kerinduan dan kembali dengan harapan. Pelbagai kisah dan peristiwa yang digalas untuk diceritakan sedikit masa lagi melalui blog ini. Syukur tidak terhingga, kami selamat sampai, sedangkan ada beberapa nyawa melayang menemui penciptanya ketika kereta saya meluncur dengan lancar dan sempurna ke destinasi. Kemalangan demi kemalangan tercatat di sepanjang jalan antara Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Banyak nyawa tersangkut di celahan pohon. Banyak jasad bergelimpangan di sebalik rumput. Banyak jiwa berkecai di atas batu. Banyak darah mengalir ke bawah cerun.

Pagi tadi, ketika bersarapan di sebuah kedai di persimpangan menuju ke Dabong, saya mendengar berita kemalangan ngeri daripada seorang pemandu lori yang turut singgah bersarapan di situ. Katanya, dia sempat menyaksikan beberapa mayat bergelimpangan di atas jalan raya. Tidak lama kemudian saya meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Oleh kerana kejadian itu baru saja berlaku, saya sempat melihat kereta Honda Civic milik mangsa yang remuk teruk. Tidak dapat dibayangkan apakah nasib yang dialami oleh mangsa apabila melihat keadaan kereta yang sedemikian rupa. Rupa-rupanya ajal mereka menanti di Kilometer 51 Jalan Kuala Krai Gua Musang, berhampiran RKT Kesedar Paloh. Begitulah ajal, menanti untuk menyentap kita di mana-mana.

Sampai persimpangan ke Tanah Rancangan Ciku, saya membeli beberapa kilogram daging untuk dibawa ke Kuala Lumpur. Saya menghargai pesanan seorang tua yang kebetulan turut berada di gerai menjual daging. Dia berpesan agar saya sentiasa berhati-hati memandu. Berita kemalangan yang tersebar kepada seluruh penduduk kawasan itu seperti amat menyetuh hatinya. Mungkin perasaan gerun dan ngilu mendengar mendengar berita sedih itu menguasai seluruh tubuhnya. Mungkin juga mengenangkan nasib ahli keluarga yang berulang alik dari Kelantan ke Kuala Lumpur menggunakan jalan yang sering kehausan nyawa dan darah itu.

Bukan sekali dua saya menyaksikan kesan-kesan kemalangan ngeri di jalan antara Kota Bharu ke Kuala Lumpur yang sempit dan bengkang bengkok itu. Bukan sekali dua saya mendengar cerita dan membaca berita kemalangan dahsyat yang berlaku di jalan utama yang menghubungkan kasih sayang kami anak-anak Kelantan dengan ibu dan ayah itu. Dan bukan sekali dua saya mengharapkan pihak berwajib menyegerakan projek menaik taraf jalan yang telah sekian lama digunakan itu. Kondisi jalan yang sempit adalah penyumbang terbesar kepada kerapnya berlaku kemalangan ngeri.

Saya sering terbayang berapa banyakkah lagi nyawa yang akan melayang dan tersangkut di celah-celah pohon yang menahan bukit. Nyawa siapakah lagi yang sedang menanti giliran untuk bercerai dari badan. Yang pasti, nyawa dan jiwa pengguna-pengguna laluan ini. Siapa lagi kalau bukan mereka. Dan saya sekeluarga adalah antara pengguna setia yang tidak jemu-jemu menggunakan laluan ini. Kami mesti melaluinya demi rindu pada ayah dan ibu. Demi cinta setia pada tanah kelahiran. Semoga dijauhkan Allah daripada segala marabahaya.

Wednesday, March 3, 2010

Menanti Tarikh 6 Mac 2010

Tak sabar rasanya menuggu gugurnya pelepah hari 6 Mac 2010. Ketika itu, semua assigment telah berada di tangan pensyarah. Bagaikan gugur setangkai bebanan yang membelenggu di bahu saya. Dan blog ini akan kembali mengeluarkan buah yang lebat insya-Allah. Doakan, amin.