Debaran menanti buah
daripada pohon-pohon yang saya tanam berakhir apabila ia gugur satu persatu
pada 19 November 2012 yang lalu. Dan buah-buahnya banyak yang baik, manis dan
boleh dimakan. Kerusi panas sebagai guru kelas dan guru Bahasa Melayu kepada
sebuah kelas yang menjadi harapan besar di SK Jeram Tekoh saya duduki dalam
keadaan resah gelisah sepanjang tahun 2012. Tempoh itu bukan sahaja menguji
keupayaan murid-murid malah turut menguji keupayaan saya yang buat pertama
kalinya diberi tanggungjawab seumpama itu sepanjang tempoh 15 tahun mengajar. Dalam tempoh itu saya telah memegang pelbagai
jawatan di sekolah dan mengajar pelbagai jenis mata pelajaran bermula sebagai
guru Sains, Bahasa Melayu, Kehamiran Hidup, Pendididkan Jasmani, Sivik dan Kewarganegaraan,
Pendidikan Moral, Matematik, Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni, Dunia Muzik dan
pernah menjadi guru kelas pemulihan khas selama beberapa tahun serta menjadi
guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa selama 2 tahun tetapi belum pernah
diberi tanggungjawab mengajar Bahasa Melayu untuk murid-murid UPSR.
Bahu yang memikul menjadi
bertambah berat apabila terpaksa menggalas pelbagai tugas besar yang lain
selain terpaksa menyelesaikan tugas sebagai pelajar di salah sebuah university
tempatan. Bebanan berat ini bagaimana
pun saya galas dengan penuh sedar, yakin dan bertanggugjawab. Dan hasilnya
tidaklah mengecewakan walaupun saya gagal memberikan gred ‘A’ kepada semua
pelajar yang diajar, namun sudah cukup dengan 11 orang daripada 22 orang murid mendapat
gred ‘A’ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman yang terbukti soalannya
agak sukar daripada biasa dan 9 daripada 22 orang murid mendapat gred ‘A’ dalam
Bahasa Melayu Penulisan. Selebihnya adalah gred ‘B’dan ‘C’. Alhamdulillah, semua murid dari kelas yang
saya ajar mencatatkan kelulusan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Walaupun
hanya 2 orang daripada beberapa orang murid yang menjadi harapan sekolah
mendapat keputusan 5A, namun ribut kencang di hati saya menjadi reda sebaik sahaja mengetahui 2
orang murid tersebut adalah murid yang saya jadikan indicator kepada
keberkesanan pengajaran saya . Tahniah buat murid tersayang Muhammad Asyraf bin
Abdullah dan Mohd. Akiff bin Abdul Ghaffar yang telah mengamalkan sepenuhnya
segala pesanan yang cikgu berikan.
Muhammad Akiff bin Abdul Ghaffar (5A)
Muhammad Asyraf bin Abdullah (5A)
Nor Diena bt. Azizi (4A 1B)
Wajah-wajah cemerlang UPSR 2012