Pages

Monday, June 28, 2010

Buah Tangan dari PUTIK

Buku ini saya hadiahkan buat isteri atas kerelaan dan kesabarannya menguruskan anak-anak sepanjang saya berkampung di PUTIK pada 11 - 13 Jun 2010. Penulisnya, Ustaz Riduan Mohamad Nor adalah antara tokoh pemuda yang saya kagumi. Ustaz Riduan Mohamad Nor yang dahulunya guru di SM. Victoria Institution kini sedang menyiapkan PHDnya di UKM. Tatkala berpidato, idea ulama muda ini mengalir laju bagaikan air terjun Angel (air terjun tertinggi di dunia yang terletak di Rio Caroni, Taman Nasional Canaima, Venezuela) yang terjun pada ketinggian 979 meter.

Ustaz Riduan Mohamed Nor

Selain 'Memoir Tragedi Memali', beliau turut mengarang buku 'Pertembungan Iman dan Kufur', Ahzab Moden dan Masa Depan Islam', 'Menggenggam Bara', 'Pengaruh Ikhwanul Muslimin Terhadap PAS','Duka Acheh Luka Kita', 'Penghinaan Terhadap Rasulullah: Implikasi Hukum, Menelusuri Sejarah dan Isu Kontemporari' (bersama Asri Mat Daud), 'Catatan Pilu Tragedi Gempa Bumi Pakistan', 'Tajuk-tajuk Utama Ramadhan' (bersama Nazri Chik), 'Murtad: Implikasi Hukum dan Fenomena' (bersama Asri Daud, 'Islam Liberal dan Pluralisme Agama' (bersama Adnan Fadzl), 'Kemuliaan Al-Quran', 'Hassan Al-Banna: Memperingati 100 Tahun Hassan Al-Banna', 'Peperangan Rasulullah S.A.W' (bersama Adnan Fadzil dan 'Sejarah Dan Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden'. Saya turut memiliki karya bersama Ustaz Riduan dan Mohd. Fadli Ghani bertajuk, 'Ulama:Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan.'

Saya juga turut meminati idea dan gaya bahasa Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz. Sering membaca tulisannya menerusi blog http://nikabduh.wordpress.com/

Melayu Malang dan SPR Tidur?

Satu

Kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO mendapati nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak Pilihan Raya Umum 2008 sehingga bulan ini adalah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40).

Berita Harian: Isnin, 28 Jun 2010

Dua

Isteri saya telah mendaftar sebagai pemilih melalui wakil parti politik pada Jun 2006. Bagaimana pun namanya tidak tersenarai dalam daftar pemilih sehinggalah menjelang November 2007, dia mendaftar sekali lagi melalui kakitangan SPR yang membuka kaunternya di Muzium Negara ketika SPR mengadakan Pameran 55 Tahun SPR. Menurut kakitangan SPR yang menjalankan pendaftaran, isteri saya akan berpeluang menjadi pemilih jika pilihanraya diadakan pada Februari 2008. Apa yang terjadi, sehingga pilihanraya yang ke-12 pada Mac 2008 berlangsung, nama isteri saya masih belum tersenarai. Hancur berkecailah harapan isteri saya untuk menjadi pemilih dalam piliharaya bersejarah itu. Kini setelah lebih dua tahun mendaftar sebagai pemilih buat kali keduanya, nama isteri saya masih belum tersenarai dalam daftar pemilih. Saya belum sempat untuk menelefon pihak SPR bagi menghamburkan isi hati saya yang kecewa dan sudah hilang sabar. SPR tidur ke?

Baca artikel di bawah yang ditulis oleh seorang bloger. Ada kaitannya dengan 'melayu malang'.

Daftar Online Selesai Semua Masalah
http://mutaligat.blogspot.com/

Berita Harian hari ini memuatkan berita bahawa nisbah kaum yang mendaftar sebagai pemilih baru 1:40 antara Melayu dan Bukan Melayu memang sesuatu yang tidak memelikkan.

Ini kerana pemuda dan pemudi Melayu memang tidak mengambil pusing tentang kepentingan mendaftar sebagai Pemilih. Mereka leka dengan hiburan dan keseronokan yang ditaja digalakkan oleh kerajaan BN sendiri.

Selain itu ramai remaja dan pemuda melayu yang menjadi mat dan minah rempit juga ramai yang mendiami Pusar Serenti dan terjebak dengan dadah.

Ini berbeza dengan pemuda-pemudi bukan Melayu yang sedar betapa pentingnya mendaftar sebagai pemilih. Mereka tahu dan sedar impak dan kesannya mendaftar sebagai pemilih sebab itu mereka segera mendaftar sebagai pemilih apabila umur mereka mencapai 21 tahun.

Bagi blog ini hanya satu sahaja cara untuk mengatasi masalah ini iaitu SPR diberi kuasa untuk mendaftar pemilih secara automatik di mana pangkalan data mengenai semua rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun boleh diperolehi terus dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Masalahnya sekarang kita berasa hairan dan pelik mengapa kerajaan tidak mahu memberikan kuasa kepada SPR dan JPN untuk menjalankan pendaftaran secara automatik seperti yang telah lama dituntut oleh BERSIH dan Pakatan Rakyat

Wednesday, June 23, 2010

Dua Belas Hari Menyusuri Akarku

Cantik burung peliharaan abang ipar saya yang terkurung dalam sangkar, tergantung di bumbung beranda rumah mentua saya. Makan minum dan beraknya pun di situ. Abang ipar saya memang suka memikat burung. Seringkali apabila pulang ke rumah di Sg. Tias, dia akan ke hutan memikat burung. Burung-burung yang berjaya dipikat dijual di kedai menjual burung. Burung ini hanya dijadikan denak untuk memikat burung-burung lain. Burung ini saya lihat tidak pernah berputus asa mencari jalan untuk keluar dari sangkar kecil yang didiaminya. Melompat ke atas dan ke bawah mencari lubang di antara bilah-bilah sangkar kalau-kalau ada yang longgar. Tentu rindu pada pasangan dan tempat tinggal asalnya di dahan-dahan pokok tidak tertanggung lagi. Hanya Allah yang benar-benar mengerti penderitaan zahir dan batinnya.

Dokong sudah berputik. Jika umur panjang dapatlah saya nikmati apabila pulang ke kampung tidak lama lagi.

Rambutan juga nampaknya menjadi. Dari Gua Musang ke Kota Bharu, pohon-pohon rambutan galak berbuah. Tersenyum lebar isteri saya yang 'hantu rambutan'.

Abdul Rahim bin Azman, anak saudara saya yang baru lahir selepas 3 tahun perkahwinan ayahanda dan bondanya. Kelahiran Abdul Rahim bagaikan muncul Sang Mentari menerangi hidup adik saya, Azman dan isterinya Mariana. Seorang lagi anak saudara saya yang baru dilahirkan, belum sempat dirakamkan gambarnya, Mohd. Muhaimin bin Mohd. Nazir. Ketika mengunjungi Muhaimin di rumah tok wannya, di Kuala Gris, Dabong, saya tertinggal kamera di rumah mentua.

Abd. Rahim di pangkuan tok ayah, sambil diperhatikan tok meknya. Moga ayah dan mek saya bertambah bahagia dengan kehadiran 2 lagi cucunya. Kini mek dan ayah boleh tersenyum puas kerana sudah memiliki 5 orang cucu. Dalam masa beberapa bulan lagi, seorang lagi akan menyusul. Dulu, sewaktu saya dan adik-adik masih belum mendirikan rumahtangga, mek dan ayah selalu mengeluh. Kata mereka, entah sempat entah tidak melihat cucu. Nah, sekarang kami dengan pertolongan Allah telah menghadiahkan mereka cucu-cucu! Nanti, kami semua bukan sahaja bersama-sama di dunia, malah akan berkumpul di satu tempat bernama syurga. Insya-Allah.


Pernikahan sepupu saya Wan Hazawani dan pasangannya Raizimi Ibrahim pada 9 Jun 2010. Terkenang saat saya diijabqabul dulu. Saya juga memakai baju melayu berwarna putih.

Di Pusat Tarbiah Islamiah, Kelantan (PUTIK) inilah saya berkampung dan melalui perjalanan menakjubkan selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Jun 2010. Saya memerhati, mendengar, menilai dan merasai kehebatan perjuangan mulus yang dibina atas dasar ketaqwaan kepada Allah. Sesungguhnya kepada Allah saya datang dan kepada Allah saya kembali.