Pages

Friday, December 17, 2010

Gua Ikan: Antara Tarikan di Dabong

Berada di dalam gua batu kapur yang terletak beberapa kilometer dari pekan Dabong ini, terasa seperti berada di dalam perut seekor ikan besar. Stalaktit yang terjulur ke bawah dari bumbung gua yang terbentuk oleh titisan air, kelihatan seperti anak tekak seekor ikan yang ternganga mulutnya. Selain Gunung Stong, Air Terjun Jelawang dan Gunung Ayam, Taman Rekreasi Gua Ikan juga adalah salah satu daripada tarikan alam semulajadi yang terkenal di Dabong.

Terdapat juga gua-gua kecil yang tidak kurang menarik di dalam bukit batu kapur yang direntangi oleh sebatang anak sungai yang jernih ini, seperti Gua Keris, Gua Batu Susun dan Gua Pagar. Di sekitar Gua Ikan, terdapat juga kawasan lapang yang luas dan amat sesuai untuk aktiviti perkhemahan dan rekreasi. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di kawasan ini ialah seperti menikmati keindahan flora dan fauna, mandi-manda, mendaki bukit dan perkelahan.

Papan tanda yang tersegam indah menyambut ketibaan pengunjung.


Batu peringatan yang mencatat latar belakang Gua Ikan berdiri teguh.


Mulut gua yang ternganga sedang menanti pengunjung menjelajah ke dalam perutnya.


Sebatang anak sungai mengalir tenang dari perut gua.


Salah satu daripada stalaktit yang terbentuk di bumbung gua akibat titisan air dari dalam bukit batu kapur.


Selain gerai yang menjual minuman dan makanan, taman permainan kanak-kanak turut disediakan di sekitar kawasan gua.

Surau dan tandas awam turut disediakan untuk kemudahan pengunjung.

Beberapa buah pondok kecil juga disediakan untuk kemudahan pengujung.

Wednesday, December 15, 2010

Pagar Maut

Pemasangan pagar menggunakan dawai yang dialirkan arus elektrik adalah pemandangan biasa bagi penduduk di kawasan tempat tinggal mentua saya. Pagar-pagar seperti ini digunakan untuk menghalang kemaraan musuh-musuh tanaman terutama babi hutan daripada merosakkan semaian anak pokok getah atau lain-lain tanaman. Biasanya sejenis alat khas digunakan untuk merendahkan arus elektrik dan tidak mematikan haiwan perosak yang menghampirinya. Bagaimana pun tidak semua orang menggunakan peralatan tersebut. Bagi yang tidak menggunakan alat tersebut, mereka akan membuat sambungan terus dari punca kuasa elektrik ke dawai yang di pasang mengelilingi tanaman. Musuh tanaman yang merempuh pagar tersebut akan mati serta merta.

Beberapa hari lalu, penduduk kampung yang terletak kira-kira 4o kilometer dari Dabong itu dikejutkan dengan kematian seorang warga emas yang ditemui berhampiran dengan pagar elektrik yang dipasang oleh adiknya sendiri. Lelaki tersebut dikatakan mati selepas terkena renjatan elektrik daripada pagar yang disambung secara terus daripada punca kuasa tanpa menggunakan alat khas untuk mengurangkan kapasiti arusnya. Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 6 petang apabila mangsa ke hutan berhampiran rumahnya untuk melihat perangkap monyet yang di pasang. Mayat ditemui oleh isterinya keesokan hari ketika hendak menoreh getah.

Semaian anak pokok getah perlu dipagar agar tidak dimusnahkan oleh babi hutan.

Anak pokok getah menanti masa untuk dipindahkan dan akan mengambil masa selama 8 tahun untuk mengeluarkan hasil.

Monday, December 6, 2010

Suatu Senja di Kota Bharu

Kelmarin, ketika mentari mula hendak menyembunyikan dirinya, hujan musim tengkujuh sesekali mencurah ke bumi, saya mencuri secebis waktu untuk keluar bersama-sama isteri menikmati mee celup kegemarannya di Kg. Tunjung, Kota Bharu. Dalam masa yang sama, nostalgia 'Padang Bas', Kota Bharu melambai mesra isteri saya untuk ke sana. Lemas dengan 'selera orang mengandung', membuatkan tekaknya mengidam bermacam-macam makanan lazat di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Terpaksalah berpusing-pusing di pusat bandar Kota Bharu mencari lokasi 'baharu' Padang Bas. Lokasi 'baharu' ini sebenarnya bukanlah baharu lagi kerana perpindahannya dari tapak asal ke tempat baharu bukanlah baru. Kalau tidak silap ingatan saya, sudah lebih enam tahun. Namun sejak perpindahan itu, saya dan isteri masih belum sampai lagi ke situ.


Singgah meletakkan kenderaan di dataran Kota Sultan Ismail bagi menunaikan solat maghrib di Masjid Muhammadi yang terletak beberapa meter dari situ, sebelum ke Padang Bas membeli apa saja makanan yang dimahukan oleh isteri saya. Dalam kelabu warna senja, laungan azan dari menara masjid tua itu terasa sangat indah meresap di kalbu, tatkala berdiri menikmati cahaya kuning keemasan senja yang singkat itu.

Solat maghrib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu mengundang kembali ingatan saya kepada rutin kira-kira lebih 16 tahun lalu. Di masjid inilah saya mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Mustafa (kini ADUN Demit, Kelantan) pada setiap pagi Jumaat. Ketika itu, Ustaz Muhammad Mustafa masih bergelar pensyarah di Akademi Pengajian Islam, Nilam Puri dan suaranya masih berkumandang di Radio 3 Kota Bharu dalam rancangan 'Al-Quran dan Sains'. Selepas mendengar kuliah di sini, saya berjalan kaki menuju ke jalan Dato' Pati untuk mendengar kuliah Tuan Guru MB.

Rindu untuk kembali mendengar kuliah di sini seperti bergetar kuat dalam hati. Rindu untuk mendengar kembali suara Ustaz Muhammad Mustafa menyampaikan kuliah tafsir Al-Quran yang banyak membentuk kepribadian saya hingga kini seperti hidup dan bernafas. Tetapi segalanya mungkin mustahil untuk dikecapi kembali. Waktu yang telah jauh pergi meninggalkan saya tidak mungkin datang kembali. Bagaimana pun, keindahan dan kehebatan masjid ini tetap terpelihara dengan kuliah-kuliah maghrib dan solat berjamaah yang masih mendapat sambutan daripada penduduk sekitar bandar Kota Bharu, yang tidak pernah terhenti pembangunannya.

Friday, December 3, 2010

Saya Antara Yang Bertuah

STATISTIK PERTUKARAN ANTARA NEGERI BAGI SEKOLAH RENDAH SESI 2010

BIL

NEGERI

PERMOHONAN MASUK

PERMOHONAN KELUAR

1

JOHOR

438

1660

2

KEDAH

1274

192

3

KELANTAN

2017

101

4

MELAKA

324

167

5

NEGERI SEMBILAN

377

340

6

PAHANG

632

836

7

PULAU PINANG

557

348

8

PERAK

815

933

9

PERLIS

266

40

10

SELANGOR

1346

1567

11

TERENGGANU

1093

182

12

SABAH

375

825

13

SARAWAK

162

2051

14

W.PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

345

900

15

W.PERSEKUTUAN LABUAN

53

33

16

W.PERSEKUTUAN PUTRAJAYA

128

27

17

BAHAGIAN PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL

60

436

18

BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM

246

307

19

BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH DAN SEKOLAH KLUSTER

72

276

20

BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH SUKAN DAN SENI - SENI

5

9

21

BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH SUKAN DAN SENI - SUKAN

1

12

22

BAHAGIAN PENDIDIKAN KHAS

29

44

Monday, November 29, 2010

Komen Tun Dr. Mahathir Tentang Pembinaan Menara 100 Tingkat

Berikut komen Tun Dr. Mahathir Muhammad ketika menjawab soalan peserta pada persidangan "Revisiting Vision 2020" anjuran Institut Pemasaran Malaysia di Kuala Lumpur mengenai pembinaan menara 100 tingkat.

1. Jika anda bertanya saya, kita belum memerlukan menara 100 tingkat itu. Saya lihat banyak papan tanda 'untuk dijual' dan 'untuk disewa' apabila saya bersiar-siar. Ini bermakna kita telah mempunyai bangunan yang mencukupi. Mereka boleh bina, tetapi bukan sekarang, mungkin kemudian... apabila saya tiada lagi.

2. Dubai merupakan contoh klasik tentang lebihan bangunan. Jepun dan Hong Kong juga mengalami keadaan yang sama pada masa lalu. Jepun masih belum pulih daripada keruntuhan ekonominya disebabkan oleh lebihan bangunan. Begitu juga Dubai dan apa yang terjadi di sana, boleh terjadi di mana-mana sahaja.

3. Banyak orang beli dengan harapan harga akan naik dan mereka boleh menjualnya untuk mendapatkan keuntungan, tetapi ada kalanya harga melonjak terlalu tinggi hingga tidak boleh jual. Bila tidak boleh jual, kita tidak boleh bayar balik pinjaman yang kita ambil untuk beli harta itu. Bila perkara begini berlaku dengan meluas, bank-bank akan menjadi mangsa kerana tidak boleh dapat balik wang yang dipinjamkan. Oleh itu, Malaysia perlu berhati-hati.

4. Hari ini, kita nampak banyak kren di Kuala Lumpur dan seluruh negara, kita juga bina, tidaklah gila-gila, tetapi gila juga membina."






Terkenang Wan Razak Balle Balle

Tengahari semalam, ketika kereta saya sampai di stesen minyak Petronas, Taman Sentosa, Jalan Klang Lama, singgah satu berita yang mengejutkan ke lubang telinga yang disampaikan oleh penyampai Radio Klasik Nasional, Yusmawati Yunus. Menurutnya, penyanyi 60-an yang pernah merakamkan album bersama-sama kugiran The Wisma, Wan Razak telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 11 pagi di Hospital Ampang. Saya yang pernah rapat dengan arwah agak terkejut mendengar berita sedih itu. Tiba-tiba saja terkenang pada kemesraan arwah yang pernah menghadiahkan saya cenderamata sebagai hadiah perkahwinan pada tahun 2006. Ketika itu saya masih bertugas di Klasik FM.

Saya mengenali Wan Razak, penyanyi yang turut terkenal dengan lagu-lagu loghat Kelantan bersama Mek Habsah ini ketika masih bertugas di stesen Radio RMKL lagi. Selepas itu, kami sering berhubung melalui telefon dan mengadakan pertemuan di RTM. Saya sempat membantu beliau menjadi orang perantaraan untuk mendapatkan khidmat dj Muhammad Hj. Hanafi bagi memindahkan lagu-lagunya yang masih berada dalam piring hitam ke dalam bentuk CD. Dan saya jugalah yang bertanggungjawab memasukkan lagu-lagu nyanyiannya bersama-sama The Wisma dan lagu-lagu duetnya bersama-sama Mek Habsah ke dalam sistem komputer di Klasik Nasional.

Kali terakhir bertemu dan berbual dengan arwah, ialah ketika saya menjadi pengacara majlis di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Pertemuan itu masih segar di ingatan. Wan Razak yang juga anggota kumpulan Balle Balle pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan di RTM. Al-Fatihah untuk arwah.

Wan Razak, tiga dari kiri bersama kumpulan Balle Balle.

Wednesday, November 24, 2010

Wajah-wajah yang Paling dirindui di RTM

Enam tahun bergelar warga RTM, membolehkan saya berkenalan dan berkawan dengan ramai petugas badan penyiaran tertua di Malaysia itu. Ramai yang telah saya kenal melalui radio mahu pun TV dan ramai juga petugas-petugas baru yang terdiri daripada kakitangan tetap, artis berjadual, artis kontrak mahu pun artis piecemeal. Melangkaui sempadan gender, kebanyakan daripada mereka menjadi kawan baik saya. Wajah mereka sering timbul dan tidak pernah lenyap dari ingatan seni saya biar pun telah empat tahun meninggalkan RTM yang penuh kenangan manis itu. Apa lagi wajah-wajah mereka sering terpampang di facebook saya.

Agak ramai teman-teman rapat saya di RTM. Ada yang masih bertugas sama ada di Angkasapuri mahu pun di stesen-stesen negeri dan ramai juga yang telah bersara. Tentu mengambil ruangan yang besar jika kesemua wajah mereka hendak saya paparkan di ruangan ini. Saya hanya memilih beberapa wajah yang sering mencuri ingatan saya saban hari. Antaranya seperti Fauziah Zakaria, Nur Liza Yeo Abdullah, Adibah Affendi, Shahizan Jelas, Azizah Sulaiman dan Rohani Zahid.

Kak Fauziah Zakaria kini bertugas di Sarawak FM. Walaupun jauh di Bumi Kenyalang, kami sentiasa mengirim berita melalui telefon, facebook atau pun komen-komen melalui blog masing-masing. Pernah bertugas bersama-sama di Radio Malaysia Kuala Lumpur (RMKL).

Kak Liza Yeo Abdullah, terasa seperti bertemu setiap hari. Penyiar berasal dari Sarawak ini rajin bertanya khabar melalui facebook mahu pun telefon.

Kak Adibah Affendi, selain sering bertanya khabar di facebook, suaranya masih keudara melalui Klasik Nasional. Terasa seperti berhadapan dengan orangnya.

Kak Shahizan Jelas, hubungan saya dengannya seperti adik dengan kakak. Biar pun setelah saya meninggalkan RTM, kami jarang berhubung, namun suara merdunya tetap menghantui ingatan saya. Saya mula meminati suara Shahizan Jelas sejak masih di tingkatan 1 (1987) sehingga kini.

Kak Azizah Sulaiman, kelembutan dan kebaikannya melekat di hati saya hingga kini. Sudah agak lama tidak berbual dan bertanya khabar. Gambar dirakam di pejabat RMKL pada tahun 2003.

Kak Rohani Zahid, pernah bertugas bersama-sama saya di Klasik FM. Kemesraannya dan kebaikannya masih segar di ingatan. Kak Ani juga rajin bertanya khabar melalui facebook. Berdiri di sebelah, dj Harris (Mohd. Nor (Klasik Nasional).

Sunday, November 21, 2010

Setahun Sang Rambulan

Hari ini, Isnin, 22 November 2010 genaplah setahun blog ini wujud dan dikenali di alam maya. Dan selama itulah saya telah 'menikahinya' dengan seluruh jiwa dan raga. Bukan sedikit idea dan masa yang terpercik ketika 'menyetubuhinya'. Terima kasih buat saudara saya, Ridwan yang sudi memberi tunjuk ajar dari aspek teknikal dalam membangunkan blog yang pada asalnya diberi nama 'Getaran Jiwa', kemudian bertukar menjadi 'ore bule' dan kini dikenali sebagai 'Sang Rambulan' ini. Terima kasih tidak terhingga juga buat semua pembaca dan pengunjung setia blog ini. Kunjungan mesra kalian, memberi saya semangat untuk terus melangkah lebih jauh di alam siber yang penuh mencabar.

Friday, November 19, 2010

Aku Kini, Sang Rambulan Yang Mengintai dari Celah Awan


Sempena penghijrahan saya dari Kuala Lumpur ke Kelantan, blog ini dijenamakan semula menjadi 'Sang Rambulan' dengan taglinenya, 'Mengintai dari Celah Awan'. Sedang menanti keputusan di mana ditempatkan. Esok ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bersama-sama isteri.

Sunday, November 14, 2010

Panorama di Little India

Setiap hari melewati 'Little India' untuk menghantar isteri ke tempat bertugas, membolehkan saya merakam panorama kawasan yang dibangunkan dengan jumlah RM36 juta ini untuk tatapan pembaca yang berada jauh dari Kuala Lumpur. Kebanyakan gambar dirakam ketika sedang memandu, tatkala kereta bergerak perlahan kerana kesesakan. Kesesakan lalu lintas memang sudah lama sinonim dengan Brickfields.

Dari Lebuhraya Persekutuan menghala ke Jalan Tun Sambanthan








Satu daripada 2 buah arca yang terdapat di Little India.

Kelihatan gambar Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri India Manmohan Singh. Little India dirasmikan oleh kedua-dua pemimpin ini pada 27 Oktober 2010.

Kelihatan gerai-gerai jualan. Tapak asal ialah padang bola kuaters kakitangan kerajaan.