Pages

Monday, November 29, 2010

Terkenang Wan Razak Balle Balle

Tengahari semalam, ketika kereta saya sampai di stesen minyak Petronas, Taman Sentosa, Jalan Klang Lama, singgah satu berita yang mengejutkan ke lubang telinga yang disampaikan oleh penyampai Radio Klasik Nasional, Yusmawati Yunus. Menurutnya, penyanyi 60-an yang pernah merakamkan album bersama-sama kugiran The Wisma, Wan Razak telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 11 pagi di Hospital Ampang. Saya yang pernah rapat dengan arwah agak terkejut mendengar berita sedih itu. Tiba-tiba saja terkenang pada kemesraan arwah yang pernah menghadiahkan saya cenderamata sebagai hadiah perkahwinan pada tahun 2006. Ketika itu saya masih bertugas di Klasik FM.

Saya mengenali Wan Razak, penyanyi yang turut terkenal dengan lagu-lagu loghat Kelantan bersama Mek Habsah ini ketika masih bertugas di stesen Radio RMKL lagi. Selepas itu, kami sering berhubung melalui telefon dan mengadakan pertemuan di RTM. Saya sempat membantu beliau menjadi orang perantaraan untuk mendapatkan khidmat dj Muhammad Hj. Hanafi bagi memindahkan lagu-lagunya yang masih berada dalam piring hitam ke dalam bentuk CD. Dan saya jugalah yang bertanggungjawab memasukkan lagu-lagu nyanyiannya bersama-sama The Wisma dan lagu-lagu duetnya bersama-sama Mek Habsah ke dalam sistem komputer di Klasik Nasional.

Kali terakhir bertemu dan berbual dengan arwah, ialah ketika saya menjadi pengacara majlis di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Pertemuan itu masih segar di ingatan. Wan Razak yang juga anggota kumpulan Balle Balle pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan di RTM. Al-Fatihah untuk arwah.

Wan Razak, tiga dari kiri bersama kumpulan Balle Balle.

No comments:

Post a Comment