Kelmarin, ketika mentari mula hendak menyembunyikan dirinya, hujan musim tengkujuh sesekali mencurah ke bumi, saya mencuri secebis waktu untuk keluar bersama-sama isteri menikmati mee celup kegemarannya di Kg. Tunjung, Kota Bharu. Dalam masa yang sama, nostalgia 'Padang Bas', Kota Bharu melambai mesra isteri saya untuk ke sana. Lemas dengan 'selera orang mengandung', membuatkan tekaknya mengidam bermacam-macam makanan lazat di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Terpaksalah berpusing-pusing di pusat bandar Kota Bharu mencari lokasi 'baharu' Padang Bas. Lokasi 'baharu' ini sebenarnya bukanlah baharu lagi kerana perpindahannya dari tapak asal ke tempat baharu bukanlah baru. Kalau tidak silap ingatan saya, sudah lebih enam tahun. Namun sejak perpindahan itu, saya dan isteri masih belum sampai lagi ke situ.

Singgah meletakkan kenderaan di dataran Kota Sultan Ismail bagi menunaikan solat maghrib di Masjid Muhammadi yang terletak beberapa meter dari situ, sebelum ke Padang Bas membeli apa saja makanan yang dimahukan oleh isteri saya. Dalam kelabu warna senja, laungan azan dari menara masjid tua itu terasa sangat indah meresap di kalbu, tatkala berdiri menikmati cahaya kuning keemasan senja yang singkat itu.

Rindu untuk kembali mendengar kuliah di sini seperti bergetar kuat dalam hati. Rindu untuk mendengar kembali suara Ustaz Muhammad Mustafa menyampaikan kuliah tafsir Al-Quran yang banyak membentuk kepribadian saya hingga kini seperti hidup dan bernafas. Tetapi segalanya mungkin mustahil untuk dikecapi kembali. Waktu yang telah jauh pergi meninggalkan saya tidak mungkin datang kembali. Bagaimana pun, keindahan dan kehebatan masjid ini tetap terpelihara dengan kuliah-kuliah maghrib dan solat berjamaah yang masih mendapat sambutan daripada penduduk sekitar bandar Kota Bharu, yang tidak pernah terhenti pembangunannya.
No comments:
Post a Comment