Pemasangan pagar menggunakan dawai yang dialirkan arus elektrik adalah pemandangan biasa bagi penduduk di kawasan tempat tinggal mentua saya. Pagar-pagar seperti ini digunakan untuk menghalang kemaraan musuh-musuh tanaman terutama babi hutan daripada merosakkan semaian anak pokok getah atau lain-lain tanaman. Biasanya sejenis alat khas digunakan untuk merendahkan arus elektrik dan tidak mematikan haiwan perosak yang menghampirinya. Bagaimana pun tidak semua orang menggunakan peralatan tersebut. Bagi yang tidak menggunakan alat tersebut, mereka akan membuat sambungan terus dari punca kuasa elektrik ke dawai yang di pasang mengelilingi tanaman. Musuh tanaman yang merempuh pagar tersebut akan mati serta merta.
Beberapa hari lalu, penduduk kampung yang terletak kira-kira 4o kilometer dari Dabong itu dikejutkan dengan kematian seorang warga emas yang ditemui berhampiran dengan pagar elektrik yang dipasang oleh adiknya sendiri. Lelaki tersebut dikatakan mati selepas terkena renjatan elektrik daripada pagar yang disambung secara terus daripada punca kuasa tanpa menggunakan alat khas untuk mengurangkan kapasiti arusnya. Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 6 petang apabila mangsa ke hutan berhampiran rumahnya untuk melihat perangkap monyet yang di pasang. Mayat ditemui oleh isterinya keesokan hari ketika hendak menoreh getah.
No comments:
Post a Comment