Pages

Sunday, December 20, 2009

Sedap Wei AKOK

ENAK sungguh mengunyah AKOK di rumah saya di Kuala Lumpur. Akok ialah sejenis kuih popular di negeri Kelantan yang diperbuat daripada telur, gula melaka , santan, dan tepung gandum. Rasanya yang lemak manis amat digemari oleh kebanyakan rakyat Kelantan. Walaupun harganya agak mahal sedikit berbanding kuih muih yang lain, namun tidak menjadi halangan bagi mereka yang menggemarinya.

Bagaimanapun, apa yang saya maksudkan sebenarnya bukanlah kuih Akok, tetapi rancangan Apakhabar Orang Kelantan (AKOK), yang disiarkan setiap hari di Radio Malaysia Kelantan FM. Akok yang keudara pada setiap petang dari pukul 2.00 hingga 6.00 petang memuatkan lagu-lagu dikir barat, lagu daerah, lagu-lagu popular semasa di samping hebahan dan rancangan tajaan. Rancangan AKOK adalah salah satu rancangan popular di Radio Malaysia Kelantan FM sejak hampir 20 tahun lalu.

Kini kita dapat menikmati AKOK walaupun berada amat jauh dari negeri Che Siti Wan Kembang itu. Suara deejay-deejay seperti Kak We (Jamaliah Romi), Kak Nik (Noraini Ghazali), Abe Him (Awang Him Awang) , Pak Da (Sumardi Muhammad/Uncle Didi), Pak Cu (Ebby Halim Al Firdaus) yang menghidupkan AKOK dengan bahasa daerah Kelantan dapat kita ikuti melalui internet di
www.kelantanfm.gov.my.

Walaupun agak terlewat daripada siaran radio-radio RTM yang lain, siaran Kelantan FM yang kini boleh diikuti melalui internet sekurang-kurangnya telah dapat mengubat kerinduan anak-anak Kelantan di perantauan terhadap ibu bapa, saudara mara dan kampung halaman. Mendengar Rancangan AKOK di perantauan ini, terasa seperti saya sedang berbual-bual dengan ayah dan mek, menikmati keenakan asam pedas ikan patin air tangan emak mertua, bersiar-siar di Wakaf Che Yeh dan Kota Bharu, mengunjungi teman-teman di Pengkalan Kubur, Wakaf Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Bachok. Atau bersiar-siar di Pantai Irama, Pantai Melawi, Pantai Senok, Pantai Cahaya Bulan, Pantai Seri Tujuh dan Tok Bali.

Selain AKOK, saya sangat meminati rancangan Kayanya Bahasa Kita (belajar bahasa Kelantan) dan Soal Jawab Agama bersama-sama Ustaz Zainal Abidin Abdul Rahman yang keudara pada setiap hari Khamis, selain turut meminati rancangan Seloka Bersahut terbitan kawan baik saya dj Roselam Che Soh. Tahniah juga untuk Radio Malaysia Kelantan FM yang tersenarai di tempat ke-10 sebagai antara stesen radio yang paling ramai pendengar di kalangan puluhan stesen-stesen radio yang lain di Malaysia.

Terlanjur menulis tentang Kelantan FM, seperkara yang sering meracun konsentrasi saya dan kebanyakan pendengar adalah wujudnya unsur-unsur ketidakseimbangan yang amat ketara dalam gaya pemberitaan dan penyiaran kapsul yang menjadi amalan stesen radio tempatan ini sejak sekian lama dalam beberapa aspek. Penambahbaikan dari semasa ke semasa amatlah diharapkan untuk mewujudkan penyebaran berita yang lebih profesional, mantap dan berintergriti.

No comments:

Post a Comment