Pages

Tuesday, December 1, 2009

Meriahnya Raya

HARI RAYA Aidiladha tahun ini disambut sebagaimana lazimnya, dipenuhi ibadah korban dan aqiqah. Mengingati dan menghayati falsafah di sebalik pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, banyaklah lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan kadang-kadang unta ditumbangkan.

Oleh kerana pada tahun ini, Hari Raya Haji jatuh pada hari Jumaat, masa untuk melaksanakan urusan korban menjadi agak sempit dan terpaksa dijalankan dalam keadaan tergesa-gesa. Ada yang terpaksa menyelesaikan kerja-kerja melapah daging korban hingga lewat petang kerana pada tengahari mereka sekali lagi ke masjid untuk melaksanakan solat Jumaat. Apa pun ia tetap meriah.


Menjadi kebiasaannya di Kelantan, Hari Raya Haji menjadi lebih meriah dengan aktiviti korban yang dijalankan di merata tempat. Ibadah korban tidak banyak dijalankan di masjid tetapi lebih banyak di jalankan di merata tempat selain masjid mengikut kumpulan korban masing-masing. Oleh kerana ia tidak hanya dijalankan di masjid, suasana pada hari raya Aidiladha kelihatan sangat meriah. Di mana-mana kita dapat melihat orang ramai berkumpul tanpa menira umur untuk mengerjakan ibadah korban. Jika anda menaiki kenderaan melewati kawasan perkampungan pada Hari Raya Haji di kelantan, anda akan dapat menyaksikan suasana ini.


Korban di Kelantan agak berbeza berbanding korban yang dijalankan di negeri-negeri lain yang kebanyakannya lebih tertumpu di masjid-masjid. Suasana sebeginilah agaknya yang menimbulkan kesan kurang meriah kepada sambutan Hari Raya Korban di negeri-negeri sebelah Pantai Barat.


Di Kelantan, selain membahagi-bahagikan daging korban kepada fakir miskin dan penduduk kampung, pihak yang menjalankan ibadah korban atau aqiqah akan memanggil penduduk kampung menikmati jamuan di rumah mereka. Suasana sebegini juga turut menyumbang kemeriahan berhari raya. Malah kadang-kadang Hari Raya Korban kelihatan lebih meriah berbanding hari raya puasa. Ibadah korban tidak hanya dijalankan pada hari raya pertama malah turut dijalankan pada hari raya ke-2 dan ke-3. Jemputan untuk menikmati jamuan juga terus diterima di samping kenduri kesyukuran mahu pun perkahwinan.


Alangkah indah suasana sebegini yang telah tercipta sekian lama dan diwarisi turun temurun daripada datuk, nenek, moyang kami. Keindahan itulah yang sering saya rindui ketika berada jauh beribu batu dari kampung halaman. Cerita, peristiwa dan pengalaman zaman kanak-kanak sering mengintai ruang ingatan.


Bagaimana pun kemeriahan sambutan hari raya korban di kampung saya pada tahun ini terasa ada sedikit kekurangannya. Mungkin kerana pada kali ini, tidak ramai warga kampung yang merantau berkesempatan untuk pulang meraikannya bersama-sama keluarga. Tambahan pula sudah ramai orang-orang tua yang telah pergi menghadap Ilahi. Terbaru, jiran yang juga saudara di sebelah rumah saya. Kebiasaannya dialah yang menjadi ‘orang kuat’ dalam melaksanakan ibadah korban. Menjadi lumrah bagi kebayakan anak-anak yang merantau akan pulang menjeguk ayah dan ibu di kampung pada musim perayaan. Tetapi kekerapan untuk pulang akan berkurangan apabila ibu dan ayah sudah tiada.

No comments:

Post a Comment