Pages

Tuesday, December 1, 2009

Pokok Pisang Yang Satu Itu

SEJAK mengahwini isteri saya lebih 3 tahun yang lalu, pokok pisang ini telah pun diperanakkan di sebelah rumah mertua saya. Ibunya yang juga kerdil telah lama pergi menghadap ilahi tidak lama kemudian. Sejak kecil lagi pembesaran dan ketinggiannya tidak jelas kelihatan. Bagaikan anak yatim piatu. Pokok pisang itu telah kematian ibu. Setiap kali pulang ke kampung isteri, kami sering tertawa melihat pokok pisang itu.

Saya tidak pernah menaruh harapan yang tinggi untuk merasai buahnya kerana masa depan pokok pisang itu pun masih kabur. Keadaannya seperti pokok pisang plastik yang tidak akan besar dan meninggi sampai bila-bila. Umur anak saya yang sulung, Amad Wazif sudah mencecah 2 tahun setengah. Badannya semakin besar dan tinggi. Otaknya semakin berkembang dan meningkat dari hari ke hari. Mulutnya semakin petah berbicara tentang apa yang telah diketahui. Perkembangannya amat ketara sebagai mana perubahan usianya, tidak seperti pokok pisang yang satu itu.

Agaknya tanah bukit yang keras dan berbatu tidak sesuai untuk tanaman seperti pokok pisang yang memerlukan tanah yang subur dan mengandungi banyak air. Apa lagi kalau tidak pula dibajai. Lalu nasibnya seperti yang dialami kini. Alangkah malang nasibnya, tidak seperti pokok pisang yang lain. Hidup subur, membesar dan meninggi hingga menghasilkan buah yang boleh dinikmati oleh manusia dan haiwan, menghasilkan daun yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dan menghasilkan batang yang boleh dijadikan rakit atau makanan lembu ternakan.

Anak-anak kita pun begitulah jika tidak diberikan penjagaan rapi, makanan berzat yang secukupnya, pendidikan yang sempurna da limpahan kasih sayang berpanjangan daripada ibu dan bapa. Pembesarannya mungkin akan terencat dan terbantut. Otaknya pun mungkin cacat atau kementot.

No comments:

Post a Comment