Pages

Monday, January 4, 2010

Alhamdulillah...

Pn. Kok Sea Yin (kiri), Guru Besar SK. Brickfields (1), Kuala Lumpur yang gemar menyebut 'alhamdulillah' dan 'insya-Allah'.

Friday, January 1, 2010

Budak Kelantan Buka Seluar ?

'Budak Kelantan', bukan sekadar gosok-gosok benda dalam seluar, tetapi buka seluar? Dalam posting sebelum ini saya ada menyentuh tentang 'bangkai' yang terdapat dalam filem 'Tersasar Dari Jalanmu'. Kebetulan, entah macam mana, adik ipar saya terbeli VCD filem 'Budak Kelantan' lakonan Danny, Asrul Faizal Kamaruzaman dan Bienda beberapa bulan lalu. Tidak pernah berlaku dalam hidup saya setakat ini, saya membakar wang untuk membeli walau sekeping VCD filem. VCD ceramah banyaklah.

Apabila adik-adik ipar saya mainkan filem karya dan arahan Wan Azli Wan Jusoh itu, saya tumapang jeling. Mungkin ada sesuatu yang hebat pada filem 'Budak Kelantan'.

Sekonyong-konyong muncullah satu babak yang amat memalukan orang-orang yang 'beriman' dan 'bertaqwa'. Ketika Buchek (watak dalam filem 'Budak Kelatan') dan rakan-rakannya yang dirasuk nafsu binatang hendak merogol seorang gadis, gambaran kejadian ditunjukkan sejelas-jelasnya. Babak yang tidak perlu itu bermula dengan Buchek dan kawan-kawannya memegang gadis itu beramai-ramai.

Buchek dilihat membuka tali pinggang dan seluar jeans yang dipakainya. Lalu ditunjukkan peha gadis itu yang sudah terkangkang kerana dipaksa dan ditarik oleh kawan-kawan Buchek yang rakus. Peha Buchek yang berbulu pun bercantum dengan peha peha gadis itu. Tidak cukup dengan itu, ditunjukkan susuk tubuh Buchek dan pehanya yang bergerak secara berulang kehadapan dan ke belakang di samping wajahnya yang mabuk dalam kenikmatan yang memuncak.

Apa ni? Malunya, Allahu akhbar! Adik-adik ipar perempuan dan emak mertua saya di hadapan TV kelu tidak terkata. Hanya mulut dan hati saya yang lantang menyebut, "gila! Gila! Gila!," kepada pembikin filem yang tak tau malu itu. Kalau iya pun dia tak tau malu, janganlah ingat semua penonton pun tak tau malu. Macamlah penulis skrip dan pengarahnya tak ada ibu, anak, adik beradik atau saudara mara perempuan.

Saya hanya membayangkan ahli keluarganya yang terdekat menyaksikan babak itu. Ke mana perasaan malunya? Adalah mustahil untuk ahli keluarga terdekat tidak berasa teruja hendak menyaksikan filem karya dan arahan ahli keluarga mereka. Sama juga dengan pelakon yang tak tau malu tu. Kalau sekali pun dia sudah tidak ada perasaan malu pada orang lain, malu pada keluarga sendiri cukuplah. Akal saya tidak boleh menerima bagaimana emak atau ayah atau anak atau adik beradik perempuannya menyaksikan kelakuan dia sedang merogol seorang gadis dalam sebuah filem. Biol saya berfikir. Maaf, barangkali kepalanya sudah tersumbat atau malu telah hilang ditiup syaitan kerana terlalu banyak menonton filem lucah?

Teringat pada kata-kata seorang ustaz dalam satu tembual di Radio IKIM.fm. Katanya, kebanyakan pembikin-pembikin filem hari ini, amat gemar menonjolkan perilaku yang tidak baik melalui filem, umpamanya dunia mat motor, pelacuran, bohsia, gay dan lain-lain. Kononnya cerita yang dipaparkan adalah untuk memberi pengajaran kepada masyarakat. Tetapi apa yang di ajar? Bukan sifat-sifat baik yang dipelajari oleh penonton tetapi secara tidak langsung, mereka lebih suka dan berminat kepada perkara-perkara negatif yang digambarkan melalui sesebuah filem itu.

Kata ustaz itu lagi, nilai-nilai yang baik itu pun kalau ada hanya di hujung cerita. Selebihnya banyak yang tidak baik. Kalau ada pun hanya 1% sahaja. Selebihnya, 90% itulah yang menjadi ikutan. Apa yang menyeronokkan dan sering tertayang dalam fikiran remaja apabila menyaksikan filem 'Budak Kelantan' adalah bukan pengorbanan Jaha yang sanggup menghadiahkan Che Nor kekasihnya kepada Buchek demi mengharapkan perubahan berlaku kepada kawannya itu, tetapi aksi-aksi lucah Buchek ketika hendak merogol seorang gadis.

Filem 'Budak Kelantan' saya simpulkan sebagai satu lagi FILEM SAMPAH yang hanya menambahkan racun berbahaya dan boleh membunuh kemurnian pemikiran masyarakat Malaysia. Bagi yang belum menonton dan berhasrat untuk menontonnya, batalkan saja niat anda. Tidak ada sesuatu pun yang boleh diambil daripada filem 'Budak Kelantan'. Yang ada hanya sampah sarap yang tengik, hapak, masam, hanyir dan meloyakan. Menghabiskan boreh (beras) adalah.

Koyak 2009

KOYAK dan buang segera kelendar 2009 yang dipenuhi pelbagai kisah dan tragedi yang mendebarkan. Jantung saya agak penat mengepam darah dengan cepat kerana sering dikejutkan dengan pelbagai cerita dan tragedi yang tidak diduga membadai pantai politik negara. Ingin segera rasanya menikmati buah tangan 2010 pula. Semoga buah tangan yang dibawa menyejukkan semula jantung-jantung kita yang keletihan dalam tahun 2009. Selamat Tahun Baru!

Tuesday, December 29, 2009

Gosok-gosok benda dalam seluar, apa ni?

Erma Fatima

'Tersasar di Jalanmu', karya Erma Fatima yang menyuluh kehidupan gelap anak-anak pekerja seks, penagih dadah dan golongan pondan di Chow Kit telah diangkat sebagai Karya Terbaik dalam Anugerah Skrin (ASK 2009) baru-baru ini. Bagi saya, idea dan karya itu bagus. Tetapi cara persembahannya haram!

Dalam satu babak, seorang anak gadis hendak dirogol oleh sekumpulan lelaki yang telah memperdayainya. Dalam pergelutan itu, kamera beberapa kali menghalakan kantanya ke arah tangan lelaki si perogol yang menggosok-gosok benda di dalam seluarnya (anunya) kerana tidak sabar lagi hendak meratah gadis di hadapannya itu. Apa ni? Perlukah digambarkan sedemikian rupa? Tidak cukupkah lagi dengan pergaulan bebas dan pendedahan aurat yang kononnya berpaksikan realiti?

Inilah masalah terbesar yang dialami dunia perfileman kita. Pengarah dan karyawan menjadikan filem-filem barat sebagai acuan mereka. Dengan alasan untuk menghidupkan sesebuah filem, mereka rempuh batas halal-haram. Mereka lupa 'matlamat tidak pernah menghalalkan cara'.

Kartika ke Kota Bharu

Kartika Saridewi Shukarnor yang pernah meributkan negara dengan polemik hukuman sebatnya mengunjungi Menteri Besar Kelantan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10, Kota Bharu pada 27 Disember yang lalu. Dia ditemani keluarga dan rombongan dari Pusat Pendidikan Al-Barokah Manjoi, Ipoh. Sumber dan gambar dari blog Cina Islam (http://idhamlim.blogspot.com/).

Monday, December 28, 2009

Allahu akhbar!

Inilah gambar Guru Besar saya (bos saya), En. Ishak Ramlee. Lidahnya sering basah dengan kalimah 'Allahu akhbar'. Ucapan 'Allahu akhbar' atau Allah Maha Besar sangat sinonim dengan Guru Besar yang berusia 50 tahun ini. 'Allahu akhbar' seolah-olah telah menjadi trade mark baginya. Membahasakan dirinya 'cikgu' kepada sesiapa sahaja, menggambarkan beliau seorang yang penyayang dan disenangi ramai. Cikgu Ishak akan mengakhiri setiap kata-katanya dengan Allahu akhbar!

Saturday, December 26, 2009

Kedai Dewan Beta Berwajah Baru


TIDAK ketinggalan mengikut rentak arus pemodenan negara, pasar Dewan Beta yang dikenali sebagai Kedai Dewan oleh masyarakat tempatan kini berwajah baru. Bangunan baru berdiri teguh, menggantikan pasar lama yang sudah berusia lebih 30 tahun. Bangunan pasar baru yang dilengkapi pelbagai kemudahan ini dijangka dapat memberikan keselesaan kepada peniaga dan orang ramai.

Kedai Dewan yang terletak di daerah Beta dalam jajahan Kota Bharu ini menjadi tumpuan penduduk kampung sekitar seperti Lundang Paku, Atas Pengget, Keladang, Kedai Piah, Kg. Paya, Serian, Beta Hilir, Beta Hulu, Chekeli, Kor, Jias, Bunut Satut, Stan, Masar, Langgut, Padang Layang dan Larak untuk mendapatkan barang-barang keperluan dari pasar atau kedai-kedai runcit sekitarnya. Peranan itu tidak pernah berubah dari dahulu hingga kini walaupun wujudnya persaingan sengit daripada pasaraya-pasaraya di beberapa kawasan berhampiran.

Dikenali dengan 'hari kedai', pasar Dewan Beta yang beroperasi pada setiap hari Ahad, Selasa dan Khamis menarik tumpuan ramai. Daripada pelbagai jenis makanan hinggalah kepada pelbagai jenis barangan ada dijual oleh peniaga-peniaga yang datang dari merata tempat.

Antara makanan yang saya suka dijual di kedai Dewan ialah seperti tepung pelita, apam, kuih kosu, akok, cik mek molek, koleh ubi, lepat ubi, lepat pisang, pulut bakar, putu halba (putu piring), puteri mandi, ondeh-ondeh, kuih lapis, seri muka selain turut menggemari mee goreng, bihun goreng, kacang rebus, nasi kerabu dan etak salai. Dan setiap kali ayah pulang dari kedai Dewan sebaik selesai kerjanya, kami adik beradik akan berlari mendapatkan beg plastik yang ayah bawa pulang untuk melihat apakah makanan yang boleh dinikmati. Seingat saya, kuih yang gemar ayah belikan ialah bengkang dan lompat tikam.

Waktu saya masih kecil, ayah memiliki sebuah kedai jahit di kawasan kedai Dewan. Dengan kedai yang disewa daripada gemulah (arwah) Mat Wahab itulah ayah menyara kehidupan kami sekeluarga. Ketika itu hanya wujud kedai jahit ayah saya sahaja di kedai Dewan. Dengan panggilan 'Pak Ya Tukang Jahit' ayah saya dikenali rata-rata penduduk sekitar.

Kadang-kadang, selepas habis waktu persekolahan, saya yang menuntut di Sek. Keb. Dewan Beta yang terletak tidak jauh dari situ, singgah di kedai ayah untuk pulang bersama-samanya menjelang petang. Ayah mengayuh basikal, saya membonceng di belakangnya. Kenangan itu masih bertaburan di sepanjang jalan antara Dewan Beta dan Kg. Chekeli.

Ketika di Tingkatan satu, saya mengikuti persekolahan sesi petang di Sek. Men. Mulong. jika 'hari kedai' pada sebelah pagi, saya sempat ke kedai membeli makanan kegemaran iaitu nasi kerabu tumis dan etak. Alangkah enaknya menikmati nasi kerabu dengan etak. untuk lebih banyak, saya akan mencampurkan nasi kerabu dan budu dari rumah.

Kini semuanya telah dihanyutkan oleh gelombang waktu. Yang tinggal hanya butir-butir kenangan yang masih bertabur di kaki lima kedai Dewan. Panorama kedai Dewan telah diabadikan dengan indah oleh penyair Leo A.W.S dalam sajaknya 'Dari Dewan Beta' yang disiarkan di akhbar Mingguan Watan pada 31 Disember 1995.

DARI DEWAN BETA
(Berpagi-pagi aku di kedai Dewan Beta; hari kedainya 3 kali seminggu)

Pada lantai aspal laman kedai
para peniaga kecil mula membentangkan
barangannya di khemah kain tikar
kertas plastik, di gerai-gerai batu
berbangsal kayu berlumut kelabu - pun
pelbagai jenis makanan; nasi lauk kuih -
muih serta sayur-mayur

Tiba musimnya para pemajak kecil duku
Dewan yang manis masyhur seluruh
negeri itu mengaut rezekinya dari
beratus kilo-raga buahnya, di gerai-gerainya
sepanjang jalan...

Dan tiba musimnya para peraih kecil
durian Tuk Lituk melonggokkan harga-
bangga pada berbiji-biji buahnya;
Tuk Lituk semakin terkenal di seluruh
negara - dicari-beli dek penggemar
durian eksklusif!

Manakala di kedai-kedai kopi, para
penyokong politik Barisan mahupun
Angkatan; sambil minum mereka berbahas
seloka - hingga sesekali, pak-pak
menteri (bahkan Perdana Menteri pernah)
mengunjungi Dewan Beta

Tetapi - wahai, jika adalah pemimpin
watan ini: Bawalah bersama makna
wawasan negara!

Leo A.W.S
Dewan Beta.

Thursday, December 24, 2009

Melewati Jambatan Tok Guru





Dalam kesempitan waktu, saya sekeluarga sempat berkunjung ke rumah kawan isteri di Pantai Senok, Bachok, Kelantan pada 13 Disember 2009. Untuk sampai ke sana, kami melewati Jambatan Tok Guru dan Kg Pulau Melaka yang permai dengan lambaian pohon-pohon kelapa yang tumbuh di tepi sungai.

Wednesday, December 23, 2009

Suka Ambil Gambar







Makcik (emak saudara) sering tergelak apabila melihat saya gemar merakam gambar. Inilah hasilnya. Dalam zaman yang bergerak laju, kita tidak hanya perlu membuka album gambar apabila sesekali sempat berkunjung ke rumah saudara mara. Hanya menggunakan hujung jari ibu, telunjuk, hantu, manis dan kelingking sahaja, gambar-gambar kenangan saudara mara dapat ditatap walau dalam kesibukan atau dalam jarak yang jauh.

Terima kasih ayah dan mek (emak) yang mengajar saya menghargai, menyanyangi dan menghormati saudara mara yang wujud sekitar hidup kami. Sudah lama saya berjanji pada diri ini untuk meneruskan silaturrahim yang telah sedia terjalin walaupun mek dan ayah telah tiada di dunia ini.

Gambar-gambar ini diambil petang semalam, ketika saya mengunjungi sepupu, Hapiza Ismail dan pasangannya Mazli yang mengadakan kenduri menduduki rumah baru di Desa Coalfield, Sungai Buloh, Selangor.

Abang Sayang Adik, Adik Sayang Abang

Ahmad Wazif dan Ahmad Aakif menikmati dunia kanak-kanak mereka di Dataran Masjid Putrajaya. Saya impikan Wazif dan Aakif menjadi isi dengan kuku. Aur dengan tebing. Ombak dan pantai. Abang sayangkan adik, adik cintakan abang. Abang kasihkan adik, adik hormatkan abang.