Pages

Saturday, July 17, 2010

Saya Akan Mati Tidak Lama Lagi!

Mengejut. Tidak lewat dan tidak cepat biar sesaat. Tidak bertambah mahu pun berkurang walau satu tarikan dan hembusan nafas pabila sampai ke noktahnya. Saat dinamakan 'hembusan nafas terakhir' makin hari, makin hampir. Nafas terakhir yang melayang melalui ubun-ubun itu disentap kuat oleh makhluk berwajah ngeri dan menakutkan. Nabi Ibrahim pernah pengsan tatkala meminta Izrail menzahirkan wajah sebenarnya ketika menjalankan tugas mengambil semula nyawa yang dipinjamkan oleh Allah kepada manusia. Sakit? Bagaikan seekor kambing disiat kulitnya hidup-hidup. Bagaikan 300 kali tetakan ke leher dengan sebilah pedang pancung yang tajam. Syaitan dan iblis pula menjelma dan berbisik ke telinga biar sesat, syirik dan kufur. Lalu langit terbuka luas menampakkan syurga atau neraka yang dicari selama hidup.

Pada usia ke-36 tahun, saya makin terhidu bau tanah kubur yang dibenci kebanyakan manusia itu. Makin lama makin kuat bertiup menyerbu ke rongga hidung. Makin lama makin meresap ke hati, tulang dan jantung. Bagaimana menghadapi nazak yang sesak dan cemas? Bagaimana hendak bermukim di dalam lubang tanah yang sempit dan gelap pekat? Bagaimana hendak menghadapi soal kubur yang soalannya telah lama bocor? Agar roh diceraikan dari badan dengan lemah lembut dan penuh sopan, saya perlu bersedia. Bersedia! Sabda Rasulullah SAW, "orang yang bijak ialah orang yang sering mengingati mati dan sentiasa bersedia untuk mati."

Mendengar kuliah-kuliah agama membuatkan saya sering terdengar bisikan kematian. Mendengar kuliah-kuliah agama membuatkan saya sering tergambar batu nisan yang terpacak di atas kubur melambai-lambai. Mendengar kuliah-kuliah agama membuatkan pandangan mata saya sering tembus ke akhirat yang maha benar. Beberapa jam tadi terasa amat saat kematian semakin mendekat. Mendengar kuliah maghrib Ustaz Siddiq Noor di Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya benar-benar mengingatkan saya kepada mati yang semakin hampir itu. Kata-kata ikhlasnya satu persatu menyelinap dan larut di hati ini. Allahuakbar! Saya akan mati! Ya, saya akan mati juga nanti! Percayalah!

No comments:

Post a Comment