Pages

Wednesday, July 28, 2010

Mimpi dan Kematian

Seorang kawan saya, sering dikunjungi mimpi dalam pelbagai bentuk tentang sakratul maut yang gemar menghampiri ibunya yang sedang menderita dibakar percikan api dendam manusia berhati syaitan. Tanpa menunggu lama, ibu kesayangannya benar-benar pergi dipanggil Ilahi. Baru-baru ini dia bermimpi sedang menangis sambil berpelukan dengan ibu saudaranya di dalam sebuah masjid. Dalam mimpinya itu, mereka seolah-olah sedang menangisi kematian seseorang. Seminggu kemudian, pada hari lahir anak sulungnya, Alif, dia dirempuh berita kematian bapa saudaranya yang menetap di Tanah Merah, Kelantan.

Beberapa minggu kemudian, dia sering bermimpi mendapat gambaran seolah-olah ada seseorang yang sedang menanti masa untuk dicabut nyawanya. Pernah dia suarakan kepada saya tentang debaran kebimbangannya, ketika bertandang ke rumahnya di Rawang, pada sambutan hari lahir anaknya itu. Dia bimbang kalau-kalau nafas ayahnya pula ditarik Tuhan , memandangkan kesihatan orang tuanya itu tidaklah begitu baik sejak akhir-akhir ini.

Pada minggu lepas saya mendapat khabar, ayahnya yang menghidap kencing manis yang terukdi bawa dari Kelantan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan. Musim kesibukan saya memuncak pada minggu lepas. Saya bergelut dengan tugasan belajar dan projek menulis buku kanak-kanak yang perlu diselesaikan segera. Ditambah pula tugasan sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling yang turun lebat tidak pernah reda. Saya terpaksa menangguhkan hasrat untuk melawat ayahnya yang terlantar di Hospital Selayang itu, walaupun hasrat untuk mengenalinya telah lama tersimpan di hati. Sementara itu, kawan yang saya anggap sebagai ahli keluarga itu terus didatangi mimpi-mimpi yang membayangkan seolah-olah satu kematian akan berlaku tidak lama lagi.

Jika sebelum ini, saya tidak berkesempatan mengenali wajah ibunya, kali ini saya juga tidak berpeluang mengenali wajah ayahnya kerana pada hari Khamis, 22 Julai 2010 lelaki itu telah menghembuskan nafas terakhirnya. Jasad arwah dibawa ke pulang Tanah Merah, Kelantan dengan sebuah van jenazah yang disewa dengan bayaran RM 700.00 dan disemadikan pada hari itu juga di tanah perkuburan bersebelahan rumahnya kira-kira pukul 11.30 malam. Al-Fatihah untuk arwah En.Mokhtar. Semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

No comments:

Post a Comment