Pages

Wednesday, June 23, 2010

Dua Belas Hari Menyusuri Akarku

Cantik burung peliharaan abang ipar saya yang terkurung dalam sangkar, tergantung di bumbung beranda rumah mentua saya. Makan minum dan beraknya pun di situ. Abang ipar saya memang suka memikat burung. Seringkali apabila pulang ke rumah di Sg. Tias, dia akan ke hutan memikat burung. Burung-burung yang berjaya dipikat dijual di kedai menjual burung. Burung ini hanya dijadikan denak untuk memikat burung-burung lain. Burung ini saya lihat tidak pernah berputus asa mencari jalan untuk keluar dari sangkar kecil yang didiaminya. Melompat ke atas dan ke bawah mencari lubang di antara bilah-bilah sangkar kalau-kalau ada yang longgar. Tentu rindu pada pasangan dan tempat tinggal asalnya di dahan-dahan pokok tidak tertanggung lagi. Hanya Allah yang benar-benar mengerti penderitaan zahir dan batinnya.

Dokong sudah berputik. Jika umur panjang dapatlah saya nikmati apabila pulang ke kampung tidak lama lagi.

Rambutan juga nampaknya menjadi. Dari Gua Musang ke Kota Bharu, pohon-pohon rambutan galak berbuah. Tersenyum lebar isteri saya yang 'hantu rambutan'.

Abdul Rahim bin Azman, anak saudara saya yang baru lahir selepas 3 tahun perkahwinan ayahanda dan bondanya. Kelahiran Abdul Rahim bagaikan muncul Sang Mentari menerangi hidup adik saya, Azman dan isterinya Mariana. Seorang lagi anak saudara saya yang baru dilahirkan, belum sempat dirakamkan gambarnya, Mohd. Muhaimin bin Mohd. Nazir. Ketika mengunjungi Muhaimin di rumah tok wannya, di Kuala Gris, Dabong, saya tertinggal kamera di rumah mentua.

Abd. Rahim di pangkuan tok ayah, sambil diperhatikan tok meknya. Moga ayah dan mek saya bertambah bahagia dengan kehadiran 2 lagi cucunya. Kini mek dan ayah boleh tersenyum puas kerana sudah memiliki 5 orang cucu. Dalam masa beberapa bulan lagi, seorang lagi akan menyusul. Dulu, sewaktu saya dan adik-adik masih belum mendirikan rumahtangga, mek dan ayah selalu mengeluh. Kata mereka, entah sempat entah tidak melihat cucu. Nah, sekarang kami dengan pertolongan Allah telah menghadiahkan mereka cucu-cucu! Nanti, kami semua bukan sahaja bersama-sama di dunia, malah akan berkumpul di satu tempat bernama syurga. Insya-Allah.


Pernikahan sepupu saya Wan Hazawani dan pasangannya Raizimi Ibrahim pada 9 Jun 2010. Terkenang saat saya diijabqabul dulu. Saya juga memakai baju melayu berwarna putih.

Di Pusat Tarbiah Islamiah, Kelantan (PUTIK) inilah saya berkampung dan melalui perjalanan menakjubkan selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Jun 2010. Saya memerhati, mendengar, menilai dan merasai kehebatan perjuangan mulus yang dibina atas dasar ketaqwaan kepada Allah. Sesungguhnya kepada Allah saya datang dan kepada Allah saya kembali.

1 comment:

  1. pagi beegini ada ruangutk layari blog cikgu Izani. apapun tahniah dan syabas dalam kejayaan menjadi pemimpin dalam apa sj bentuk haluannya dan dengan izinNya.

    sebut Kuala Gris, kak nani ingat Dabong, sebab Dabong adalah sebahagian daripada kehidupan kak nani semasa dulu. Arwah mek kak nani banyak habiskan sisa hidup di Dabong dan akhir hayatnya juga di Dabong. Ramai yang mengenali arwah mek termasuk orang2 Kuala Gris dan lain-lain sepanjang kg di Perhentian KTM Ulu Kelantan bermula Slow Temiang hingga ke Jerek. Mengapa? sebabnya arwah adalah seorang peniaga dan dikenali Kak Nik Dabong. Apapun Al-Fatihah kepada arwah yang banyak mengajar erti kehidupan yang kebal, cekal,berani, jujur, ikhlas dan suka berterus terang dalam apa jua hal sama ada baik atau buruk di pandangan matanya. Doakan semoga roh arwah sentiasa dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang-orang beriman dan soleh. Amin!!! Itulah kesudahan Dabong di hati ini. setelah arwah mek ke alam barzah, kak nani terlalu jarang ke Dabong. Pun pernah juga mengulit rindu di tanah Dabong sepanjang setahun lebih khidmat dalam KPDNHEP. Sapanjang tempoh itu setiap tempat yang di pantau tugasan, seolah-olah seperti jemputan orang2 di sana dgn kedatangan arwah mek ke kg2 mereka. Wah!! kak nani, anak arwah mek dipelukcium oleh ibu2 di sana sini dan dihamburkan dgn cerita2 kenangan mereka, masing2 akhiri cerita dgn titisan airmata rindu...tp tidak berkesempatan utk bertandang ke semua rumah2 mereka. sekadar bertemu berkebetulan di kedai2 yang dipantau... itulah...sebahagian sejarah dalam hidupku. ketemu lg cikgu Izani

    ReplyDelete