Pages

Thursday, May 6, 2010

Wazif Dah 3 Tahun

Kek Hari Jadi Wazif yang ke-3.


Meraikan minat Wazif terhadap Ultraman, saya dan isteri menghadiahinya, sebuah kek Ultraman.

Wazif diraikan dalam satu majlis ringkas pada petang Ahad, 2 Mei 2010 di rumah kami di Kg. Pasir Baru, Pantai Dalam.

Nasim (kiri), Wazif (tengah) dan Faris (kiri) sedang memotong kek Hari Jadinya.

Pada usia ketiga tahun, Wazif, anak sulung saya sempat diraikan dalam satu majlis ringkas pada 2 Mei 2010 yang disinari cahaya petang yang hampir hujan. Kebetulan, peserta Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) yang akan mewakili Zon Bangsar ke MTQ Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Faris Hadi Taufik dijemput ke rumah untuk belajar bertaranum dengan isteri saya. Kesempatan itu turut digunakan untuk meraikan Wazif yang semakin petah berbicara itu.

Begitu pantas waktu berlalu. Usia Wazif sudah mencecah 3 tahun, Ahmad Aakif 1 tahun 8 bulan dan usia rumahtangga saya pula menghampiri 4 tahun. Pada 28 Mei 2010 nanti genaplah usia perkahwinan saya yang ke-4. Kepada Allah saya sentiasa berdoa agar dikurniakan anak-anak yang bukan sahaja pintar, malah soleh dan solehah. Dan kebahagiaan kami berkekal an hingga ke taman syurga. Kepada Ahmad Wazif, membesarlah sebagaimana yang abah harapkan.

Cita-cita untuk mendapat anak-anak yang soleh dan solehah telah lama terpendam di hati saya. Lalu saya abadikan melalui sebuah sajak bertajuk, 'Putera Bermata Satu' yang telah disiarkan oleh akhbar Siasah keluaran 14-20 September 2008.

PUTERA BERMATA SATU
(Untuk putera sulungku, Ahmad Wazif bin Izani)

Mata di akalnya
dan mata di hatinya
adalah satu.
Mata yang satu itu
menembusi syurga.
Mata yang satu itu
buta neraka.

Mata yang satu itu
melihat Allah
pada bumi dan isi
mata yang satu itu
sering dilimpahi air
gentarnya akan Allah.
Mata yang satu itu
sering dilimpahi air
rindunya akan Allah.

Mata yang satu itu
memandang dunia sebagai bayang
akhirat pula yang sebenar
putera yang bermata satu itu
sering ternanti-nanti
bilakah datangnya mati.

IZANI ZAKARIA
Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment