Pages

Saturday, May 15, 2010

Masjid Ar-Rahman, Aku Kembali Kepadamu!

Jadual kuliah Maghrib di Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya untuk bulan Mei 2010.

Sejak berpindah ke Kg. Pasir, saya cuba mencuri masa untuk kembali mendengar kuliah di masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya. Masih saya ingat, kira-kira 16 tahun lalu, ketika masih menuntut di Institut Bahasa, Kuala Lumpur (IBKL), yang kini bergelar Institut Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia (IPBMM), setiap malam saya berjalan kaki turun dari puncak bukit yang menempatkan asrama guru pelatih menuju ke Masjid Ar-Rahman. Apa yang terlihat oleh mata saya ketika itu, hanya saya seorang sahaja guru pelatih yang sanggup mencari Masjid Ar-Rahman untuk mendengar kuliah.

Mengunjungi Masjid Ar-Rahman memberikan ketenangan di jiwa saya kerana dengan mengunjunginya saya dapat melepaskan rindu terhadap kuliah-kuliah agama yang saya hadiri di kampung sejak berusia 14 tahun lagi. Ketika masih di kampung, saya sering mengunjungi banyak masjid untuk mendengar kuliah agama. Ketika masih di bangku sekolah, saya sering berkunjung ke Masjid Mukim Chekeli, Masjid Kg. Kor, Masjid Dewan Beta, Masjid Lundang Paku, Masjid Kadok, Masjid Bt.8 Perol, madrasah arwah Pak Kob dan lain-lain masjid yang mengadakan kuliah atau ceramah agama. Setiap hari Jumaat pula, saya akan ke Masjid Pondok Padang Lepai, Kadok untuk mendengar kuliah mingguan daripada ustaz jemputan dari seluruh negeri Kelantan.

Jika tidak ke Padang Lepai pada hari Jumaat, saya akan ke Dewan Zulkifli Muhammad di Bangunan PAS Kelantan yang terletak di Kota Bharu untuk mengikuti kuliah agama di situ. Selain mengikuti kuliah agama di masjid, saya juga sangat gemar mendengar ceramah-ceramah politik yang di adakan di segenap pelusuk di negeri Kelantan. Mendengar ceramah politik juga saya mulakan sejak berusia 14 tahun. Hanya dengan kayuhan basikal dan sesekali menumpang kenderaan orang lain, banyak tempat yang saya kunjungi untuk mendengar ceramah politik.

Saya amat mencintai masjid Ar-Rahman sejak mengenalinya. Masjid Ar-Rahmanlah tempat saya meneruskan tradisi mencari ilmu ketika berada di Kuala Lumpur. Ketika masih di IBKL, saya sering mendengar kuliah daripada Dr. Abd. Haei Syukur, Dato' Dr. Salleh Ahmad, Ust. Abd. Ghani Shamsuddin, Ustaz Ghani Abdul Rahman, Dr. Fauzi Deraman, Dr. Azhar Yaakob, Ustaz Sobri Arshad, Ustaz Siddiq Nor, Allahyarham Ustaz Dato' Fadhil Mohd. Noor, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Asmui Shamsudin dan lain-lain. Lazimnya selepas mendengar kuliah, saya akan singgah untuk makan atau minum di Restoran Amjal bersama-sama abang Halim, seorang tukang sapu di IBKL yang turut rajin mendengar kuliah di situ. Abang Halim kemudiannya menjadi kawan baik saya. Kami sering ke mana-mana mendengar kuliah dan ceramah politik.

Mendengar kuliah agama saya teruskan sehinggalah saya ditugaskan menjadi guru di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur. Bagaimana pun kerana tugas dan tanggungjawab yang kian bertambah, terutama selepas bekerja sambilan dan berumahtangga, kesempatan agak jarang saya perolehi untuk mengunjungi Masjid Ar-Rahman. Kini selepas beberapa tahun, saya cuba kembali ke pangkuan masjid Ar-Rahman. Ternyata, Masjid Ar-Rahman masih segar dengan kuliah maghrib setiap malam. Itu pun kesempatan masih terhad memandangkan agak sukar untuk meninggalkan isteri keseorangan menguruskan anak-anak sepanjang saya ke masjid. Namun, dalam kesempatan yang sempit ini, saya cuba mengintai peluang untuk menyambut lambaian Masjid Ar-Rahman.

Kepada anda yang tinggal di sekitar, jangan lupa malam ini (15 Mei 2010), kuliah bulanan oleh Ustaz Siddiq Nor di Masjid Ar-Rahman.

No comments:

Post a Comment