SETIAP kali pulang ke kampung isteri di Kuala Krai, saya dan isteri tentu tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati kelazatan sate di salah sebuah restoran di bandar Kuala Krai. Biar pun nama dan restorannya tidak sebenar ‘Sate Samuri’ atau sate-sate kajang yang lain, namun rasa sate di sini telah berjaya menambat hati saya sekeluarga. Daging segar lembu kampung yang lembut dan manis ditambah daging ayam yang lemak, lembut dan segar, membuatkan kami sentiasa terkenang akan keenakannya. Setiap kali pulang, kami akan melepaskan rindu dendam sepuas-puasnya.
Kalau dulu saya sering terkenang kelazatan sate Kajang. Namun setelah berkenalan dengan sate Kuala Krai, segala ingatan terhadap sate kajang semakin hilang. Percayakah anda, kalau saya katakan, kelazatan sate Kuala Krai jauh mengatasi kelazatan sate Kajang. Kelazatannya turut diakui oleh ramai teman saya yang telah mencubanya. Yang minat tahap kritikal isteri sayalah. Saya terpaksa meredah kesesakan jalan raya dari Sg. Sam ke bandar Kuala Krai yang biasanya memakan masa lebih kurang 30 minit sahaja. Namun hari ini saya terpaksa mengambil masa lebih satu jam.
Cuti sempena Aidiladha memanggil perantau untuk pulang ke kampung halaman. Jalan raya di Kuala Krai seperti biasa menjadi sesak. Bagaimana pun kesesakan menjadi lebih ringan dengan kehadiran anggota polis mengawal lalu lintas di persimpangan lampu isyarat untuk menuju ke Kota Bharu. Terima kasih untuk anggota polis yang bertugas. Selepas mengambil adik dan kakak ipar di stesen bas Kuala Krai kami tidak melengahkan masa untuk menikmati kelazatan sate Kuala Krai. Fuh… Sekarang perut saya sudah kenyang. Bagi yang belum mencuba, jemputlah ke Kuala Krai. Best…
No comments:
Post a Comment