Pages

Monday, November 23, 2009

Mudah-mudahan Ini Bukan Pertemuan Terakhir

MENDENGAR berita sahabat baik saya, Cikgu Yusrizal (SK. Kg. Tungku) berjaya dalam permohonannya untuk pulang bertugas di kampung halaman, Perlis, ingatan tiba-tiba kembali terkenang saat bagaimana kami mula mengenali antara satu sama lain kira-kira 10 tahun lalu. Dan sepanjang tempoh itu saya amat rapat dengan Yus.

Ketika itu kami masih bujang. Banyak kenangan manis terlukis sepanjang persahabatan kami. Sepanjang mengenali Yus, tidak pernah sekali pun saya berasa terguris atau berkecil hati terhadap tingkahlaku atau tutur katanya. Yus memang dikenali sebagai seorang yang baik budi dan perilakunya di kalangan rakan-rakan. Yus adalah pendengar dan pengkritik setia sewaktu saya bertugas sebagai dj di radio RTM (KLFM dan Klasik FM) dahulu. Jika saya memerlukan rancangan kendalian saya itu dirakamkan, Yus menjadi tukang rakamnya. Jika saya memerlukan teman untuk menikmati deklamasi puisi di rumah pena, Yus menjadi penemannya.

Sebaik mengetahui berita itu, saya terus mengirimkan SMS kepadanya. Antara yang saya tulis dalam SMS itu berbunyi, "kita mungkin akan hanya bertemu beberapa kali sahaja sebelum kita mati. Atau mungkin tidak akan bertemu langsung". Kata-kata ini saya petik daripada sebuah cerpen saya yang tersiar di Mingguan Malaysia beberapa tahun lalu. Cerpen berjudul, "Meniup Angin Rindu" itu berkisar tentang keunggulan sebuah persahabatan yang dibina kerana Allah. Kata saya lagi, umur kita sebenarnya tidak panjang. Paling tinggi 10 atau 20 tahun lagi. Itu pun mungkin sampai atau mungkin tidak. Dalam tempoh sesingkat itu, kita mungkin akan hanya bertemu untuk beberapa kali atau tidak dapat bertemu langsung sebelum kita mati apabila masing-masing sudah pulang ke negeri asal. Jarak yang jauh dari satu negeri ke satu negeri yang lain tentu saja menjadi halangan paling besar untuk kita bertemu lebih mudah sebagaimana dahulu. Jadi, bukankah betul apa yang saya katakan itu? Bukankah selalu kita mendengar berita pemergian rakan-rakan yang jauh. Setelah berpisah, kita mungkin tidak dapat menemuinya lagi sehinggalah kita mendengar tentang berita kematiannya. Atau dia mendengar berita kematian kita.

Alhamdulillah, pada Ahad, 22 November yang lalu, Yus dan isteri serta anak dapat memenuhi undangan saya yang menjemputnya ke rumah untuk merasai keenakan char kuew teow air tangan isteri saya. Pertemuan itu tetap menjadi sejarah. Adakah itu pertemuan terakhir atau sebaliknya? Hanya Allah sahaja yang tahu. Kepada Yus dan isteri, selamat kembali ke kampung halaman dan bertugas di tempat yang baharu. Simpanlah segala pengalaman di KL dalam album kenangan sehingga ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment