Pages

Tuesday, September 20, 2011

Meninjau Pembangunan Lembah Sireh

Projek Pembangunan Lembah Sireh (Kota Bharu Waterfront & City) merupakan pembangunan hartanah terbesar negeri Kelantan yang dianggarkan menelan belanja RM 2 Billion. Kota Bharu Waterfront & City melibatkan pembangunan di kawasan tebus guna lembah Sungai Kelantan yang dikenali sebagai Lembah Sireh. Projek ini meliputi pembangunan pasar raya besar (Tesco Mall), terminal bas (Terminal Bas Kota Bharu), kedai pejabat, hotel bertaraf tinggi (high-end hotels), padang golf, masjid terapung, tapak kampus institusi pengajian tinggi swasta, taman awam, dan sebagainya.

Projek yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 202 hektar di tebing arteri Sungai Kelantan dan Jambatan Sultan Yahya Petra itu dijalankan mengikut beberapa fasa. Fasa 1 yang telah pun siap sepenuhnya merangkumi pasaraya Tesco serta puluhan lot-lot kedai. Dan kini pembinaannya telah memasuki fasa kedua yang membabitkan pembinaan 2,000 lot-lot kedai, pasaraya antarabangsa, hotel terkemuka dan esplanade sepanjang 4 km. Projek ini turut mengubah landskap kawasan sekitar Bandar Kota Bharu.

Tesco Mall

Kampus Kolej Master Skill, sebuah kolej swasta yang
semakin berkembang di negeri ini.

Deretan kedai yang sudah beroperasi.


Terminal Bas Kota Bharu (Terminal Sementara sebelum
terminal yang baru siap dibina).


Pembinaan sedang rancak berjalan.


Pembinaan jambaran Sultan Yahya Ke-2 sedang berjalan.

Jambatan Sultan Yahya Ke-2 dilihat dari tebing Sungai
Kelantan berlatarkan pemandangan pusat bandar
Kota Bharu.


Pemandangan Sungai Kelantan dari tebingnya yang
sedang dibangunkan.

Thursday, June 16, 2011

Kartunis Utusan Malaysia Hina Islam?

Kartunis Utusan, Rogol dan Zina

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

Saya tidak pasti, apakah kartunis Utusan itu hendak menghina Islam atau hendak menghina pihak tertentu. Jika dia bertujuan menghina Islam, dilakukan pula dalam keadaan yang sedar akal fikirannya, maka dia terkeluar daripada Islam.

Namun, jika dia bertujuan mengkritik salah faham sesetengah pihak mengenai perbezaan hukum zina dan rogol, maka itu tidak merosakkan imannya, bahkan satu sumbangan membetulkan fahaman yang salah.

Adapun jika dia bertujuan membohongi fakta yang dimaksudkan oleh seseorang, sehingga menimbulkan salah sangka, maka dia berdosa besar.

Persoalan yang timbul; apakah jika seseorang wanita membuat aduan kepada mahkamah syariah bahawa dia dirogol maka mahkamah syariat akan menyatakan: awak mesti mendatangkan empat orang saksi, jika tidak awak disebat 80 rotan?

Adakah di dunia ini empat orang saksi yang soleh sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka?

Rogol

Mungkin ada yang tidak faham sehingga menyamakan jenayah rogol dan zina. Zina adalah maksiat peribadi yang Islam berusaha menutupnya. Sebab itu diketatkan dengan empat orang saksi.

Adapun rogol adalah pencabulan terhadap individu lain tanpa rela dan kejam, maka pembuktiannya tidak seketat zina. Beza menuduh orang lain berzina dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah.

Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur menjatuhkan maruah orang lain. Sementara mendakwa diri menjadi mangsa rogol adalah mempertaruhkan maruah diri sendiri.

Secara lojiknya, sukar dilakukan melainkan dalam keadaan yang amat memaksa. Bagaimanakah mungkin seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan?

Maka, dalam kes kedua qarinah (bukti kaitan) boleh dipakai seperti yang disebut dalam Surah Yusuf:

“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu.

Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tiada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya”.

Yusuf pula berkata: “Dialah yang menggoda diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:”Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang berdusta.

Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar.

Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, dia berkata: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya” (Surah Yusuf: ayat 25-28).

Lihat, Al-Quran menceritakan bagaimana qarinah digunakan dalam peristiwa ini.

Lian

Sebab itu juga, Islam tidak mewajibkan pula seseorang yang menuduh isterinya berzina agar mendatangkan empat orang saksi.

Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya mencalarkan maruah penuduh. Maka, agak sukar untuk seseorang itu menuduh isterinya secara bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina.

Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah pasti tidak bagi kes isterinya.

Justeru Allah menyebut: (maksudnya)

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar;

Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): “bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta;

Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang- orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).

Bab ini dinamakan dengan 'li'an' atau penglaknatan. Inilah jalan yang Allah berikan kepada pasangan suami isteri yang tuduh-menuduh dalam perkara seperti ini.

Selepas proses ini dilakukan, mereka dipisahkan selamanya, tanpa ada hukuman keseksaan mahkamah yang dijalankan, sebaliknya diserahkan urusan tersebut kepada Allah. Ini kerana, kes ini adalah kes mempalitkan keaiban diri sendiri.

Maka, mereka yang mendakwa diri dirogol atau diliwat secara paksa juga adalah menampalkan keaiban ke atas diri sendiri. Amat sukar bagi insan normal itu membuat dakwaan seperti itu secara semberono.

Melainkan jika ada kepentingan tersembunyi yang lain. Maka mereka juga tidak perlu mendatangkan empat saksi. Sebaliknya boleh diterima pakai kaitan (qarinah) yang membuktikan kejadian itu berlaku. Justeru, paksi dalam hal ini semua, ada demi memelihara keturunan dan maruah.

(Tulisan ini dipetik daripada Malaysiakini)

Friday, June 3, 2011

Wazif 4 Tahun, Aku Hampir Mati

2 Mei 2007, umpama purnama jatuh ke riba, lahirlah anak pertama saya di Wad Bersalin, Hospital Kuala Lumpur. Anak lelaki yang dinamakan Ahmad Wazif (bermaksud ‘yang gigih’) itu lahir ketika usia saya 33 tahun, setahun selepas mendirikan rumah tangga. Kelahiran Wazif bukan sahaja disambut gembira oleh saya dan isteri, malah turut dikongsi oleh ayah dan mek (ibu) saya kerana Wazif adalah cucu sulung yang mereka nantikan sekian lama. Tertunailah tugas saya sebagai anak sulung yang bertanggungjawab menghadiahi mereka cucu pertama. Saya akhirnya bergelar bapa walaupun agak lewat jika dibandingkan dengan kebanyakan rakan yang lain.

Wazif selepas dilahirkan di Hospital Besar Kuala Lumpur.


Wazif yang diserang demam kuning yang teruk dirawat
di Institut Pediatrik, Kuala Lumpur.

Wazif dibesarkan dengan limpahan kasih sayang dan disuapkan dengan rezeki daripada titik peluh saya sendiri. Anak yang aktif itu membesar seperti kanak-kanak lain yang menikmati alam kanak-kanak dalam keseronokan dan keriagan. Segala kehendaknya dipenuhi di samping saya menitik beratkan pendidikan agama sedari awal.

Isnin, 2 Mei 2011 pula, genaplah usia anak kesayangan itu 4 tahun. Oleh kerana saya agak sibuk dengan tugas harian, sambutan hari jadinya yang disambut di Tadika KEMAS, Jeram Tekoh terpaksa diadakan pada hari Ahad, 8 Mei 2011 secara sederhana tetapi meriah. Dengan berbekalkan ‘kek Ben10’dan sedikit cenderamata untuk kawan-kawannya, sudah cukup untuk membuatkan Wazif gembira dan bersemangat pada hari itu.

Kek Hari Jadi Wazif yang ke-4.


Gambar bawah, Wazif sedang memotong kek hari
jadi dibantu oleh mamanya.

Saya pula walau pun sudah berusia 37 tahun dan anak-anak kian membesar di depan mata, terasa seperti baru semalam meninggalkan alam kanak-kanak dan zaman persekolahan yang dibancuh dengan pelbagai warna. Menuntut di Sek. Keb. Dewan Beta, Kota Bharu (Tadika - Darjah 6), Sek.Men. Mulong, Kota Bharu (Tingkatan 1), Sek.Men. Dewan Beta, Kota Bharu (Tingkatan 2 & 3), Sek.Men.Mulong, Kota Bharu (Tingkatan 4 & 5) dan Sek. Men. Kota, Kota Bharu (Tingkatan 6 rendah & 6 atas).

Dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), saya diterima belajar di Institut Bahasa Kuala Lumpur (sebuah Institut Pendidikan Guru), kemudian bertugas di Sek. Jenis Kebangsaan (Tamil) Appar, Jalan Raja Laut, Sek. Keb. Brickfields (1), Kuala Lumpur, Sek. Keb Seri Cheras, Kuala Lumpur, Sek. Keb. Perasu, Gua Musang dan kini di Sek. Keb. Jeram Tekoh,Gua Musang. Semasa di Sek. Keb. Brickfields (1) pula sebelah kaki saya berada dalam dunia penyiaran yang amat menakjubkan dan menyimpan seribu kenangan. Dan dalam tahun 2008 hingga kini, berpeluang melanjutkan pelajaran di Open University Malaysia (OUM).

Pada usia ke-32 tahun pula, Allah menamatkan zaman bujang saya dengan gadis pilihan berusia 25 tahun yang berjaya mencuri hati ini. Wanita yang saya nikahi di dunia fana dan di syurga kelak yang kekal abadi.

Begitu cepat masa berlalu, walaupun dalam tempoh 37 tahun, saya telah melalui dan mengecapi pelbagai peristiwa dalam hidup sebagai manusia biasa sebagaimana orang lain juga. Bagaikan sekelip mata meninggalkan kisah lalu atau hanya sebabak mimpi yang datang tatkala tidur pada satu malam. Walhal, dalam kehidupan ini, saya sudah berada dalam fasa ke-2, jika saya membahagikan usia saya kepada beberapa fasa. Setiap fasa mewakili 20 tahun.

Fasa Ke-1 (umur 0-20 tahun) – Kanak-kanak, remaja dan sebagai pelajar.

Fasa Ke-2 (umur 21-40 tahun) – Melangkah kealam kerjaya dan menuju ke puncak.

Fasa Ke-3 (umur 41-60 tahun) – Kemuncak dalam kerjaya dan bersara.

Fasa Ke-4 (umur 61 tahun ke atas) - Umur subsidi (jika masih dipanjangkan usia)

Sesekali menoleh ke belakang, melihat jalan yang telah saya lalui atau menoleh ke sisi memerhatikan susuk tubuh anak-anak yang semakin membesar, bertambah usianya dari tahun ke tahun atau merenung batang tubuh ayah dan mek (ibu) yang kian uzur, terasa benar diri ini juga semakin hari semakin berusia. Dan ketika berada di hadapan cermin atau sesekali memetik kamera merakam gambar sendiri, terasa amat diri ini semakin hari semakin berusia dan hodoh. Semakin hari semakin hampir pula dengan mati dan kubur yang sedang menanti.

Thursday, May 5, 2011

Dari Perasu ke Jeram Tekoh

Sebagaimana Perasu, hasrat untuk menjejakkan kaki ke Jeram Tekoh, Sg. Asap dan Limau Kasturi telah lama berakar di pinggir hati saya. Ketika sering berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, saya akan menemui simpang masuk ke Sg Asap, Jeram Tekoh, Limau Kasturi dan Bertam yang terletak tidak jauh dari hentian Rawat dan Rehat, Gua Musang (R&R). Simpang tersebut terletak di sebelah kanan perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan terletak di sebelah kiri jika melalui perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Simpang ke Sg. Asap, Jeram Tekoh, Limau Kasturi dan Bertam

Ketika masih belum bergelar suami, saya kerap pulang bersama-sama rakan baik saya Azhar Ismail. Sesekali kami singgah di simpang tersebut untuk bertemu abang iparnya yang hendak mengirimkan sesuatu kepada anaknya di Kuala Lumpur. Terbayang di fikiran saya, Jeram Tekoh adalah sebuah perkampungan yang indah dan permai, dihuni oleh sekumpulan masyarakat yang jauh daripada pembangunan, sama seperti Limau Kasturi dan Bertam. Mereka terdiri daripada penoreh getah dan pekebun kecil yang masih diancam musuh tanaman seperti babi hutan dan binatang buas seperti harimau dan gajah, selain masih kuat mengamalkan budaya dan cara hidup tradisional. Bertahun-tahun hasrat itu terpendam dan saya tidak tahu bilakah akan tertunai.

Terlalu banyak rahsia dan hikmah dalam kerja Allah SWT atas perjalanan hidup saya. Tanpa menduga penempatan awal saya di SK. Kuala Gris dan isteri di SK Seri Chiku 1 sebenarnya hanyalah sekadar untuk dicatat di atas kertas sahaja. Dengan bantuan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan dan Pejabat Pelajaran Daerah Gua Musang (PPD), saya dan isteri ditempatkan di sekolah yang sama iaitu di SK Perasu. Bagaimana pun saya tidak pernah menjangka nafas perkhidmatan kami di situ terlalu singkat. Hanyalah sekadar tiga minggu sahaja. Ketika berasa amat selesa di SK Perasu dan sedang dalam proses untuk menduduki kuaters kakitangan kerajaan, saya dan isteri menerima memo pertukaran ke SK Jeram Tekoh pula.

Dengan kemasukan tiga orang guru Pendidikan Islam di SK Perasu, sedangkan kekosongan hanyalah untuk diisi oleh seorang guru sahaja, telah menyebabkan berlaku lebihan guru bagi opsyen Pendidikan Islam. Dengan lebihan itu, PPD Gua Musang terpaksa mengeluarkan dua orang daripada mereka ke sekolah-sekolah yang memerlukan. Salah seorang guru agama yang terpaksa dikeluarkan ialah isteri saya. Untuk memudahkan urusan kami, PPD Gua Musang turut memindahkan saya bersama-sama isteri juga ke sekolah yang sama iaitu SK. Jeram Tekoh berkuatkuasa pada 16 Januari 2011. Bagaimana pun atas kelewatan penerimaan surat dan arahan pertukaran, saya dan isteri melaporkan diri pada 20 Januari 2011 dan memulakan tugas pada 24 Januari 2011.

Walaupun pada awalnya, saya sangat keberatan untuk berpindah ke SK Jeram Tekoh kerana berasa sangat selesa di SK Perasu, namun saya terpaksa akur kepada arahan tersebut. Kini sudah lebih 3 bulan saya dan isteri menjadi ahli keluarga SK Jeram Tekoh yang terletak di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR, Jeram Tekoh.

Kami menghuni kuaters guru (kuaters lama yang dibina daripada kayu) yang terletak di dalam kawasan sekolah tanpa sebarang pemotongan elaun perumahan. Hanya perlu membayar bil elektrik dan air sahaja. Jarak antara kuaters yang dihuni dengan bangunan sekolah hanya beberapa langkah. Setiap pagi saya tidak perlu bangun terlalu awal dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang merugikan masa dan minyak kereta atau menghadapi risiko kemalangan di jalan raya.

Anak sulung saya pula bersekolah di Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) kelolaan KEMAS yang juga terletak berhampiran kuaters. Setiap pagi, dia akan berjalan kaki ke sekolah dengan memakai uniform lengkap berwarna biru. Anak kedua saya pula dihantar ke rumah pengasuh yang juga isteri kepada kerani di SK Jeram Tekoh. Mereka turut menghuni kuaters di sini.

Kelihatan kuaters yang saya huni. Di hadapannya ada
pokok mangga yang lebat berbuah.


Gambar bangunan sekolah yang tersergam diambil dari kuaters
kediaman saya.


Ahmad Wazif (4 tahun) dan mamanya pada hari pertama
persekolahan.

Atas ketentuan Allah, akhirnya dapat juga saya menjejakkan kaki bukan sahaja di Tanah Rancangan FELDA Perasu, malah juga di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR, Jeram Tekoh (15 km dari Jalan Kuala Krai – Gua Musang) dan kawasan-kawasan sekitarnya seperti RKT KESEDAR Sg. Asap, Kg. Limau Kasturi (15 km dari Jalan Kuala Krai – Gua Musang) dan Kg. Bertam (lebih 30 km dari Jalan Kuala Krai – Gua Musang).

Stesen Kereta Api Limau Kasturi antara sistem perhubungan
penting di kawasan ini.


Stesen Kereta Api Limau Kasturi menjadi laluan alternatif
bukan sahaja bagi penduduk di situ, malah juga bagi
penduduk Jeram Tekoh dan Sg. Asap.


Papan Tanda di Kg. Bertam Baru. Di Bertam Baru juga
terdapat stesen kereta api.

Laluan ke Bertam Baru.


Dari sehari ke sehari saya semakin selesa dan suka tinggal di sini. Ketenangan menyelimuti perasaan dan jiwa saya bagaikan kabus menyelimuti bukit. Dan pada setiap hujung minggu, sama seperti guru-guru yang lain, kami akan pulang ke kampung halaman menjenguk orang tua yang kesepian. Entah berapa lama saya dan isteri akan tidur dalam dakapan Jeram Tekoh saya pun tidak tahu. Mungkin untuk 5 atau 10 tahun lagi?

Monday, February 28, 2011

Istilah 'Wang Pembayar Cukai' - Dr. MAZA

Oleh DR. MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN

Istilah memainkan peranan penting dalam menyedarkan penggunanya dan pendengar. Seringkali kali media melaporkan bantuan atau belanja yang dikeluarkan oleh kerajaan digambarkan seakan itu adalah harta kerajaan atau orang politik yang terbabit. Maka bantuan yang disalurkan seakan dari sifat pemurah kerajaan seperti disebut 'kerajaan bermurah hati membantu'.

Rakyat seakan bagaikan peminta sedekah. Begitu juga apabila ada penyelewengan ataupun pembaziran, maka rakyat yang tidak faham merasakan yang rugi hanyalah kerajaan atau duit orang politik, sedangkan mereka lupa wang tersebut adalah wang mereka.

Maka di sini disebutkan beberapa perkara;

Samada kita sedar atau tidak, setiap rakyat negara ini membayar cukar kepada kerajaan. Ini merangkumi cukai pendapatan, cukai langsung dan tidak langsung.

Harga barangan yang kita beli dalam negara ini sebenarnya kita bayar bersama harga cukai. Di Malaysia kita membeli kereta dengan harga yang tinggi disebabkan faktor cukai.

Begitu juga segala barangan, makanan dan stesyen TV yang dibeli merangkumi harga cukai. Maka, setiap rakyat kena tahu bahawa mereka sebenarnya setiap hari membayar cukai kepada kerajaan. Justeru wang kerajaan adalah wang rakyat.

Maka, wang yang dibelanja oleh mana-mana kerajaan; samada BN atau Pakatan rakyat atau istana-istana dalam negara adalah wang rakyat yang membayar cukai secara langsung atau tidak langsung, sedar ataupun tidak sedar.

Bazir wang rakyat

Istilah 'wang pembayar cukai' atau taxpayers money, atau harta awam sepatutnya sentiasa dipakai dalam media dan ungkapan rakyat. Justeru, apabila kerajaan membelanja untuk sesuatu projek atau menyalurkan harta kepada mana-mana pihak, hendaklah dilapor atau disebut “kerajaan menggunakan wang pembayar cukai atau harta rakyat untuk projek itu dan ini”.

Jika berlaku pembaziran, hendaklah dilapor dan disebutkan “kerajaan telah membazirkan wang pembayar cukai, atau merosakkan harta awam, merugikan wang rakyat”.

Ungkapan ini penting supaya orang-orang politik sedar bahawa bantuan dan peruntukan yang mereka salurkan kepada rakyat bukan wang poket mereka, atau harta peribadi mereka sehingga mereka boleh mendabik dada bangga. Sebaliknya, ia sememang harta rakyat.

Begitulah rakyat, mereka tidak boleh tertipu dengan merasakan seorang-olah bantuan yang diumumkan oleh orang-orang politik itu dari 'harta persendirian' tokoh politik tersebut, sebaliknya ia memang harta rakyat yang diuruskan oleh orang-orang politik.

Peminta sedekah

Ini boleh mengelakkan perasaan rakyat yang merasakan mereka bagaikan peminta sedekah kepada kerajaan dan mengelakkan orang-orang politik lupa diri terhadap wang awam yang mereka belanja atau istiharkan dalam kempen politik mereka.
Sesebuah kerajaan bukan dipuji kerana mereka berbelanja dengan wang rakyat atau wang pembayar cukai itu, tetapi mereka dipuji kerana pengurusan yang cemerlang dan amanah dalam mengendalikan harta awam atau harta rakyat.

Ertinya, jika kerajaan berjaya mengendalikan harta rakyat dengan cemerlang dan amanah, maka kerajaan itu dipuji dan disokong, begitu juga sebaliknya.

Istilah 'taxpayer money', atau 'taxpayer funds' atau 'taxpayers dollars' sering digunakan dalam media negara maju apabia memperkatakan tentang pembelanjaan ataupun pembaziran oleh pihak kerajaan.

Istilah seperti ini sebenarnya boleh membantu mengelakkan kecuaian kerajaan dan dalam masa yang sama boleh menyedarkan rakyat tentang hakikat wang yang digunakan oleh pihak kerajaan. Istilah ini juga patut dihidupkan dalam negara kita.

Sumber: Malaysiakini

Saturday, February 26, 2011

Puisi Dr. MAZA untuk Sultan Kelantan


BICARA BUAT SEORANG SULTAN
(buat Sultan Kelantan Muhammad Faris Petra)

pada kerendahan dalam pakaian
pada penampilan dalam keramaian
perasaan tertawan kepada sang sultan

pada bicara yang sederhana,
pada gaya yang bersahaja,
jiwa tertarik pada raja,
moga nyata, dia payung rakyat jelata..

inilah nasihat raja dan rakyat…

raja dimulia bukan kerna singgahsana
raja disayang bukan kerna paluan gendang
raja diangkat bukan kerna kalimat 'daulat'
raja dicinta bukan kerna kuasa
raja dihormat bukan kerna pangkat

raja dimulia kerna takwanya,
raja disayang kerna dia berjuang,
raja diangkat kerna Tuhan memberkat
raja dicinta kerna budi bahasanya,
raja dihormat kerna kasihkan rakyat

raja dibenci kerna buruk budi,
raja dicerca kerna tamakkan harta,
raja dimarah kerna dia bermewah
raja dilupa kerna tinggalkan agama,

apabila raja itu zuhud,
namanya selalu disebut
apabila raja takutkan Allah,
sekelian rakyat jantung diserah
apabila raja sangat sederhana,
jiwa jelata penuh bangga,
apabila raja kuat agama,
dengan ikhlas rakyat berdoa..


tuanku raja yang masih muda,
namun ada teladan untuk semua,
dalam persarungan penuh kerendahan,
dalam kehidupan penuh kerakyatan,
sayang rakyat penuh melimpah
kepada raja kasih tertumpah

Dr MAZA,
16.02.11

Sumber: Malaysiakini

Saturday, January 15, 2011

Buah Tangan Terbaru Saya

Selain menulis cerpen, puisi, rencana, skrip drama radio, cerita kanak-kanak, saya turut menghasilkan buku kanak-kanak. Penulisan buku kanak-kanak bermula apabila saya terlalu sibuk dengan dua lagi kerjaya yang diceburi iaitu dalam bidang pendidikan dan penyiaran. Ketika masih aktif sebagai penyampai sambilan di stesen radio, saya tidak punya banyak masa untuk menulis. Di luar tugas rasmi sebagai pendidik, masa saya terlalu banyak dihabiskan di konti dan untuk pelbagai acara yang dianjurkan oleh pihak pengurusan radio. Ketika itu, produktiviti saya dalam bidang penulisan agak menurun. Saya hanya sempat menulis berita-berita untuk majalah kanak-kanak, sebuah cerpen (di Akhbar Harian Metro) dan sebuah artikel sahaja (di Akhbar Berita Harian).

Setelah menerima tawaran daripada seorang editor di sebuah syarikat penerbitan, saya cuba menggerakkan semula pena yang kelihatan sedikit tumpul kerana agak lama berada dalam simpanan. Saya mula berfikir, kenapa tidak saja saya menulis buku kanak-kanak di samping berperang dengan kesibukan seperti ini? Sedangkan penulisan buku kanak-kanak tidaklah memerlukan tumpuan dan masa yang lebih berbanding menghasilkan karya dewasa. Malah boleh dihasilkan biar pun di tengah-tengah kesibukan yang meresahkan. Saya tidak boleh membiarkan wujud terlalu lama vakum tanpa menghasilkan apa-apa karya. Itu merugikan. Saya mesti mengumpul semula kekuatan yang pernah dimiliki suatu ketika dahulu. Atas perkiraan-perkiraan itulah, saya mengambil keputusan untuk menulis buku kanak-kanak. Dan sehingga kini saya telah menghasilkan 6 siri buku kanak-kanak.

Baru diterbitkan, 6 buah buku yang memperkenalkan pelbagai jenis masakan mudah untuk kanak-kanak dan remaja yang dimuatkan dalam siri Mari ke Dapur. Buku ini turut memuatkan info tentang makanan dan bahan-bahan untuk menghasilkan makanan disamping gambar-gambar menarik. Buku yang saya hasilkan bersama-sama isteri ini mengambil masa lebih kurang 3 tahun untuk disiapkan. Saya yang menulis, dia pula tukang masak. Alhamdulillah, buahnya telah dapat saya nikmati kini. Tajuk-tajuk dalam siri ini ialah seperti Sayur-sayuran Pelbagai Khasiat, Sarapan dan Minum Petang, Lauk-pauk Aneka Rasa, Ulam Pembuka Selera, Sajian Nasi dan Pulut serta Pemanis Mulut.

Siri Mari ke Dapur (6 buah), Pustaka Minda Aktif, 2010.


Siri Badan Beruniform (6 buah), Content Plus, 2008.


Siri Citra Syair dan Pantun (8 buah), Pustaka Cita Tinggi (PCT), 2007.


Siri Mengenali Hobi (10 buah), terbitan Pustaka Segar, 2007.


Siri Mengenali Kerjaya (10 buah), terbitan Pustaka Segar, 2005.


Siri Serikandi Melayu Klasik (karya bersama Wan Norsedah), terbitan Pustaka Buana, 2006.

Wednesday, January 12, 2011

Aku dan Perasu

Kunjungan ke Sek. Keb. Perasu, Gua Musang kira-kira 15 tahun lalu masih hidup dan berdenyut dalam ingatan saya. Ketika masih bergelar guru pelatih di Institut Bahasa Kuala Lumpur (kini Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia), saya menyertai rombongan ke beberapa buah sekolah di Kelantan sambil mengadakan persembahan kebudayaan. Di Sek. Keb. Perasu, kami sempat mengadakan pertunjukan boneka.

Paling sukar di lupakan ialah keenakan luar biasa sajian makan tengahari yang disediakan untuk kami pada hari terakhir berada di sekolah yang terletak di tanah rancangan FELDA itu. Nasi panas yang dihidangkan dengan masakan kegemaran saya, asam pedas ikan sungai, ulam-ulaman dan budu melekat di kerongkong saya bertahun-tahun lamanya. Sejak dari itu, mengenang Perasu adalah sesuatu yang amat membahagiakan. Perut tiba-tiba saja menjadi lapar, tekak mula mengidamkan lemak manis daging ikan sungai yang segar dan pejal, dimasak asam pedas atau dibakar.

Sejak dari itu juga mata saya sering memerhatikan papan tanda yang menunjukkan arah ke Sek. Keb. Perasu tatkala melewati jalan Gua Musang-Kuala Krai apabila pergi atau pulang dari Kuala Lumpur. Dan setiap kali terpandang papan tanda ke Perasu, kenangan-kenangan indah akan muncul dan menggamit tangan saya untuk melangkah lagi ke tanah Perasu yang dikelilingi bukit bukau dan sungai-sungai itu.

Hanya Allah Maha Berkuasa. Penempatan awal saya di Sek. Keb. Kuala Gris, Kuala Krai dan isteri di Sek. Keb. Seri Chiku 1, Gua Musang hanyalah sekadar perancangan manusia. Atas ihsan Jabatan Pelajaran Kelantan dan Pejabat Pelajaran Daerah Gua Musang, setelah mempertimbangkan jarak antara kedua-dua sekolah berkenaan, akhirnya penempatan dipinda dan kami ditempatkan di satu sekolah iaitu di Sek. Keb. Perasu, Gua Musang. Tercapai juga hasrat saya yang terpendam sejak sekian lama untuk menjejakkan kaki semula ke Perasu. Rupa-rupanya, perkenalan saya dengan Perasu pada tahun 1995 menyimpan seribu satu rahsia yang hanya diketahui oleh Pencipta. Dan kita manusia akan di tunjukkan satu demi satu dengan perancangan itu apabila tiba masanya. Maha Bijaksana Allah!

Add ImageJalan masuk utama ke Perasu (berhampiran FELDA Chiku 1&2), terasa seakan menuju ke awan. Jarak antara FELDA Perasu ke Jalan Gua Musang-Kuala Krai hanya 12 kilometer.

Bangunan Sekolah Kebangsaan Perasu.

Gunung Rabung sentiasa tersenyum memandang kami.

Kuaters guru Sek. Keb. Perasu

Menara telekomunikasi di Perasu.

Masjid di FELDA Perasu.

Hutan, bukit dan kabus amat peramah, menyapa sesiapa sahaja yang melalui jalan ke Perasu.

Jalan utama keluar dari Perasu.

Jalan alternatif keluar dari Perasu melalui Renok Baru.

Sunday, January 9, 2011

Beburung Kedinginan

Kehadiran sekumpulan burung bermain angin dengan gerakan bergulung-gulung, ketika perhimpunan sekolah pada hari pertama di Sek. Keb. Perasu, Gua Musang amat menarik perhatian saya yang sedang nikmat menghirup kesegaran udara pagi yang nyaman lagi dingin. Hujan pula menitis halus ke atas baju kami guru-guru dan murid-murid yang sedang mendengar ucapan Guru Besar.

Dua hari selepas itu, saya dapati berpuluh-puluh ekor burung kedinginan dalam titisan kabus dan simbahan hujan. Sebagaimana manusia barangkali, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan dalam kegilaan tengkujuh seperti ini. Beburung yang kedinginan hanya mampu termenung berderetan di atas kabel elektrik dan bumbung bangunan sekolah. Dengan mata seni, saya merakamkan episod indah itu.










Saturday, January 8, 2011

Telur di Perasu Akan Menetas

Telur saya di Perasu sudah beberapa hari dieram. Sedikit masa lagi akan menetas. Mudah-mudahan akan mengeluarkan anak-anak yang baik dan berkualiti. Dalam kesibukan di awal tahun baru, telur-telur yang dieram itu mengambil masa sedikit untuk menetas. Tak sabar rasanya hendak melihat anak-anak yang menetas melompat-lompat dengan bulu yang berwarna-warni. Alangkah bahagianya apabila telur-telur itu menetas.