Pages

Wednesday, August 18, 2010

Hari Minggu Yang Putih

PADA sekeping hari di usia ke-36 ini, saya tiba-tiba menyedari sesuatu yang sebenarnya telah lama mendatangi fikiran bawah sedar. Rupa-rupanya setiap hari yang saya lewati selama ini memiliki warna yang tersendiri. Mungkin tiada pada yang lain, tetapi ada dalam lintasan fikiran saya. Hari-hari yang dilalui seperti hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad bagaikan ada warnanya dalam fikiran saya. Walaupun warna-warna ini telah lama wujud tetapi saya sendiri sukar memastikan bilakah ia bermula.

Menyebut hari Isnin, saya akan tergambar satu hari yang berwarna perang tetapi hampir menyamai warna jingga. Hari Selasa pula berwarna biru kehitaman, hari Rabu berwarna putih susu, hari Khamis berwarna perang, hari Jumaat pula terbahagi dua. Bahagian atas berwarna hitam dan bahagian bawah berwarna putih. Sementara hari Sabtu pula berwarna merah tua tetapi tidak terlalu gelap dan hari Ahad pula berwarna putih.

Saya rasa, warna-warna yang wujud di fikiran bawah sedar itu dipengaruhi oleh situasi, aktiviti dan emosi yang wujud pada hari-hari tersebut sekitar kehidupan saya. Hari Isni berwarna perang mungkin kerana hari tersebut adalah hari yang kurang digemari oleh kebanyakan orang termasuk saya. Hari Isnin kurang digemari kerana ia adalah permulaan hari bekerja dalam seminggu selepas bercuti pada hari Sabtu dan Ahad. Kenapa hari selasa berwarna biru kehitaman, hari Rabu berwarna putih dan hari Khamis berwarna perang saya tidak pasti.

Hari Jumaat berwarna hitam di atas dan putih di bawah mungkin kerana hari Jumaat merupakan hari bekerja separuh hari dan pada waktu tengahari saya tidak boleh ke mana-mana kerana perlu menunaikan solat Jumaat pada waktu tengahari. Barangkali itulah yang menyebabkan separuh daripada hari Jumaat itu diwarnai warna hitam. Sementara pada sebelah petang, saya bebas ke mana-mana. Sebab itulah agaknya sebahagian lagi berwarna putih.

Hari Sabtu yang diwarnai merah tua tetapi tidak terlalu gelap itu saya tidak pasti sebabnya apa. Tetapi hari Ahad yang dihiasi warna putih bersih mungkin kerana hari tersebut adalah hari di mana saya tidak bekerja. Pada hari cuti saya bebas ke mana-mana.

Mungkin ini sesutu yang melucukan, tetapi iamemang wujud dalamfikiran bawah sedar saya yang hanya disedari ketika sedang memandu kereta pada suatu hari selepas pulang dari menghadiri kelas belajar. Adakah ia turut dialami oleh pembaca atau ia hanya mendatangi saya?

No comments:

Post a Comment