Pages

Saturday, April 17, 2010

Ajal Yang Tidak Berbau

Gambar ini diambil di hadapan konti RMKL di IBC
ketika Majlis Pelancaran
siaran 24 jam RMKL 97.2

Kemalangan ngeri menimpa Abdillah Murad bin Md. Shari atau lebih dkenali sebagai Achik, 27, lewat petang semalam sekali lagi mengejutkan dunia hiburan tanah air. Kejadian di Kilometer 14.7 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) itu berlaku kira-kira jam 6 petang ketika Allayarham dalam perjalanan pulang dari Angkasapuri selepas muncul secara langsung dalam rancangan Hitz 1 di TV1.

Kematian mengejut vokalis Kumpulan Spin itu membawa kembali ingatan saya ketika bertugas di Radio RMKL. Lalu saya siarkan gambar di atas yang diambil ketika menghadiri Majlis Pelancaran Siaran 24 jam RMKL (sekarang KLFM) di Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC), Angkasapuri pada 1 April 2001. Antara yang dijemput ialah bekas-bekas dj RMKL dan beberapa orang artis. Saya turut membawa kamera untuk merakam gambar majlis tersebut. Kebetulan hendak menghabiskan filem (ketika itu penggunaan kamera digital belum meluas), saya meminta kebenaran Achik untuk merakam gambarnya. Itulah kali pertama saya berjumpa Achik secara dekat.

Barangkali jika Achik dapat menghidu bau ajalnya, mungkin dia akan mengatakan kepada saya, "rakamlah gambar saya, kerana saya akan hidup hanya untuk 9 tahun lagi."

Di zaman kemuncaknya Allayarham sering berkunjung ke RTM khasnya RMKL. Dalam tempoh itu saya agak kerap bertemu beliau dan beberapa orang artis FMC seperti Siti Nordiana, Syura, Zack Budak Kaca Mata, Amy dan lain-lain. Mereka sering dijemput untuk memeriahkan pelbagai program di RMKL. Tanpa diduga, selepas beberapa tahun beliau telah mengikut jejak anak sulungnya yang pergi dalam usia yang muda.

Selepas beberapa ketika Buletin Utama menyiarkan berita kematian Achik malam tadi, dan ketika getaran kejutan masih terasa, TV3 pula menyairkan promo rancangan 'Jangan Tidur Lagi' yang akan disiarkan tidak lama lagi. Kebetulan rancangan tersebut turut mengundang Achik sebagai tetamu dan penghibur. Kejadian ini menyebabkan saya terus berfikir. Jika Achik dapat mencium bau ajalnya, kemungkinan dia akan menolak untuk muncul dalam beberapa program hiburan TV sebelumnya.

Kematian mengejut ramai artis seperti Allahyarham Along Spoon, Izi Yahya, Samad Lefthanded, Sudiro, Yasmin Ahmad, Ustaz Asri Rabbani, Zubir Ali, Din Beramboi, Hani Mohsin, Yani Mentor, dan lain-lain sebelum ini seharusnya menyedarkan kita semua bahawa segala yang dimiliki dunia ini hanyalah sementara. Kekayaan, kemasyhuran, kehebatan, keindahan dunia hanyalah sementara. Keseronokan hidup di dunia hanyalah sebentar cuma. Kemasyhuran dan kegemilangan seseorang artis dan kepopularan seseorang dj radio atau personaliti TV biasanya akan hanya dikecapi untuk beberapa tahun sahaja. Kegemilangan dalam tempoh yang amat singkat itu tidak akan membawa ke mana-mana. Suatu hari yang pasti, kita akan mati bersama-sama kehebatan yang dimiliki.

Begitu juga kehebatan yang dipinjamkan oleh Allah melalui jawatan, kekayaan, kebolehan, kekuatan dan keistimewaan hanyalah untuk sementara sahaja. Sampai masanya kita akan kembali juga kepada Allah. Hanya kehebatan dan kemasyhuran yang dibinakan atas ketaqwaan kepada Allah akan dikira sebagai amal soleh dan boleh dibawa sebagai bekal berhadapan dengan Allah.

Paling menakutkan, ajal yang tidak berbau itu menyentap kita ketika sedang nikmat melanggar perintah Allah di atas puncak kemasyhuran dan kegemilangan. Beruntunglah orang yang memilih syurga sebagai cita-cita dan mati sebagai jalannya.

No comments:

Post a Comment